Anina mahu cabar Najib di Pekan?


Anina SaadudinAnina SaadudinAnina Saadudin menyatakan hasratnya untuk bertanding di Parlimen Pekan menentang Datuk Seri Mohd Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam kenyataannya  hari ini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau tidak perlu jawatan politik untuk melawan Najib.
"Jika Najib Razak tidak bersara saya akan lawan beliau di Pekan.
"Kalah sudah pasti- menang belum tentu. Apa yang penting saya laksanakan tanggungjawab untuk selamatkan negara," ujarnya.
Menurut Anina lagi,kemuncak perjuangannya adalah menentang perdana menteri dalam pilihan raya.
"Jika hari ini Najib Razak bersara, hari ini juga saya akan bersara dari politik.
"Itu janji saya.Saya tidak sayang pangkat dan harta. Saya sayang negara dan kanak-kanak negara ini," ujarnya.
Anina pada 2016 bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah menfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Anina mendakwa, Perdana Menteri telah melakukan pecah amanah dan melanggar Perlembangaan Umno dalam menerima dan membelanjakan wang RM2.6 bilion yang diterimanya itu.
Bagaimanapun pada September tahun lalu, Anina menarik samannya kerana ingin meneruskan perjuangan melalui platform lain - sertai Bersatu.
Anina berkata, adalah tidak munasabah baginya meneruskan kesnya kerana dia tidak lagi menjadi ahli Umno.
Setelah menyertai Bersatu, Anina aktif mengumpulkan ahli wanita parti itu dan secara rasmi dilantik menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.
Sehingga kini  Parlimen Pekan menjadi sasaran bakal dicabar  oleh Anina dan bekas Senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor  yang mana baru-baru ini  Ezam mengumumkan akan menubuhkan parti baharu yang memberi fokus memperjuangkan rasuah  menyasarkan  kepada  dua kerusi untuk ditandingi iaitu di Pekan dan Titiwangsa.

No comments: