Tegas ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, perkara penting yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri adalah melindungi kakitangan kerajaan supaya tidak dipergunakan dalam sebarang program terutama anjuran Umno-BN.
Dalam ucapan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku, Azmin mendedahkan satu surat yang dihantar kepada kerajaan negeri meminta penghulu dan ketua kampung seluruh negeri Selangor menghadiri satu program anjuran Umno-BN.
Lebih jelas, program tersebut turut mengundang individu yang mempunyai latar belakang dan kepentingan politik iaitu Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor dan Datuk Fuad Hassan.
“Kalau program itu berbentuk latihan atau untuk menggilap potensi penghulu supaya lebih berkesan, kalau mengikut atur cara program itu jelas merupakan program politik. Mengapa kerajaan tidak meneliti perkara ini supaya tidak membenarkan pegawai kerajaan negeri terlibat dalam politik Umno-BN,” katanya.
Azmin turut membidas tindakan Umno-BN yang terus menerus menggunakan agensi kerajaan dan kementerian semata-mata untuk menyebarkan propaganda selain mempergunakan kakitangan kerajaan.
Terbaru, Jabatan Perdana Menteri dengan kepala surat jabatan tersebut telah mengeluarkan satu surat bertajuk ‘Taklimat Pembangunan Dengan Perdana Menteri’ pada 1 Mac 2010 bertempat di Hotel Concorde Shah Alam.
Surat tersebut ditandatangani oleh pengarah ICU sendiri yang menjemput semua pengusaha dan masyarakat perniagaan di negeri Selangor.
“Saya dapat maklumat dalaman yang hadir sekitar 400 orang kehadiran mereka bukan untuk membincangkan soal pembangunan tapi Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir Mohd Zain dan perdana menteri menggunakan pentas itu untuk meminta masyarakat perniagaan menyokong Barisan Nasional jelas daripada backdrop dalam hotel “Sokong Barisan Nasional Negeri Selangor
“Jadi business komunity kecewa mengapa mereka diheret dalam perkara ini,” katanya.