Tongkat Langit ...."Saya Tetap Berkuasa Beberapa Tahun Lagi", Kata Taib



SHAH ALAM 12 APRIL : Dua puluh empat jam selepas Perdana Menteri Najib Razak memberi jaminan Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan berundur dalam masa terdekat, Ketua Menteri itu tampil memberitahu beliau akan terus menerajui Sarawak untuk “beberapa tahun lagi.”

Kenyataan itu di buat oleh Taib di hadapan Perdana Menteri itu sendiri malam tadi pada majlis ceramah di Kuching, empat hari sebelum rakyat Sarawak keluar mengundi memilih kerajaan negeri yang baru.

Dalam responnya, Najib hanya berkata rakyat harus terus mengundi BN dan tidak terpengaruh dengan desakan pembangkang untuk Taib berundur segera.

Taib yang menerajui kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu dibelit dengan tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa yang menyaksikan Sarawak yang kaya dengan balak dan minyak tercorot sebagai negeri keempat paling miskin di Malaysia.

“Apabila saya berhenti nanti dalam beberapa tahun (lagi), saya ingin hendak melihat generasi awaklah yang akan menyokong orang yang akan menyambut kuasa daripada saya memelihara Sarawak terus benar-benar maju dan benar-benar mewah sekali,” kata beliau pada konsert 1 Malaysia di Padang Merdeka Kuching.

Pada sidang media pagi tadi Taib mengesahkan pihaknya tidak akan mengumumkan sebarang pelan peralihan kerana tidak mahu terperangkap dalam jerat pembangkang.

"Kita tidak sebegitu jahil untuk mengumumkan pelan peralihan dan kemudian menetapkan tarikh melepaskan jawatan," kata beliau kepada pemberita.

Selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 21 Mac lalu, Taib berkata, beliau akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.

Najib mengulangi jaminan itu ketika kempen pilihan raya dibayangi dakwaan mengenai rasuah dan salah guna kuasa Taib.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dihubungi Tv Selangor hari ini membidas sikap kedua-dua pimpinan Barisan Nasional itu sambil berkata, tidak ada sebarang kata sepakat pun yang dicapai antara kedua pemimpin BN itu tentang bila Taib akan berundur.

" Ini satu lagi bukti sikap tidak jujur dan ikhlas berhubung isu yang menjadi subjek utama dalam pilihanraya besar Sarawak. Apabila beliau berkata akan berundur dalam beberapa masa namun tidak menyatakan tarikh tertentu sama ada setahun, dua tahun atau lima tahun.

" Sungguhpun Perdana Menteri mengatakan ada persefahaman mengenai perancangan pengunduran Taib, tapi sangat jelas bahawa Najib pun tidak tahu bila Taib akan undur," katanya.

Sementara itu, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan media berkata, Najib sendiri gagal untuk mengawal Taib yang sudah terlalu lama memegang tampuk kuasa di Sarawak.

Najib yang terdesak dan bimbang akan kedudukan BN di Sarawak hanya mampu mencanang berita kononnya Taib akan berundur dalam masa terdekat

" Menyedari hakikat tersebut, Najib selaku Presiden BN sebelum pilihanraya sudah memulakan rundingan untuk proses pengunduran Taib, namun oleh kerana takut
dengan ugutan Taib, jentera BN akan berada di luar kawal jika Taib tidak menerajui BN dalam pilihanraya negeri kali ini, maka Najib bersetuju Taib terajui jentera pilihanraya negeri tetapi akan berundur sebaik sahaja selepas itu.

" Namun setelah memulakan mood kempen disedari sememangnya rakyat menolak Taib sepenuhnya dan tanpa selindung Najib mengumumkan Taib akan berundur dalam masa terdekat. Najib sendiri panik akan kehilangan banyak kerusi di Sarawak maka dia sendiri terpaksa berkampung di Sarawak,"katanya.

No comments: