“Kezaliman ke atas Anwar cerminan ketidakadilan sistem” (Bahagian 2)
Gerakan Reformasi, ujarnya, yang kini memasuki fasa kedua bukan sekadar mengembalikan hak individu, atau secara khususnya batang tubuh Anwar Ibrahim sendiri, tetapi sebuah perjuangan bersama rakyat demi Malaysia yang lebih baik.
Sedar bahawa perjalanan itu tidak singkat, anak keempat Ketua Umum PKR ini sentiasa positif dalam gerak kerja kempen, dan sedar bahawa generasi dan pemimpin muda hari adalah mata rantai perjuangan.
Ikuti bahagian akhir temubual eksklusif Roketkini.com bersama Nurul Nuha Anwar.
Wawancara bahagian pertama: “Nurul Nuha dan kempen ‘Berarak Untuk Kebebasan’
Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ikon. Namun, gaya dan citarasa politik sekarang berbeza. Apa pandangan yang meminta saudari dan keluarga untuk melupakan masa lampau dan maju ke depan. Seperti ada permintaan untuk ‘move on’ dari politik ikon dan tokoh semata-mata?
Kalau bapa saya bukan ancaman, dia tidak berada di dalam penjara. Rejim sedia ada ingin mempertahankan sistem (sedia ada). Itu yang mereka takut. Itu sebabnya Anwar ditahan. Anwar adalah kira-kira antara orang yang memainkan peranan.
Ya, saya rasa politik Malaysia telah bergerak ke arah itu. Kita memang memiliki lebih ramai Ahli Parlimen, ADUN dan pemimpin muda yang berjuang bagi menjadikan Malaysia lebih baik.
Sebelum ini Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah menerajui kempen pembebasan Anwar. Namun, saudari pula kini menjadi sorotan media. Macam mana keadaan keluarga saudari sendiri sebelum dan selepas pemenjaraan saudara Anwar?
Saya ada ibu dan kakak yang memberi tunjuk ajar. Saya pernah lihat bagaimana mereka dahulu apabila mula-mula menguruskan kempen, dan saya turut menolong ibu saya dan Nurul Izzah.
Sekarang pula, saya bersama-sama mereka berceramah dan sebagainya. Memang ada kelainan. Sebelum ini saya pernah bersama dalam satu program dengan saudara Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Mereka juga pernah berada di tempat (dalam keadaan) itu.
Kami terharu. Keluarga kami terharu. Mereka bukan sahaja memberikan sokongan padu, tetapi betul-betul prihatin terhadap bapa saya. Kamu kena yakin kepada diri kamu. Agenda reformasi perlu diteruskan.
Suasananya sangat emosional. Lebih-lebih lagi dalam keadaan apabila bapa kita ditahan untuk kali kedua. Dan sebenarnya bukan kali kedua, tetapi kali kelima. Keadaan tubuh badan beliau tidak berapa baik. Anak-anak saya juga ada bertanyakan tentangnya.
Kami akan terus berjuang seperti mana dia mahu saya dan anda bersama dan berjuang. Visinya adalah untuk Malaysia yang lebih baik. Kita percaya kepada perubahan, kerana apa yang dilakukan adalah demi masa depan kamu dan saya, untuk masa depan anak-anak kita semua.
Saya bawa keluarga bersama-sama. Saya adalah ‘primary caretaker’ kerana saya adalah seorang ibu. Saya tak boleh tinggalkan mereka dan pilihan terbaik adalah untuk mereka turut serta. Saya masih baharu lagi dalam kempen. Saya harap orang ramai boleh faham.
Namun saudari nampak tenang. Apakah kerana pengalaman sekian lama keluarga diasak, justeru itu menjadikan keluarga saudari dilihat bersemangat dan kental?
Masih ada kelam kabut. Namun saya rasa pengalaman memang banyak membantu. Tetapi semangat dan kekentalan perjuangan kami tidak boleh dibandingkan dengan semangat ayah saya. Kami berterima kasih atas sokongan dan doa dari semua pihak yang membantu keluarga.
Difahamkan, Datuk Seri Dr Wan Azizah telah melawat Anwar di penjara. Bagaimana keadaan beliau? Apa yang boleh kita kongsikan bersama pembaca Roketkini?
Saya sendiri tak dapat berjumpa, dan (keluarga) hanya dapat berjumpa beliau sekali dalam sebulan. Sudah banyak kali keluarga kami memohon untuk dibenarkan perjumpaan lebih sekali setiap bulan. Ini kerana keadaan tubuhnya yang sakit. Dalam Akta Penjara sebenarnya dibolehkan lebih dari sekali (perjumpaan) dengan tahanan yang sakit.
Kami sudah memohon untuk kali yang keempat, namun masih ditolak. Kami akan terus memohon. (Buat masa ini) hanya peguam kami yang boleh (bertemu), (manakala kami) hanya berutus surat atau menghantar gambar melalui peguam.
Bagaimana keadaan dalam penjara. Misalnya kualiti makanan, tempat tidur, tempat ibadat dan lain-lain?
YB Sivarasa (juga peguam) sudah berjumpa dengan Anwar. Keadaan penjara amat teruk. Penjara hanya membenarkan penggunaan tilam setebal dua inci. Walaupun buku boleh dibawa, namun macam mana hendak membaca? Tiada kerusi dan meja.
Anwar tidur di bawah, iaitu (tilam) di atas lantai. Anwar berada dalam sel yang disediakan hanya tandas cangkung, dan tandas itu berada dalam sel yang sama. Sistem peredaran udara terhad. Tandas pula tidak ditutup dan beliau diawasi 24 jam. Ini satu penghinaan.
Yang kami dapat tahu daripada peguam adalah, keadaan badannya semakin susut. Memang (bahagian) belakang dia sakit. Semua orang tahu bekas Ketua Polis Negara (Tan Sri Rahim Noor) sebelum ini menumbuknya, ketika Anwar diikat tangan dan ditutup mata. Tetapi Anwar tetap bersemangat.
Bukankah setiap tahanan yang sakit mempunyai hak untuk mendapatkan rawatan?
Ya, memang ada, tetapi permohonannya ditolak. Mungkin kali ini mereka mahukan rekod daripada hospital. Kami sudah kemukakan. Daripada hari pertama (sehingga hari wawancara dibuat) masih belum dapat ke hospital. Kami harap peguam dapat tekankan isu ini – daripada isu rawatan dan haknya untuk mendapat tempat tinggal yang selesa.
Ada kritikan menyatakan bahawa isu ini dibangkitkan hanya apabila dikenakan ke atas Anwar. Bukankah keadaan ini wajar kepada semua tahanan. Sedangkan difahamkan keadaan di semua penjara teruk sama sekali. Kenapa khusus kepada Anwar?
Saya tak rasa semua tahanan perlu diperhatikan 24 jam. Saya rasa jika ada orang yang tak mampu untuk menggunakan tandas cangkung, misalnya, maka Jabatan Penjara perlu lakukan sesuatu. Namun, tidak semua peraturan ini dipatuhi oleh Jabatan Penjara.
Ini bukannya tentang kenapa isu tersebut dibangkitkan hanya hanya kerana seseorang tahanan sahaja. Tetapi Anwar berada dalam keadaan tertentu yang membuatkan, misalnya beliau tidak boleh tidur atas tilam setebal dua inci, dan beliau memerlukan rawatan bukan sahaja kerana sakit belakang, tetapi ‘andoscopic surgery’ – kerana apa yang dilakukan oleh Rahim Noor terhadapnya sebelum ini.
Kami tak meminta keistimewaan. Tetapi keadaan kesihatannya memerlukan pemerhatian.
Kalau ada tahanan yang mengalami keadaan sedemikian, tolong maklumkan kepada kami. Jika ada juga mana-mana keluarga yang tahu ahli keluarga mereka yang kini dalam tahanan (dan dilayan) secara tidak adil, kami boleh bangkitkan isu ini. Saya menggalakkan mereka memaklumkan kepada kami dan sertai kami (dalam perjuangan).
Perjuangan keluarga saudari bermula semenjak saudari sendiri masih kecil. Apa lagi pengorbanan yang saudari lakukan?
Keluarga kami hanya menampilkan sebuah keadaan dari keseluruhan insiden ketidakadilan. Dan keadaan keluarga kami tidak sama seperti keluarga orang lain. Yang sama adalah, kami saling menyayangi antara satu sama lain.
Ini bukannya tentang ‘apa yang kamu buat, maka itu yang kamu dapat’. Tidak! Tetapi, kamu telah ambil bapa kami, dan lagi, dan lagi… Maka inilah masanya kami untuk meneruskan perjuangan melawan ketidakadilan.
Terakhir. Apa yang kamu paling rindu tentang bapa kamu sekarang ini?
– (Sebak) Kami sangat rindukan dia. Untuk saya, saya paling rindukan caranya ketawa. – Roketkini.com