Jerantut: Kekalkan Tengku Azlan atau tidak?


Jerantut: Kekalkan Tengku Azlan atau tidak?

Anis Nazri


Sesiapa sahaja yang ingin berkunjung ke Taman Negara, Pahang, Jerantut merupakan pintu masuk utama ke hutan rekreasi tersebut.

Selain terkenal dengan Taman Negara, di Jerantut juga terdapat satu gua yang merupakan tapak arkeologi yang dibuka kepada orang awam, iaitu Gua Kota Gelanggi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari timur Jerantut.

Berkeluasan 755,771.93 hektar, Jerantut juga merupakan daerah terbesar di negeri kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Parlimen Jerantut P81 diwakili wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN), Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar.

Memperoleh 19,543 undi, beliau menewaskan calon PAS, Dr. Hamzah Jaafar yang mendapat undi sebanyak 17 597 undi dengan majoriti sebanyak 1946 undi.

Bagaimanapun, ketika kunjungan Harakahdaily ke parlimen berkenaan baru-baru ini, terdapat pihak yang mengatakan para pengundi di parlimen itu tidak menyenangi sikap wakil rakyat mereka yang tidak turun padang.

Biarpun Tengku Azlan berdarah raja, status tersebut tidak menjadikan para pengundi Jerantut senang dengan sikap wakil rakyat itu.

Namun, ketika pengundi dikatakan tidak bersedia untuk mengundi Tengku Azlan pada pilihan raya umum ke-13 jika dicalonkan semula, lain pula kisahnya di Umno bahagian tersebut.

Dikhabarkan Umno bahagian sedar rasa tidak senang pengundi kepada Tengku Azlan jika dicalonkan semula, namun terpaksa berbuat demikian bagi menyatu-padukan jentera parti.

Terdapat beberapa pihak di kalangan Umno yang dikatakan berhajat untuk mengisi kerusi tersebut pada pru13 ini, namun ia dikatakan hanya bakal mengundang padah kepada BN.

Tengku Azlan sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya untuk tidak bertanding lagi kali ini.

Beliau mahu terlibat aktif dengan NGO yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah, Amanah.

"Jika nama lain dipilih selain Tengku Azlan, kemungkinan berlaku perpecahan di kalangan jentera parti kerana masing-masing mempunyai 'team' tersendiri.

"Pihak yang tidak berpuas hati akan memprotes, jadi besar kemungkinan mereka akan meletakkan juga Tengku Azlan bagi menyatu-padukan jentera parti terlebih dahulu," dakwa Penolong Setiausaha PAS Jerantut, Che' Mat Yunus Ismail.

Bagaimanapun, bagi PAS Jerantut, sekiranya Tengku Azlan dicalonkan semula, ia tidak menggugat kemantapan jentera parti dalam persiapan menghadapi pilihan raya.

Lebih-lebih lagi, calon PAS bagi parlimen Jerantut pada pru12 lalu, Dr. Hamzah Jaafar hanya tewas dengan majoriti sebanyak 1946 undi.


(Dr Hamzah dengan Tengku Azlan...Apakah mereka berdua akan bertembung lagi kali ini?)

Mengikut perkiraan pelbagai pihak, Jerantut tersenarai sebagai kawasan Parlimen yang boleh dimenangi PAS dalam pilihan raya kali ini.

Namun jentera PAS nampaknya sangat berhati-hati dengan maklumat ini kerana bimbang ia akan menyebabkan jentera bawahan mereka berada dalam zon selesa.

Dr. Hamzah, anak kelahiran Batu Balai, Jerantut pernah mewakili PAS sebagai calon di kerusi tersebut pada pru11, pru12 dan dijangkakan sekali lagi pada pru13 ini.

Biarpun kalah dengan hanya majoriti 1946, Dr. Hamzah memenangi majoriti sebanyak 2000 di Dun Damak - salah satu Dun yang berada di bawh parlimen Jerantut.

Bagaimanapun, kebanjiran majoriti undi Dun Pulau Tawar dan Dun Tahan mencairkan kelebihan Dr. Hamzah di Dun Damak.

Dun Damak merupakan kawasan campuran yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kerusi tersebut pada beberapa siri pilihan raya umum lalu antara calon DAP dan PKR melawan BN.

Selain Damak, dua lagi Dun yang berada di bawah parlimen Jerantut ialah Dun Pulau Tawar dan Dun Tahan yang merupakan kawasan pengundi Melayu.

Jika kena dengan percaturannya, PAS boleh menawan kerusi parlimen Jerantut, lebih-lebih lagi dengan perpecahan jentera Umno, selain terdapat ura-ura yang mengatakan Umno Jerantut berhasrat untuk 'menggugurkan' MCA di kerusi Dun Damak untuk digantikan dengan Umno.

Tinggal lagi, Pakatan Rakyat Jerantut perlu berkerja keras bagi memenangi hati pengundi Jerantut, termasuk 17 Felda yang berada di bawah parlimen Jerantut.

No comments: