Tubuh kabinet bayangan PH, jangan umum bertanding sesuka hati
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini memberi amaran terhadap kesemua parti dalam Pakatan Harapan agar tidak mengumumkan pertandingan kerusi pilihan raya akan datang sesuka hati.
“Secara peribadi, saya berpendapat, sudah tiba masanya parti-parti pembangkang mencapai konsensus untuk menubuhkan ‘Kabinet bayangan’ bagi menggambarkan keseriusan kita mentadbir Putrajaya.
“Kita sudah tampil sejak Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dengan belanjawan alternatif dan manifesto bersama. Kabinet bayangan adalah langkah ke hadapan yang perlu kita laksanakan seterusnya.
“Pengumuman pertandingan kerusi secara unilateral, harus dihentikan serta-merta,” kata ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada ucapan dasar Ketua Pemuda PKR di Kongres Nasional 2015 di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Namun beliau menafikan kenyataan itu merujuk kepada tindakan DAP pada akhir Oktober lalu.
“Kita sekarang dah ada Pakatan Harapan. Jadi sebarang pengumuman nak bertanding kena buat menerusi Pakatan Harapan. Saya cakap semualah,” kata Nik Nazmi apabila ditemui pemberita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu berkata, segala keputusan akan dibuat selepas perundingan bersama dalam Pakatan Harapan.
“Rundingan kerusi, yang itu kita akan berunding tetapi apa yang saya cakap itu rujuk kepada Pakatan Harapan,” tambahnya yang merujuk kepada kerusi bakal dipertandingkan seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha Publisiti DAP Tony Phua sebelum ini pada Oktober lalu berkata, parti itu mungkin akan bertanding di 8 kerusi PAS pada PRU14 malah sudah bersedia ke arah itu.
Kerusi-kerusi yang dimaksudkan ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
Sementara itu, Nik Nazmi menyerahkan kepada jawatankuasa pilihan raya Pakatan Harapan sama ada PKR bersedia memberikan kerusi kepada Parti Amanah Negara (Amanah).
“Kita akan serahkan kepada jawatankuasa rundingan kerusi yang dianggotai pimpinan tertinggi Amanah, DAP dan PKR,” katanya.