Tanpa dasar bersama pertembungan satu lawan satu bukan jaminan kalahkan BN



Tanpa dasar bersama pertembungan satu lawan satu bukan jaminan kalahkan BN



KUALA LUMPUR, 23 JUN: Pertembungan satu lawan satu dalam Pilihanraya Umum (PRU) bukan formula ajaib yang mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) tanpa memberi komitmen kepada satu dasar dan hala tuju bersama yang dipersetujui pakatan pembangkang negara ini.
Ia terbukti dalam dua Pilihanraya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang lalu apabila sebahagian pengundi tidak mengundi PAS selepas perpecahan Pakatan Rakyat, sebaliknya memilih Amanah atau BN.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, malah, jika berlaku pertembungan satu lawan satu antara BN dan PAS sekalipun, BN diramal memenangi majoriti jauh lebih tinggi berbanding keputusan dua PRK itu yang mencatat majoriti lebih 16,000 di Sungai Besar dan lebih 11,000 di Kuala Kangsar.
“Dalam kempen PRK itu, saya meramalkan PAS akan tewas dengan 10,000 undi di Sungai Besar dan 5,000 undi di Kuala Kangsar berbanding dengan keputusan Pilihanraya Umum 2013.
“Keputusannya, PAS tewas dengan 11,394 undi di Sungai Besar dan 7,452 undi berbanding dengan undi yang diperoleh oleh PAS dalam Pilihanraya Umum 2013 lalu,” jelasnya.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menambah, ini kerana 80 peratus pengundi yang memilih calon Amanah dalam PRK berkembar itu tidak mengundi PAS setelah Pakatan Rakyat berpecah.
Kenyataan itu sebagai mengulas lanjut cadangan bahawa PAS seharusnya tumpukan di beberapa buah negeri Pantai Timur dan Utara manakala Amanah tumpukan negeri lain sesuai dengan pelarasan antara dua parti itu mendapat pelbagai reaksi.
“Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad menyifatkan cadangan ini sebagai tidak masuk akal dengan alasan PAS perlu bertanding di kawasan yang pernah ditandinginya untuk ‘memaksimakan kemenangan pembangkang’ seperti Sabtu lalu dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Namun telahan beliau kurang tepat apabila merujuk kepada keputusan dua PRK tersebut setelah perpecahan Pakatan Rakyat akibat kegagalan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang berpegang kepada kerangka bersama Pakatan Rakyat,” ujar beliau.
Kit Siang membuat kesimpulan berdasarkan keputusan dua PRK ini, yang penting untuk menewaskan BN ialah dasar yang dipersetujui bersama dalam pakatan pembangkang.
“Satu lawan satu bukanlah formula ajaib untuk menewaskan BN tanpa kerangka dasar yang dipersetujui bersama,” tegas beliau. -Roketkini.com

No comments: