Adakah pertemuan Najib dengan pemimpin Umno Isnin nanti berakhir dengan ledakan politik?

Adakah pertemuan Najib dengan pemimpin Umno Isnin nanti berakhir dengan ledakan politik?

muhyiddin_mahathir_najib
Kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tidak pernah kelihatan begitu goyah dan genting sepertimana sekarang ini, dan persoalan yang berada di hujung lidah ramai pihak ialah sama ada mampukah Najib meleraikan skandal bailout 1MDB-Tabung Haji dalam masa 48 jam lagi, atau adakah pertemuan beliau dengan pemimpin bahagian Umno hari Isnin nanti bakal berakhir dengan ledakan politik.

Najib terdesak dalam skandal RM42 bilion 1MDB sehingga sanggup meluluskan operasi mendapatkan dana Tabung Haji telah membawa kepada kita sebuah persembahan politik di mana sang Perdana Menteri kini terhimpit antara serangan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mahathir mendesak supaya perjanjian bailout antara Lembaga Tabung Haji dan 1MDB dibatalkan segera, sementara Muhyiddin pula memberi amaran dari Milan, bahawa skandal 1MDB akan meletup di muka Umno!

Muhyiddin mengakui bahawa 1MDB yang sarat hutang merupakan faktor terbesar kekalahan Barisan Nasional di pilihanraya kecil Permatang Pauh memandangkan beliau sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan skandal tersebut ketika berkempen kerana, “Saya sendiri pun tak tahu apa nak cakap”.

Beliau berkata: “Rakyat mahu tahu, bukan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad. Rakyat mahu tahu mengapa tidak ada seorang pun didakwa, mengapa lembaga 1MDB tidak dipecat, dan status CEO serta perdana menteri sebagai penasihat.”

Malah sebenarnya jika skandal bailout 1MDB-Tabung Haji ini didedahkan lebih awal, BN bukan sahaja akan tewas dengan majoriti yang lebih besar di PRK Permatang Pauh, malah ia boleh sahaja tewas di kubu kuatnya di Rompin.

Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib telah melontarkan soalan yang baik tentang sama ada dokumen bailout 1MDB-Tabung Haji tertakluk rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dan siapa yang menyatakan ia rahsia, sambil merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa siasatan akan mempertimbang menggunakan OSA terhadap pihak yang membocorkan urusniaga berkenaan.

Adakah Ketua Polis Negara seterusnya akan berkata bahawa semua dokumen berhubung skandal RM42 bilion 1MDB turut dilindungi OSA?

Kredibiliti dan integriti polis akan terus dilanyak di bawah Ketua Polis Negara sekarang sekiranya pihak polis dilihat cuba melindungi dalang skandal RM42 bilion 1MDB dan tidak berpihak kepada orang ramai dan juga kepentingan negara.


No comments: