ABU beri amaran kepada pengundi asing
(Oleh: Aliff Fikri)KUALA LUMPUR 4 MAc: Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) menubuhkan Skuad Team Abu Halang Asing Ngundi (TAHAN) bagi menghalang undi dari warga asing dalam pilihan raya umum ke 13.
Jurucakapnya, Haris Ibrahim berkata, ia bertujuan membantu proses pengundian berjalan lancar tanpa berlaku sebarang penipuan.
“Sejak 2 bulan lalu, skuad TAHAN telah bergerak di merata tempat untuk mengedar risalah kepada warga asing agar mereka tidak turun mengundi.
“Tujuan kami adalah untuk menghalang mereka dari memberi undi pada PRU atau berdepan dengan kemarahan rakyat.
“Amaran kami ini tidak boleh dipandang mudah. Skuad TAHAN telah diatur di seluruh negara demi mempertahankan kesucian proses PRU kita,” katanya ketika sidang media di Pejabat ABU, Jalan Klang Lama, tengah hari tadi.
Dalam pada itu katanya, beberapa insiden keganasan dilakukan Umno BN ketika ceramah Pakatan Rakyat bertujuan menakut-nakutkan orang ramai.
Katanya, ABU juga mendapat maklumat rancangan pihak tertentu menimbulkan semula isu perkauman dan insiden 13 Mei 1969.
“Kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh undi pada 11 Mei dan tujuan penetapan tarikh ini adalah untuk menakutkan rakyat sekali lagi seperti mana yang terjadi pada 13 Mei 1969.
“Apabila taktik menakutkan ini berjaya, maka rakyat akan akan memberi undi kepada mereka.
“ABU ingin membuat seruan kepada rakyat, agar tidak tertipu dengan taktik ini dan jangan takut dengan taktik kotor ini. Rakyat bukan mudah untuk ditipu lagi, kali ini kita mesti mengundi untuk perubahan,” tegasnya.
Justeru beliau menyeru seluruh rakyat agar menolak politik perkauman yang dibawa Umno BN dan bersatu hati mengundi untuk perubahan dalam PRU ini- RM