“Kalau Najib mahu sokongan rakyat Sabah, jangan datang dengan tangan kosong”
Naib Pengerusi DAP Negeri Chan Foong Hin berkata, jika Najib mahu menarik semula sokongan dari ahli-ahli UMNO dan orang awam Sabah, beliau harus berani mengumumkan dan membangunkan negeri itu dengan pelbagai projek untuk kemudahan rakyat.
“Ia merupakan satu pembaziran jika acara mewah itu tidak membawa apa-apa sumbangan kepada rakyat Tawau secara khusus dan Sabah amnya yang berdepan masalah serta memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Foong Hin merujuk program Himpunan Solidariti oleh UMNO esok, dengan sasaran kehadiran 30,000 orang bagi menyatakan sokongan kepada Najib yang kini diserang bertubi-tubi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ujarnya, dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh serta kedudukan Najib yang makin tergugat, inilah masanya untuknyamenunaikan kemahuan rakyat Sabah bagi memperoleh sokongan.
“Majoriti undi BN berkurangan di Rompin dengan ketara sebanyak enam peratus, juga gagal merampas Permatang Pauh meskipun pembangkang berdepan saat-saat sukar kerana Anwar (Ibrahim) dihukum penjara dan isu hudud dibangkitkan PAS.
“Ini jelas merupakan panggilan untuk Najib bangun dari tidur dan melakukan lebih banyak perkara mempertahankan kedudukannya sebagai Pengerusi UMNO dan PM,” ujarnya.
Chan turut mengariskan beberapa perkara yang wajib dilaksanakan Najib jika beliau mahu mendapatkan sokongan semula terutama dari rakyat Sabah.
“Projek-projek tersebut adalah seperti pembinaan lebuhraya pantai dari Kampung Titingan ke Tinagat, mempercepatkan rancangan projek tebatan banjir, mempercepat projek empangan air di Cinta Mata, membina loji tenaga baru dan menaik taraf sambungan internet di Tawau.
“Beliau juga perlu membina loji pengurusan sisa pepejal baru di Tawau, meningkatkan bilangan polis di Tawau, menaik taraf kemudahan hospital termasuk tempat letak kereta dan menambah kakitangan perubatan.
“Pemimpin-pemimpin UMNO Sabah juga perlu bijak menggunakan peluang ini, seperti kata Najib sebelum ini ‘You help me, i help you’,” sindir ADUN Sri Tanjong itu.
Antara projek pembangunan lain dicadangkan beliau adalah seperti pembinaan tempat letak kereta bertingkat baru di sebelah Pasar Tanjong, Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta menaik taraf kemudahan Pelabuhan Tawau.
Chan berharap pengerusi penganjur perhimpunan solidariti tersebut, Datuk Seri Ghapur Salleh mengajukan semua permintaan ini kepada Najib, demi rakyat Sabah. – Roketkini.com