DAP BISING...MANA PRESIDEN PAS UNTUK BUAT ULASAN????

Skandal Tabung Haji-1MDB: DAP mahu Perdana Menteri letak jawatan

ZAIRIL_KHIR_JOHARI_SYMPOSIUM
KUALA LUMPUR, 9 MEI – Skandal meletup pembelian tanah antara Lembaga Tabung Haji dan syarikat bermasalah milik kerajaan 1MDB telah mengundang kritikan dan persoalan daripada pelbagai pihak, termasuk Pemuda Umno sendiri.

Malah ia telah digelarkan sebagai satu operasi ‘bailout’ oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk menyelamatkan 1MDB yang dibebani hutang berbilion ringgit.

“Persoalan mengenai konflik kepentingan telah muncul apabila didedahkan bahawa eksekutif senior Tabung Haji juga kebetulan memegang jawatan tinggi dalam 1MDB,” ujar Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari mengulas skandal tersebut.

Empat individu didapati memegang jawatan tinggi di kedua-dua syarikat yang berurusniaga dalam pembelian tanah seluas 1.56 ekar pada nilai RM184 juta tersebut yang sebelum ini dibeli oleh 1MDB pada harga sekadar RM4.5 juta atau RM64 satu kaki persegi.

Empat individu tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail yang juga Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Dato’ Johan Abdullah yang juga pengerusi salah sebuah anak syarikat 1MDB, Anggota Panel Pelaburan Tabung Haji Tan Sri Abdul Samad Alias serta Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji Tan Sri Irwan Serigar yang kedua-duanya menganggotai Panel Penasihat 1MDB.

“1MDB telah menjual tanah ini kepada Tabung Haji, yang nampaknya telah bertindak bertentangan dengan amaran laporan penilaian risikonya,”

“Ini membangkitkan kebimbangan tentang kemungkinan duit para bakal haji disalahgunakan untuk menyelamatkan syarikat dana kekayaan negara yang sedang bermasalah,” ujar Zairil dalam satu kenyataan.

Menurut Zairil, apa yang lebih menarik lagi ialah pihak yang menyatakan kebimbangan wujudnya konflik kepentingan berkait empat individu tadi adalah bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno sendiri, Dato’ Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda Umno yang juga anggota Kabinet, Khairy Jamaluddin.

“Tak sampai sebulan Pemuda Umno menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak, di tengah-tengah dakwaan dan persoalan mengenai skandal 1MDB. Cepat betul keadaan berubah,” ujarnya sinis.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu juga menegaskan bahawa keseluruhan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji mesti meletakkan jawatan, bukan sahaja mereka yang bertapak di kedua-dua syarikat.

“Jelas sekali pengurusan tertinggi Tabung Haji telah gagal menjalankan tugas bukan sahaja sebagai pengurus dana rakyat, tetapi juga pemegang amanah tanggungjawab agama umat Islam,” kata beliau.

Justeru katanya, tanggungjawab harus dipikul oleh individu yang bukan sahaja merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, tetapi juga turut berperanan melantik kakitangan di kedua-dua Tabung Haji dan 1MDB, iaitu Perdana Menteri Najib Razak sendiri.
“Tidak ada pilihan lain. Perdana Menteri mesti bertanggungjawab penuh dan meletakkan jawatan dengan serta merta,” tegas beliau. – Roketkini.com



No comments: