Tanah 1MDB: Husam cadang TH batal pembelian

Tanah 1MDB: Husam cadang TH batal pembelian
Tanah 1MDB: Husam cadang TH batal pembelian

Tanah 1MDB: Husam cadang TH batal pembelian

PAS menggesa Lembaga Tabung Haji (TH) melakukan ‘tindakan mulia’ dengan membatalkan pembelian tanah milik syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didedahkan sebuah blog baru-baru ini.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata tindakan TH membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat rasmi berkenaan pembelian tanah milik 1MDB itu memalukan.
“Ia jelas untuk menutup tindakannya yang menimbulkan kesangsian dan kemarahan pencarum. Langkah lebih mulia ialah membatalkan pembelian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TH semalam mengesahkan badan pengelola dana simpanan bagi umat Islam untuk ke tanah suci Mekah itu membeli sebidang tanah daripada projek pelaburan Tun Razak Exchange (TRX) yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur bernilai RM188.5 juta.

Pembelian tanah itu didakwa mendapat “potongan” harga berbanding nilai pasaran semasa.

Badan pengelola dana simpanan itu merancang untuk membina sebuah menara kediaman di tapak yang akan dibangunkan anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd – berpengalaman luas dalam bidang hartanah dan pembinaan termasuk pembangunan perbandaran bercampur Bandar Enstek seluas 5.119 ekar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun, TH menafikan kumpulan itu membeli sebidang tanah daripada 1MDB di parcel kedua TRX seperti diperkatakan blog “The Benchmark” yang membocorkan dokumen didakwa memperincikan pembelian TH sebanyak 2 plot tanah di TRX dengan jumlah modal RM772 juta.

Pada masa sama Husam juga mengulangi desakannya seperti sebelum ini yang menuntut pihak bertanggungjawab meletakkan jawatan

“Bahkan langkah mulia juga ialah pihak bertanggungjawab menawarkan peletakan jawatan mereka termasuk atas sebab kebocoran yang memalukan itu sendiri, selain tindakan pembelian yang tidak dapat diterima itu,” katanya.

Sementara itu Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dalam satu kenyataan turut mengutuk tindakan pengurusan TH membuat laporan polis terhadap kebocoran dokumen.

Presiden Abim Amidi Abd Manan berkata, tindakan TH yang membuat laporan polis menyerupai seperti pengurusan National Feedlot Corp apabila skandal penyelewengan Pusat Fidlot Nasional terdedah kepada umum.

“Abim memandang berat tindakan ini kerana seolah-olah ada perkara yang sulit dan mahu dirahsiakan dari pengetahuan umum. Tindakan ini serupa dengan tindakan National Feedlot Corp yang mengambil tindakan terhadap individu yang mendedahkan kepada umum,” katanya.

Beliau berkata, TH sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk memberi penerangan yang mampu mengekalkan dan mengembalikan keyakinan para pendeposit.

“Abim yakin jika ketelusan dan kejujuran menjadi paksi pengurusan keberkatan akan menyusul,” katanya.

No comments: