PKR Fail Permohonan Mahkamah Halang ROS


KUALA LUMPUR 31 MEI : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Surendran mendakwa Pendaftar Pertubuhan (ROS) berniat jahat dan mempunyai agenda tersendiri apabila menghantar notis pengharaman pertubuhan parti itu pada 9 Mei lalu.

Malah menurut Surendran, tindakan ROS itu juga disifatkan sebagai sebahagian daripada strategi politik kotor Umno-Barisan Nasional(BN) demi mengekalkan kuasanya menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

"ROS hanya mengikut telunjuk Kerajaan (BN). Pada tahun 1998, Saifuddin Nasution yang kini Setiausaha Agung PKR, Roslan Kassim dan beberapa lagi telah dipecat serta-merta oleh UMNO kerana dilihat berada di rumah Anwar Ibrahim, yang juga dipecat serta merta oleh UMNO. Mengapa ROS tak hantar notis ketika itu?," kata Surendran kepada media di lobi Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

PKR hari ini memfailkan permohonan di mahkamah bagi menghalang Pendaftar Pertubuhan (ROS) daripada membatalkan pendaftaran parti itu yang jelas melanggar perlembagaannya.

Jelas Surendran lagi, permohonan semakan semula pembatalan itu juga disusuli dengan satu Perintah Larangan bagi memastikan ROS tidak menjalankan perintah notis mereka selagi semakan kehakiman tidak dilakukan.

Selain Surendran, PKR turut diwakili oleh R. Sivarasa, Latheefa Khoya dan Fadiah Nadwa Fikri.

Awal Mei lalu, PKR menerima notis pembatalan pendaftaran partinya bermula 9 Jun ini kerana didakwa telah memecat seorang ahli bernama A. Jayagopal pada April tahun 2009 tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Displin parti itu.

Namun peruntukkan yang dirujuk RoS itu tidak terkandung dalam perlembagaan parti dan telah melanggar Fasal 32.2.1. Malah nama ahli yang dipecat juga adalah salah.

Tindakan RoS itu juga disifatkan pimpinan PKR sebagai berniat jahat dan bertujuan mengekang penyertaan parti itu pada pilihanraya umum ke-13 yang dijangka akan dipanggil tidak lama lagi.

Bagaimanapun Surendran menyanggah hal tersebut dengan menyatakan Fasal itu tidak pernah wujud.

"Hal ini berlaku pada 2009 tapi mengapa tahun 2011 baru nak beri notis?. Adakah kerana UMNO BN terdesak kerana kurang sambutan rakyat yang menyebabkan mereka cuba mensabotaj dan melumpuhkan PKR dan PR sebelum pilhan raya?. Banyak persoalan di sini," kata beliau lagi.

Tambah Surendran lagi, taktik mengharamkan parti pembangkang hanya merupakan taktik pemerintahan diktator.

"Di Burma atau Mnyanmar, Junta yang berkuasa mengharamkan NLD, parti Aung San Suu Kyi. Di Afrika Selatan pula pihak pelampau Apartheid kulit putih mengharamkan Parti Nelson Mandela? Adakah UMNO nak guna cara ini," kata beliau.

Mahkamah dijangka akan mengambil masa seminggu bagi memproses permohonan mereka dan menetapkan tarikh pendengaran kes.