Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempertahankan Teo Nie Ching berhubung tuduhan kononnya timbalannya itu mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan.
Menurutnya, Nie Ching hanya berkongsi maklumat di Facebook miliknya mengenai inisiatif yang dilaksanakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) berhubung cadangan penambahbaikan mata pelajaran tersebut di sekolah.
“Kaji selidik tersebut dikeluarkan di laman web Kementerian Pendidikan, kemudian Nie Ching kongsikan maklumat tersebut di media sosial beliau.
“Ada orang tangkap layar dari media sosial beliau dan timbulkan isu bahawa timbalan menteri mahu campur tangan isu Pendidikan Islam, itu tidak benar dan tidak timbul isu campur tangan,” katanya seperti dipetik media, hari ini.
Dalam penjelasannya, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata beliau berkongsi kaji selidik berkenaan bagi mempromosi inisiatif yang diperkenalkan MPPK di laman sosialnya, namun kesal niat baiknya itu telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.