Himpunan bantah Lynas ‘Occupy Balok-Gebeng’ Sabtu ini

Himpunan bantah Lynas ‘Occupy Balok-Gebeng’ Sabtu ini

KUANTAN: Ibu negeri Pahang ini sekali lagi akan dibanjiri puluhan ribu pembantah loji memproses nadir bumi Lynas, dengan program santai ‘Occupy Balok-Gebeng’ pada 23 dan 24 Jun ini.

Program anjuran NGO Himpunan Hijau itu akan berlangsung selama 24 jam bermula pukul 12 tengahari 23 Jun dan akan berakhir pada jam yang sama keesokan harinya dengan kemuncaknya peserta berkumpul di hadapan Lynas, Gebeng.

Menurut Pengerusi Mobilisasi program berkenaan, Nasrun Amir Abdullah, pelbagai acara akan diadakan selama dua hari itu dengan pelancarannya akan diadakan di Pelangi Beach Resort pantai Balok.

Katanya, selain daripada itu program akan diisi dengan pameran, mini konsert melepaskan layang-layang yang tertulis mesej selamatkan bumi dan ceramah.

“Di tapak pelancaran pada sebelah malam akan diadakan ceramah melibatkan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, aktivis Hishamuddin Rais dan Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack.

“Pada waktu yang sama juga di Kampung Padang jalan Sungai Lembing, satu ceramah lagi akan dijayakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat Zulkefly Omar.

“Pada esoknya pula bermula pukul 9 pagi peserta akan bertolak ke Gebeng di mana terletaknya kilang Lynas. Perarakan akan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu,” jelasnya.

Menurut Nasrun, jarak di antara Balok ke Gebeng ialah 11 kilometer jadi orang ramai boleh menyertai konvoi dengan berkereta, motosikal atau berjalan kaki," kata Wong.

Serentak dengan itu, beliau menyeru seluruh penduduk Kuantan yang berkesempatan agar hadir ke program berkenaan demi menunjukkan bantahan dengan operasi kilang Lynas seperti dua perhimpunan yang diadakan sebelum ini.

“Himpunan tersebut hanya mahu menyatakan rasa hati penduduk Kuantan yang mempunyai hak untuk bersuara dan sesuai dengan amalan hak-hak demokrasi dan kebebasan yang diizinkan undang-undang.

“Jika boleh kami mahu program ini disertai tidak kurang daripada perhimpunan terdahulu iaitu tidak kurang daripada 20,000 orang,” katanya.

Perhimpunan membantah Lynas di Gebeng itu merupakan yang ketiga selepas perhimpunan pada 26 Februari lalu di padang awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan 9 Oktober tahun lalu di pantai Taman Gelora, Kuantan.

Baru-baru ini jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC) yang diketuai Datuk Seri Khaled Nordin mengesyorkan
Lynas Corp diberi Lesen Operasi Sementara (TOL) kerana menurut kajian mereka kilang yang dianggap kontroversi itu selamat.

Bagaimanapun penduduk tetap tidak berpuas hati dan membantah keputusan kerajaan untuk meluluskan lesen TOL untuk projek Lynas kerana menganggap PSC hanya membenarkan tindakan menghalalkan lynas oleh pihak kerajaan sebelum ini.

DAHSYAT MALAYSIAKU


Awas! Pangsapuri hantu di Kuala Langat

Hafizan Taib, Selangorku, 22 Jun 2012

(Dr Yunus berucap dalam ceramahnya)

KUALA LANGAT: Mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), terdapat sebuah pangsapuri enam tingkat di daerah ini yang didiami sejumlah pengundi.

Tetapi, apabila diperiksa, bangunan tersebut hanya ada empat tingkat sahaja.

Terdapat juga rumah di sekitar daerah ini yang mempunyai sampai 30 pemilih dalam satu rumah, kata ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi.

Dr Ahmad Yunus, yang juga Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, mendedahkan bahawa pemantauan daftar pemilih juga mendapati terdapat pertumbuhan pengundi baru yang mendadak di daerah itu sebanyak 17,000 orang.

Kerajaan Negeri telah mengumumkan sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha membersihkan daftar pemilih khususnya di negeri Selangor melalui “Kempen SelangorKU Bersih”.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku ini.

Program tersebut adalah satu inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan.

Di kawasan DUN Sijangkang sahaja kata Dr Yunus, terdapat 8,000 pengundi baru, satu fenomena yang mencurigakan.

Pendedahan mengenai pengundi yang meragukan ini dibuat oleh Dr Yunus dan beberapa pemimpin Pas Selangor di ceramah “Awas Pengundi Hantu Di Rumah Anda” di Teluk Panglima Garang di sini semalam.

Turut serta di dalam ceramah tersebut Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

“Apa yang kita lihat daftar pengundi baru ini boleh dipertikaikan kerana siasatan dibuat kita dapati maklumatnya berbeza,” kata Dr Yunus.

Sebelum ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pernah mendedahkan bahawa terdapat 400,000 ribu pengundi baru di dalam daftar pemilih di Selangor yang mana status mereka mencurigakan.

Ini termasuk berpuluh-puluh pemilih yang didaftar di satu alamat, mereka yang di daftar sebagai pengundi di Selangor tetapi bermastautin di luar negeri dan pengundi pos yang dipindahkan ke dalam Selangor.

Pada 13 Jun beberapa kampung di Ampang membuat laporan polis dengan mendakwa, alamat rumah di kawasan mereka digunakan untuk mendaftar sampai 40 lebih pengundi.

Bagi mengenalpasti dan menjejaki pemilih yang meragukan di Selangor, Kerajaan Negeri telah melancarkan program “Selangorku Bersih”.

“Kita jalankan audit ini di setiap DUN bagi mengenal pasti pengundi yang sah di dalam senarai dikeluarkan.

“Kita ingin melihat hak mengundi ini hanya diberikan kepada mereka iaitu rakyat Selangor dan Malaysia untuk menentukan kerajaan dan bukannya orang luar,” Dr Yunus berkata di dalam ucapannya.

Penahanan 11 tahun di bawah ISA: Sew Lan tidak kesal Chan Wei See

Kami gagal bayangkan, makcik tua yang kurus, berdiri di depan kami sebagai seorang penjual bunga, adalah orang kuat Parti Buruh pada setengah abad yang lalu.

Siew Sew Lan (gambar kiri), satu nama yang kian dilupai.  Beliau berasal dari akar umbi.  Setelah bebas dari kem tahanan, beliau kembali semula ke akar umbi.  Siew begitu tenang ketika mengimbas pengalaman silam dirinya, bagai mengisahkan cerita orang lain.  Namun, jalan yang diharunginya, sarat dengan pengorbanan dirinya.

Siew menyumbang segala yang terbaik dalam zaman keremajaan dirinya kepada revolusi sayap kiri.  Selepas peristiwa 13 Mei 1969, beliau ditangkap di bawah ISA, dan ditahan selama 11 tahun.  Dalam tempoh 11 tahun ini, kami cuba membayangkan keperitan yang menyeksa dirinya.  Tapi Siew tidak mengadu kesengsaraannya, sebaliknya dengan bersahaja berkata, "Saya sangat sibuk semasa dalam penjara.  Banyak kerja yang perlu saya habiskan."

Ketika ditanya sama ada beliau merindu sesuatu ketika dalam penjara, beliau menjawab, "Tak ada rindu.  Sayalah yang paling tak rindu."

Sememangnya beliaulah yang paling tidak terikat dengan kerinduan.  Siew kehilangan ibu pada usia 13 tahun.  Bapanya berkahwin kemudiannya.  Siew membawa empat orang adik untuk hidup secara berdikari.  Oleh kerana kemiskinan, Siew tidak pernah ke sekolah.  Beliau bekerja untuk menyara hidup keluarganya sejak usia belasan tahun, bekerja sebagai penoreh getah.  Oleh kerana upah yang diperolehi terlalu rendah untuk menyara hidupnya, maka Siew mengambil risiko untuk mencuri getah yang dimiliki "kapitalis asing".

Curi getah untuk sara hidup

Siew seorang gadis pergi menoreh getah bersama beberapa orang pemuda.  Siew curi getah pada sebelah malam.  Siew melalui landasan keretapi, tanah perkuburan, memikul getah yang beratnya berkilo-kilo ke rumah.  Demikianlah caranya membesarkan adik-adiknya.  Itu juga punca kesakitan pada pinggangnya.  Dah rosak ditekan, gagal diperbaiki lagi, kata doktor.

Siew pernah melalui hari-hari yang paling miskin, membuatkannya amat berani ketika itu.  Apabila melalui tanah perkuburan selepas mencuri getah, Siew akan berjalan di depan, dengan lantang menjerit, "Bagi laluan... Jangan panjangkan kaki kau ke sini.  Hantu miskin akan memijak hingga kaki kau patah."  Orang yang sepasukan dengannya bertanya, "Mengapa kau jerit si hantu miskin?"  Siew menjawab, "Apa-apapun hantu akan takut pada hantu miskin.  Mampuslah sesiapa yang bertemu dengan si hantu miskin.  (Hantu miskin) tak takut apa-apa..."

Maka si hantu miskin ini dengan keberanian yang ada, menyandang jawatan Pengerusi Parti Buruh Bahagian Kepong, pada usia 22 tahun.  Pada usia 30 tahun, Siew mencetuskan sesuatu yang menggemparkan.  Beliau melanggar perintah polis, merebut mayat rakan seperjuangannya, Lim Soon Seng yang ditembak mati oleh polis.  Siew percaya bahawa kejadian inilah yang menjurus kepada penahanan dirinya di bawah ISA selepas 13 Mei 1969.

Pengerusi Bahagian Kepong


Dalam satu temuramah bersama MerdekaReview, Siew Sew Lan mengimbas, ketika pilihan raya pada tahun 1955, Parti Buruh hanya meletakkan dua orang calon di seluruh Tanah Malaya.  Salah seorang bertanding di Kepong.  Ketika kempen pilihan raya, MCA menayangkan filem, dan Parti Buruh pula menarik undi dengan nyanyian dan ceramah.  Siew hadir kedua-dua rapat umum yang diadakan kedua-dua parti politik.

Ketika mendengar pemidato Parti Buruh merungkaikan manifestonya bagaimana sumber negara diagih, Siew menganggap orang miskin ada harapan.  Siew amat mengidamkan masyarakat sebegini.  Beliau yang terpukau dengan rapat umum, terikut-ikut untuk berlakon bagai pemidato ketika menoreh getah - meniru gelagat pemidato dari Parti Buruh mahupun MCA.

Kemudiannya, Parti Buruh Bahagian Kepong mengadakan aktiviti Hari Wanita pada 8 Mac.  Siew dipilih untuk berucap mewakili kaum wanita.  Pada malam itu, buat pertama kali Siew naik ke pentas dan berucap di depan ratusan orang.

Pada tahun 1961, Pengerusi Parti Buruh Bahagian Kepong berpindah dari Kepong, maka Siew Sew Lan yang mampu berpidato diangkat untuk menyandang jawatan Pengerusi Parti Buruh Bahagian Kepong.

Siew mengerah tenaga massa untuk membina jambatan, memperbaiki jalan, menderma untuk warga emas.  Melihat keadaan ramai yang tidak berpeluang untuk menikmati pendidikan lantaran kemiskinan, maka Siew memimpin untuk mengadakan kelas budaya, kelas bahasa Melayu, kelas tadika.  Antaranya, kelas tadika - selain diasuh guru, juga dibekalkan pengangkutan, penginapan dan makanannya.  Ibu bapa hanya perlu membayar enam ringgit sebulan, disambut dengan respon yang cukup memberangsangkan.

Siew mengisahkan kisah silam dengan catatan bertulisnya.  Beliau tidak pernah menerima pendidikan formal, namun dirinya sangat berminat untuk belajar.  Siew mempelajari bahasa Cina daripada adiknya ketika lapang.  Siew tidak kesal untuk dipenjarakan 11 tahun, tetapi mengakui kesal kerana tidak tekun belajar dan menimba ilmu ketika berada dalam tahanan.

Seringkali Siew mendakwa dirinya tidak berpengetahuan.  Namun dari suntingan yang dilakukannya dalam catatan perjuangan Parti Buruh dan Sayap Kiri, Siew memandang serius catatan bertulis.

Mogok dan perarakan

Selepas menerajui Bahagian Kepong, Siew menoreh getah di sebelah pagi, dan aktif dalam gerakan sosial pada sebelah petang.  Hidpunya sibuk tapi padat.  Tugas utamanya adalah berpidato, mengutip derma dan menyebarkan maklumat.

Pada 13 Februari 1965, Parti Buruh mengadakan satu perarakan besar-besaran sempena ulang tahun kedua penangkapan Ahmad Boestaman.  Siew memimpin Bahagiannya untuk menampal poster dan menyebarkan risalah.  Ini kali pertama Siew ditangkap polis, dan ditahan di Penjara Pudu.

Pada 30 Oktober 1966, Siew terlibat dalam kempen "Sokong Vietnam Tentang US", turun ke jalan raya untuk memprotes.  Pada tahun 1967, Siew adalah orang yang bertanggungjawab dalam kempen mogok di Selangor.  Beliau mengetuai perarakan besar-besaran Ladang Asahan di Melaka, dan mogok kerja di Triang.  Ketika mengetuai kaum buruh untuk berjalan kaki dari Melaka ke Kuala Lumpur, Siew ditangkap polis di Melaka, dan dibawa untuk ditahan dalam penjara Pudu.

Pada 9 November 1968, kerajaan melancarkan penangkapan secara besar-besaran dengan ISA, antara yang ditangkap termasuklah pemimpin Parti Rakyat, Parti Buruh, Kesatuan Kerja dan pimpinan siswa.  Siew Sew Lan antara nama dalam senarai 148 orang yang ditangkap.

Selepas ditahan untuk dua bulan, Siew Sew Lan dibebaskan dengan syarat.  Namun Siew tidak mengendahkan syarat-syarat tersebut.  Beliau melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti Parti Buruh selepas dibebaskan.

Rampas mayat dari polis

Pada April 1969, Parti Buruh mengumumkan keputusan parti untuk memboikot pilihan raya umum pada 10 Mei 1969.  Siew mengetuai ahli partinya untuk membuat publisiti.  Pada 4 Mei, bunyi tembakan bergema di jalan Kepong, ahli veteran Parti Buruh, Lim Soon Seng yang ditugaskan untuk mengecatkan slogan di Kepong telah ditembak polis pada bahagian belakang kepalanya, dan meninggal dunia.

Siew Sew Lan memikul tugas penting untuk menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Berkabung.  Pada keesokannya, Siew bersama ahli cawangan partinya menemani keluarga mangsa untuk mengambil mayat.  Pihak polis mahu bapa mendiang Lim bersetuju untuk menyemadikan mayat sebelum mengeluarkan surat pembuktian.  Bapa Lim menolak permintaan tersebut.  Suasana tegang berlanjutan.  Akhirnya Siew mengambil keputusan untuk merampas mayat, mengangkat mayat itu sendiri dengan bantuan orang ramai, dan dibawa dengan kereta untuk dijalankan upacara berkabung di Jalan Sultan.

Menurut catatan Sejarah Perjuangan Parti Buruh Malaya, sehari sebelum hari pengundian (9 Mei), mayat Lim dikebumikan.  "Perarakan yang disertai 30 ribu orang di pusat Kuala Lumpur, ribuan kain rentang, bendera, slogan menjadi arus yang menderas.  Laungan slogan bergema bagai petir.  Perarakan untuk mengiringi mayat Lim Soon Seng menjadi perarakan politik yang terbesar dalam sejarah."

Enggan larikan diri

Selepas pilihan raya 10 Mei 1969, berlakulah peristiwa berdarah 13 Mei.  Suasana menjadi tegang.  Rakan seperjuangan menganggap Siew akan ditangkap kerana isu Lim Soon Seng telah menjadi gempar.  Siew dinasihat untuk melarikan diri dengan segera.  Namun Siew menolak untuk berbuat demikian.

Dengan tegas Siew berkata, "Bolehkan saya meninggalkan sini dengan begitu sahaja?  Larikan diri untuk mengelakkan diri daripada ditangkap?  Semestinya anda boleh berkata, biarlah undur dulu sekarang supaya kita mampu mara pada masa depan.  Namun dalam keadaan sebegitu, memang gagal untuk saya berbuat demikian."

Pada malam 15 Mei, Siew ditangkap di rumah kediamannya.  Turut ditangkap pada masa yang sama adalah adik dan rakan seperjuangannya yang bermesyuarat ketika itu.  Pada tahun itu, Siew Sew Lan berusia 30 tahun.

Turun sekali lagi ke jalan raya

Ketika disoalsiasat, polis memaksa Siew untuk mengaku bahawa peristiwa 13 Mei disebabkan peristiwa Lim Soon Seng.  Namun Siew dengan tegas menafikannya, malah mendakwa bahawa peristiwa rampasan mayat berlaku disebabkan kerajaan.

"Hikmah saya, jati diri saya lahir kerana desakan kamu, bukan saya miliki secara semulajadi.  Saya tidak merancang untuk merampas mayat.  Tiada rancangan untuk melakukan sesuatu yang begitu menggemparkan.  Kamu (kerajaan) yang paksa saya, bukan arahan daripada Parti Komunis," katanya.

Siew yang tidak pernah menerima pendidikan formal memimpin revolusi dengan hikmah hidupnya, melalui 11 tahun dalam penjara, malah menyesuaikan diri dengan kehidupan baru setelah dibebaskan. (Bahagian pertama, bersambung)

*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Wawancara ini dijalankan bersama Siew Sew Lan pada 21 Mei 2012, disiarkan pada 7 Jun. Diterjemah dan disunting dari teks asal.

Lynas tidak jamin keluarkan residu dari Malaysia sepanjang operasi 20 tahun

Kelmarin, Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) membentangkan laporannya mengenai loji pemprosesan nadir bumi Lynas, mendedahkan maklumat dalaman yang baru.  Sekali lagi, ia menunjukkan kerajaan yang sentiasa mengeluarkan kenyataan kabur dan mengelirukan.

Terbaru, surat syarikat Lynas yang didedahkan menunjukkan bahawa syarikat Lynas sekadar menjanjikan bahawa residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara dikeluarkan dari Malaysia, dan bukannya residu yang terhasil sepanjang operasinya selama 20 tahun di sini.

PSC membentangkan laporannya mengenai loji Lynas, semalam, malah dilampirkan bersama laporan daripada kementerian berkenaan, Lynas, pakar, laporan pendengaran awam, mesyuarat, dan sebagainya, selain dua pucuk surat jaminan daripada Lynas.

Dalam dua pucuk surat yang masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012, Lynas Corporation Ltd., Australia dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. menulis bahawa pihaknya "bertanggungjawab terhadap pengurusan residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara (Temporary Operating License - TOL) termasuk jika perlu, pemulangan kepada sumber asal."

Oleh itu, Lynas sekadar menjanjikan bahawa pihaknya bertanggungjawab untuk menguruskan residu yang terhasil semasa tempoh TOL, dan mengeluarkannya dari Malaysia jika perlu - bukannya menjanjikan agar residu yang terhasil dalam tempoh operasi 20 tahun dikeluarkan dari Malaysia.

Namun, PSC tidak memaklumkan kepada kita akan hakikat ini, sebaliknya mengesyorkan, "sekiranya penyelidikan pengkitaran semula serta lokasi tidak dapat dikenal pasti atau diluluskan, Lynas hendaklah membawa residu yang dihasilkan oleh LAMP keluar dari Malaysia.  Dalam hubungan ini Jawatankuasa mengambil maklum bahawa pihak Lynas Corporation Ltd., Australia dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. telah mengemukakan surat masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012 yang merakamkan komitmen untuk membawa keluar residu LAMP dari Malaysia."

Selain itu, laporan PSC mendakwa bahawa projek LAMP (Lynas Advance Material Plant) adalah sebuah kilang kimia yang selamat.  Lebih-lebih lagi, maklumat yang dibentangkan Lynas kepada PSC menunjukkan bahawa proses operasinya tidak melibatkan tekanan tinggi, mengekalkan suhu alam dan bukan bahan mudah bakar.

Padahalnya, salah satu peringkat pemprosesan kilang tersebut melibatkan suhu setinggi 650 darjah celsius.  Dalam bidang kimia, 650 darjah celsius dianggap suhu ekstrem (extreme temperature). Dalam tulisan seterusnya, MerdekaReview akan membangkitkan 10 persoalan dan keraguan daripada laporan PSC yang dibentangkan semalam.
*Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia.  Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

KESIAN ZUL NORDIN.BALIK KULIM PUN ORANG MELUAT..PI MANA PUN ORANG MELUAT

 Hang cakap macam-macam la ........









Mengapa lesen Lynas diberikan sebelum EIA diluluskan?

10 persoalan di sebalik Laporan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai projek loji pemprosesan nadir bumi Lynas. (Sila rujuk sini untuk laporan penuh PSC.)
1. Surat jaminan hanya terhad kepada dua tahun

Sebelum ini, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memaklumkan rakyat, bahawa syarikat Lynas telah menandatangani surat "UNDERTAKING" untuk bersetuju mengeluarkan residu dari Malaysia, dan dipulangkan ke Australia - seandainya projek pengkitaran semula residu gagal, dan lokasi fasiliti pelupusan kekal tidak dapat dikenalpasti di Malaysia.

Namun, dua surat yang dilampirkan (Lampiran IV) dalam Laporan Jawatankuasa, masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012, tercatat, "Lynas Malaysia Sdn Bhd dengan ini bertanggungjawab terhadap pengurusan residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara (Temporary Operating License - TOL) termasuk jika perlu, pemulangan kepada sumber asal."

Surat "UNDERTAKING" ini tidak menjamin bahawa Lynas perlu mengeluarkan residu dari Malaysia setelah memperolehi lesen rasmi (untuk operasi 20 tahun).  TOL hanya membenarkan operasi untuk tempoh dua tahun.  Melainkan Lynas membuat permohonan TOL berulang-kali, dan AELB membenarkan Lynas beroperasi dengan TOL* - jika tidak, Lynas hanya akan mengeluarkan residu dari Malaysia dalam dua tahun pertama selepas beroperasi.

2. Syarat yang ketat untuk membina kilang di Australia

Pada muka surat ke-37 Lampiran 1 - ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN SERTA ULASAN AGENSI DALAM SESI PENDENGARAN AWAM, AELB respon kepada persoalan yang diajukan beberapa orang penduduk Kuantan - mengapa Lynas tidak membina kilangnya di Australia, sebaliknya di Malaysia.  AELB memaklumkan bahawa satu lagi syarikat pemprosesan nadir bumi Arafura Resources akan membina loji pemprosesan nadir buminya di Australia Selatan.

Jawapan ini seolah-olah menyampaikan satu mesej, bahawa loji pemprosesan nadir bumi padahalnya boleh dibina di Australia, cuma Lynas tidak memilih untuk membina lojinya di Australia.  Namun, seandainya prosedur permohonan Arafura Resources untuk membina loji nadir bumi di Australia diteliti, maka kita akan mendapati ia bagai langit dengan bumi - untuk bandingkan Arafura Resources dengan Lynas.

Arafura Resources mendukung ketelusan dalam operasi sebermulanya.  Dalam prosedur permohonan lesennya, Arafura Resources dengan jelas menyenaraikan langkah-langkahnya, dialog bersama penduduk tempatan, menunjukkan Laporan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) kepada penduduk tempatan.

Mungkin AELB lupa bahawa ketika Lynas memohon lesennya di Malaysia, penduduk tempatan langsung tidak mengetahui apa-apa.  Malah, laporan EIA dan RIA (Penilaian Kesan Radiologi) oleh Lynas hanya diumumkan apabila berdepan dengan tekanan masyarakat.  Itupun pembinaanya telah siap untuk lebih 50%.

3. Ada bezanya pembinaan kilang asal di Australia

PSC telah menghantar satu rombongan, yang terdiri daripada wakil AELB dan MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) untuk mengadakan lawatan saintifik rasmi ke agensi-agensi penguatkuasa Western Australia bagi menentusahkan semua dokumen, permit dan lesen yang dikemukakan oleh Lynas (M) Sdn Bhd bagi permohonan mendapatkan Lesen Kendalian Sementara (TOL) dan dokumen-dokumen berkenaan telah mendapat kelulusan daripada agensi yang berkaitan di Western Australia.

Setelah bertemu dengan kerajaan Western Australia, wakil Malaysia memetik maklumat yang dibekalkan pegawai Western Australia untuk menyanggah dakwaan badan anti-Lynas, bahawa Lynas datang ke Malaysia kerana tidak dibenarkan membina loji di Australia.  Dalam Lampiran VI, LAPORAN LAWATAN TEKNIKAL RASMI KE AGENSI PENGUATKUASA DI WESTERN AUSTRALIA, menunjukkan bahawa EPA (Environmental Protection Authority) Australia pada Mac 1988 telah melanjutkan lesen sebuah syarikat, Ashton Rare Earth Pty Ltd, yang melombong di Mt Weld dan membina loji pemprosesan nadir bumi di Meenaar, kawasan perindustrian Australia.

Syarikat Lynas telah mengambil alih Ashton Rare Earth Pty Ltd pada tahun 2003, dan mengalihkan hartanya ke bawah syarikat Lynas, termasuk lesen loji pemprosesan nadir bumi di Meenaar.  Syarikat Lynas di Malaysia juga menunjukkan kepada media pada 19 April 2012, bahawa syarikatnya dilanjutkan permitnya oleh kerajaan Australia, sebagai bukti bahawa syarikatnya dibenarkan membina loji di Australia.  EPA juga mengesahkan bahawa operasi loji berkenaan tidak memerlukan laporan EIA selanjutnya.  Laporan EIA yang baru hanya diperlukan apabila loji yang baru membawa impak yang besar terhadap alam sekitar.

Secara luarannya, maklumat feedback yang dikemukakan oleh delegasi AELB kepada PSC ini menunjukkan bahawa kerajaan Australia telah memberi lampu hijau kepada Lynas untuk membina loji di Australia.  Namun PSC seolah-olah tidak faham bahawa pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, adalah berbeza dengan projek pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Australia oleh Ashton Rare Earth Pty Ltd pada ketika itu.  Loji Ashton Rare Earth Pty Ltd menggunakan cara pengurusan residu strategi kawalan penuh, iaitu air buangan loji akan disejatkan sepenuhnya, dan kemudian sisa yang tinggal akan dikebumikan di Mt Weld.  Tetapi, loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Malaysia bakal menghasilkan 500 tan air buangan setiap jam untuk disalurkan ke Laut China Selatan.

Anggota Stop Lynas Coalition, Soo Jin Hou telah menganalisa secara mendalam perbezaan antara operasi Lynas dengan Ashton Rare Earth Pty Ltd di Australia.  Artikel yang ditulisnya pada tahun 2011 telah disiarkan di Free Malaysia Today.

4. Pembohongan

Laporan mendakwa bahawa Lynas adalah sebuah kilang kimia yang selamat.  Maklumat yang diserahkan oleh Lynas kepada PSC mendakwa lojinya adalah Atmospheric pressure, Ambient temperature, Not easily flammable. (Lampiran II "Salient Points on Lynas Advance Material Plant")  Namun Lynas tidak menyatakan peringkat paling penting dalam operasi lojinya, iaitu cracking - menggunakan Rotary Kiln untuk membakar batu nadir bumi selama 2.5 jam di bawah suhu 650 darjah celsius.  Dalam bidang kimia, 650 darjah celsius dianggap sebagai extreme temperature.  Pembohongan Lynas bahawa lojinya beroperasi dalam "ambient temperature", sekali lagi menunjukkan masalah integritinya.

5. Lesen diberikan sebelum EIA diluluskan

PSC tidak menyiasat sama ada pembinaan loji Lynas di Malaysia telah melanggar undang-undang yang ditetapkan negara kita.  Dalam Laporan PSC (mukasurat 7), "Lynas kemudiannya telah mendapat kelulusan Lesen Pengilang MITI untuk menghasilkan nadir bumi oksida dan karbonat di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan berkuat kuasa pada 22 Januari 2008 yang tertakluk kepada Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 di bawah kawalan AELB dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah kawalan JAS.  Jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa projek LAMP telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) daripada JAS Negeri Pahang pada 15 Februari 2008."

Dengan kata lain, PSC sudah maklum bahawa lesen pengilang Lynas telah diluluskan tiga minggu sebelum laporan EIA diluluskan.  Mengapa PSC tidak mempertikaikan sama ada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) mematuhi prosedur yang ditetapkan?  Dalam keadaan di mana kesan terhadap alam sekitar belum dikenalpasti, apakah alasan untuk MITI membenarkan pembinaan loji Lynas di Malaysia? (Bahagian pertama, bersambung)
*Ketua Pengarah AELB Abdul Aziz Raja Adnan pernah mendakwa bahawa Lynas boleh memohon TOL berulang-kali, untuk melanjutkan tempoh operasinya.  Namun, proses permohonan agak menelan masa dan kosnya amat tinggi. Rujuk: http://www.merdekareview.com/news_v2.php?n=23968
**Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia.  Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

DAPAT BANYAK TU...HANG SANGGUP JADI PECACAI BALUN PAKATAN

PRU pada musim Haji: Pemuda PAS desak Majlis Fatwa keluarkan fatwa Nik Abduh Nik Abdul Aziz |

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli-ahli dan para penyokong PAS yang akan menunaikan haji pada tahun ini menundakan haji mereka untuk mengutamakan pilihanraya umum ke-13 mendapat hentaman hebat bertubi-tubi daripada pihak media arus perdana yang dikelolai UMNO  dan BN.

Seandainya Najib Razak tetap ingin mengadakan pilihanraya semasa musim haji, maka seramai lebih kurang 20 ribu rakyat Malaysia yang sedang menunaikan haji telah terlepas dan terhalang haknya untuk memilih dan mengundi.

Apa yang membimbangkan DPPM dan mengecewakan seluruh rakyat Malaysia  amnya, sehingga hari ini Perdana Menteri Malaysia masih bermain tarik tali untuk membubarkan parlimen dan sekaligus mengumumkan tarikh pilihanraya umum ke-13.

Justeru, dalam menangani isu ini pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ingin bertegas untuk mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengeluarkan fatwa atau sekurang-kurangnya pendirian umum Majlis Fatwa berkenaan dengan isu mengadakan pilihanraya dalam musim haji.

Jika Majlis Fatwa Kebangsaan JAKIM mampu bersuara dan mengeluarkan fatwa untuk aktiviti yang berkaitan dengan pihak pembangkang, maka amatlah wajar Majlis Fatwa untuk mengeluarkan fatwa dan pendirian berhubung dengan isu yang amat besar ini walaupun ia berkaitan dengan Kerajaan Malaysia.

Selari dengan fungsi yang ditetapkan oleh pihak JAKIM terhadap bahagian Pengurusan Fatwa, Majlis Fatwa menjadi penasihat kepada Kerajaan Persekutuan dalam hal-hal berkaitan dengan fatwa dan juga menjadi sumber rujukan dengan mengemukakan fatwa sebagai penyelesaian terhadap setiap permasalahan berkaitan hukum-hakam.

Isu mengadakan pilihanraya semasa musim haji adalah isu yang amat besar dan serius, kerana ia melibatkan kehormatan kita sebagai umat Islam terhadap musim ibadah tersebut dan juga hak rakyat Malaysia seramai lebih kurang 20 ribu orang yang terjejas dan kehilangan hak memilih, Majlis Fatwa mesti bertindak cepat sebelum terlambat.

Mengambil ibrah tercetusnya perjanjian Hudaibiyah, apabila Rasulullah S.A.W dan para sahabat bermusafir ke Makkah dengan berpakaian ihram dan tidak membawa senjata kerana menghormati "asyhurul ahram" (bulan-bulan mulia yang diharamkan peperangan oleh Allah).

Saya mewakili DPPM berharap agar pihak yang berwajib yang menanggung amanah ini tidak mengambil sikap sambil lewa dalam menangani permasalahan umat seperti ini, janganlah bersikap memilih bulu pihak-pihak berkepentingan sahaja dalam hal ini demi menjaga kemaslahatan yang lebih besar. 

*Kenyataan media oleh Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar kiri) selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

"ISA bukan hukuman, tetapi pemulihan"?


"ISA bukan hukuman, tetapi pemulihan"?
 
Nashita Md Noor | Jun 18, 2012 12:20:27 pm




Pada satu pagi di bulan Ramadan sepasang suami isteri baru sahaja selesai bersahur bagi persediaan berpuasa di siang harinya.  Tiba-tiba suasana menjadi kecoh dan bising.  Pintu dipecahkan dan dirempuh masuk sekumpulan lelaki asing dengan kasar dan mereka turut membawa senjata api.  Pintu rumah pecah.  Seluruh rumah digeledah dan disepahkan.  Si suami digari tangannya ke belakang.  Si anak yang baru berusia sekitar dua tahun terjaga dari tidur dan terus diajak duduk di riba ayahnya (abi).

"Jangan takut ini kawan abi," Si ayah cuba berselindung bagi menutup keadaan kekecohan yang sebenarnya berlaku yang bakal meninggalkan kesan buruk ke atas anaknya yang masih kecil itu.  Anak yang masih kecil duduk berdiam diri di atas ribaan ayahnya.  Kata ibunya begitulah sikap si Anak Umar Al Khatab setiap kali bila baru bangun dari tidur akan mencari ayahnya.  Si isteri kebingungan meninjau ke luar dan kelihatan banyak kereta polis di luar termasuk trak pengesan bom.  Suasana pagi itu tidak ubah seperti sekumpulan penguasa yang cuba menangkap seorang pengganas yang amat bahaya dan paling dikehendaki.

Setelah segalanya selesai, si suami ditutupkan kepalanya dengan kain hitam dengan tangan yang bergari di belakang dibawa pergi dan tidak dikembalikan hingga kini.  Peristiwa ini berlaku pada 13 Ogos 2010.

Mustawan Ahbab seorang warga Indonesia berusia 34 tahun sudah lima tahun menetap di Malaysia dan bekerja sebagai seorang eksekutif pemasaran di sebuah syarikat penerbitan buku di Kuala Lumpur.  Beliau ditangkap dengan dakwaan menjadi anggota pengganas antarabangsa - menganggotai Jamaah Anshorut Tauhid yang berpengkalan di Indonesia yang telah memberi latihan ketenteraan kepadanya.  Beliau dituduh menjadi agen bagi mengumpulkan dana untuk pergerakan itu di Malaysia.

Seperti apa yang berlaku ke atas mangsa akta zalim ISA yang lainnya, Mustawan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting setelah tamat tempoh tahanan reman selama dua bulan.  Pada 11 Oktober 2010 beliau dihantar ke Kem Kamunting untuk melalui tempoh tahanan selama dua tahun di bawah akta zalim ISA yang kuasa membebaskannya hanya ada di tangan Menteri Dalam Negeri.

Pada 14 Jun 2012 adiknya dari Jakarta Indonesia telah datang ke Kuala Lumpur buat pertama kalinya sejak Mustawan ditahan hampir dua tahun lepas.  Tiga orang adik-adiknya berserta seorang saudara sepupu membawa segunung harapan untuk melihat Mustawan dibebaskan segera.

Hari pertama mereka tiba di Kuala Lumpur, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah membantu membawa mereka bertemu dengan pegawai Konsulat di Kedutaan Indonesia.  Kehadiran kami bersama isteri Mustawan Khairunizah Bt Md Akhir dan adik-adik Mustawan disambut mesra oleh pihak Kedutaan.  Namun malangnya pihak Kedutaan tidak mempunyai maklumat bahawa masih ada seorang lagi warganya sedang merengkuk di Kem Kamunting.  Mereka hanya tahu tentang perkara ini apabila dihubungi oleh pihak SUHAKAM.  Pegawai Kedutaan Indonesia hanya melawat Mustawan di Kem Kamunting pada 1 Jun lepas bersama rombongan pihak SUHAKAM.

Maklumat ini sudah tentu membuatkan keluarga yang datang dari jauh resah dan kecewa.  Selesai pertemuan pihak keluarga meletakkan harapan besar untuk GMI membantu mereka bertemu dengan pihak Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Pada pagi 15 Jun satu pertemuan telah ditetapkan dengan Aswanjaya, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Ketenteraman Awam dan Keselamatan.  Kami di GMI tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada pertemuan ini berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lepas namun demi membantu ahli keluarga yang bersusah payah datang berusaha untuk membebaskan saudara mereka kami membantu sedaya mungkin walau jawapannya yang bakal diterima sudah diketahui.  Tidak mungkin Mustawan dapat dibebaskan dengan segera melainkan terpaksa menunggu hingga tamat tempoh tahanan 2 tahun pada 3 Oktober 2012 ini.  Di waktu itu bila akta baru yang menggantikan ISA dikuatkuasakan Menteri Dalam Negeri sudah tidak ada kuasa untuk terus menahan Mustawan di bawah akta ISA.

"Namun jika Mustawan ada melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen, memalsukan cop perjalanan dan semua kesalahan lain beliau mungkin akan didakwa."  Begitulah kata-kata Aswanjaya kepada ahli keluarga yang turut hadir.

"Tidak, Mustawan tidak melakukan semua itu." Jelas adik perempuan Mustawan, Qoyyumah Ahbab yang menjadi jurucakap bagi pihak keluarga.

"Tolong berikan tarikh bila kakak kami bisa dibebaskan agar mudah untuk kami memberitahu kepada ibu yang mengharap.  Ibu tidak dapat hadir kerana masih terkejut," jelas adik lelaki Mustawan, Afiq Ahbab.

Begitulah yang terjadi apabila seorang ditangkap di bawah ISA ahli keluarga berharap agar mereka dibebaskan segera dan mereka mahu tahu tarikh pembebasan.  Ahli keluarga juga mahu tahu apakah kesalahan yang dilakukan sehingga ditangkap tetapi tidak dibicarakan dan mereka mahu bukti kepada kesemua dakwaan tersebut.

"Kami mempunyai maklumat-maklumat yang Mustawan terlibat dengan semua tuduhan.  Kami mempunyai bahagian risikan yang mempunyai maklumat tersebut."  Jelas Aswanjaya (gambar kiri) kepada ahli keluarga.

Ahli keluarga terpaksa menerima kenyataan tersebut begitu sahaja.  Itu yang paling sukar untuk mereka menerima kerana Mustawan dikenali sebagai seorang abang yang baik dan soleh.

"Saya rasa adalah lebih baik pihak keluarga tidak mengetahui ke semua kejahatan-kejahatan yang pernah dilakukan oleh Mustawan."  Terkejut kami semua mendengar kenyataan yang keluar dari mulut pegawai ini.  Mudah baginya untuk berkata begitu sedangkan tiada bukti yang pernah dikemukakan.

Sebagaimana pengakuan tahanan sendiri kepada ahli keluarga, peguam dan SUHAKAM, mereka tidak pernah disoal siasat mengenai semua pertuduhan ke atas mereka bahkan setiap kali mereka dibawa semula ke Bukit Aman dalam tempoh dua tahun mereka di Kamunting untuk disoal siasat juga tidak pernah disoal tentang pendakwaan yang dilemparkan.

Mereka dijanjikan akan dibebaskan sebaik tamat tempoh penahanan dua tahun.  Sungguh undang-undang ini sewenangnya menahan seseorang dan mengenepikan kesemua hak asasi ke atas seseorang kerana tidak ada bukti yang akan dikemukakan walaupun setelah mereka dibebaskan.

"ISA bukanlah hukuman.  Ianya adalah pemulihan sepertimana pemulihan yang dilakukan ke atas penagih dadah."  Satu lagi kenyataan dari Aswanjaya.

"Sadis sungguh undang-undang ini."  Kecewa benar adik-adik Mustawan.  Memang benar memang sungguh sadis.  Undang-undang ini boleh digunakan untuk menangkap sesiapa sahaja yang mereka terasa ingin menangkap dan kemudiannya buat pertuduhan yang mereka suka.  Kononnya atas hasil siasatan dan risikan.  Bagi mereka ianya atas nama "Menjaga Keselamatan Negara".  Hanya undang-undang ini sahaja yang dapat menjaga keselamatan negara.  Hak Asasi yang dilaung-laungkan oleh GMI dan pejuang hak asasi yang lainnya diambil dari Barat dan tidak dapat menjaga keselamatan negara - memetik sebahagian hujah dangkal Ketua Penolong setiausaha Bahagian Ketenteraman dan Keselamatan.

Apa lagi yang mahu dilengahkan.  Kenapa tidak dibebaskan sahaja semua tahanan ini.  Bukti tiada, soal siasat juga tiada.  Tahanan ISA ini juga sudah tentu berkelakuan baik di dalam Kem Kamunting.  Atas alasan apa lagi mahu dilengahkan pembebasan mereka hingga mereka sanggup untuk meneruskan aksi protes dengan Mogok Lapar sekirannya janji-janji untuk membebaskan segera mereka tidak diendah.

Tidak ada sebab lain selain dari sifat ego dan sombong Menteri Dalam Negeri yang terus menerus mendiamkan diri di atas semua desakan ini dan tidak memandang berat akan Mogok Lapar yang telah dilakukan oleh tahanan sebaliknya menuduhnya sebagai tindakan untuk mengalihkan dari isu sebenar.

GMI dalam kenyataan mereka menyebut bahawa, "Sifat berdiam diri ini menunjukkan egoistik Menteri Dalam negeri yang enggan mengalah dalam membebaskan kesemua tahanan.  Sifat ego Menteri Dalam Negeri ini telah dilihat sejak awal pengumuman pemansuhan ISA apabila beliau pada 21 November 2011 mengeluarkan kenyataan bahawa semangat penahanan tanpa bicara akan dikekalkan dalam undang-undang baru yang menggantikan ISA.  Sifat sombong ini terus kelihatan sehingga ke hari ini apabila beliau juga tidak memberi sebarang alasan kukuh mengapa tahanan ISA masih tidak dibebaskan."

Siapa lagi yang akan terus menjadi mangsa kepada kesemua akta zalim yang ada?  Kita semua rakyat Malaysia.  Sesiapa sahaja layak menjadi mangsa kepada akta-akta zalim yang ada.

Anak-anak yang ditinggalkan akan terus menerus menagih rindu kepada si ayah.

"Mana Abi?" Umar Al Khatab bin Mustawan empat tahun adalah salah seorang mangsanya.

Bebas segera Mustawan dan 44 orang yang lainnya.  Bebas ISA 45!
*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara.

HAJI HADI GESA RAKYAT JOHOR BERUBAH...KALAU HANGPA NAK BERUBAH...TAK BERUBAH PUN LANTAK HANGPA LA...

Abdul Hadi juga menggesa supaya rakyat negeri ini tidak menjadi seperti "ekor cicak" dalam usaha untuk menuju perubahan supaya tidak ketinggalan.







"Kita berharap orang Johor juga ikut buat perubahan. Kita tidak mahu orang negeri lain berubah, Johor tak berubah.

"Johor jadi ekor cicak. Ekor cicak kita tahu lah, putus ekor dia... (bunyi ekor menggelepar) tinggal situ saja. Jangan!. Johor mesti buat perubahan sama," katanya yang diiringi ketawa para hadirin.

Dengan memberi contoh Abdul Hadi berkata rakyat Amerika menolak presiden Nixon yang didakwanya menipu dalam pilihan raya selepas mahkamah membuktikannya dan rakyat Perancis menolak bekas presiden negara itu Sarkozy yang didakwanya menerima wang daripada Muaamar Gadafi.








BAGI KAIN PELIKAT DAN RM10

"Tempat kita (lagi) dapat duit, lagi sokong. Tetapi di barat walaupun pentingkan kebendaan, tetapi mahu sistem (pentadbiran) negara yang baik," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Abdul Hadi berkata peluang PAS  untuk menang dalam pilihan raya "tidak mudah tetapi tidak mustahil" untuk mencapainya.



YANG CERDIK SUDAH SERTAI PAKATAN...YANG TAK CERDIKSOONG Umno...MAHATHIR MOHAMAD,BAPAK PENIPU.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mazlan Aliman yang ditemui Malaysiakini selepas sidang media berkata PAS Johor bertanding 28 hingga 31 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen.

Menurutnya lagi, pada kemuncak himpunan Hijau peringkat negeri itu pada 29 Jun ini, beberapa tokoh pemimpin, bekas pegawai polis dan tentera serta  selebriti akan menyertai parti itu.

Defisit meningkat pasca perbekalan tambahan 2012

Loceng penggera peningkatan defisit negara sekali lagi dibunyikan berikutan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2012) 2012 di Dewan Rakyat semalam.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membentang RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2012 untuk memohon dana tambahan mencecah sejumlah RM15,295,345,000, di mana RM13,795,345,000 merupakan perbelanjaan bekalan manakala RM1,500,000,000 adalah bagi perbelanjaan tanggungan.  Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, perbekalan tambahan ini membebankan Negara dari segi kewangan dengan peningkatan hutang Negara yang setakat ini telahpun mencapai RM470,760juta <1>dan turut menyeret defisit fiscal secara keseluruhan ke suatu tahap yang memerlukan pengawasan yang ketara.

Dalam penulisan KPRU bersama William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang sebelum itu berjudul "Anwar vs Najib: Siapa lebih bijak dalam tadbir urus hutang kerajaan?"<2>, statistik KPRU telah menunjukkan dengan jelas trend defisit fiskal secara keseluruhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menampakkan perbezaan bermakna samada semasa ekonomi berkembang dengan baik atau semasa ekonomi meleset.

Kini, setelah membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2011) 2012 untuk mendapatkan tambahan peruntukan sebanyak RM10,290,243,800 bagi menampung perbelanjaan kerajaan tahun 2011 pada bulan Mac 2012, dalam tempoh masa yang singkat, Kerajaan BN sekali lagi membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2012 untuk mendapatkan tambahan peruntukan sebanyak RM15,295,345,000 bagi menampung perbelanjaan kerajaan tahun 2012.

RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussin untuk bacaan kali pertama kali ini dengan jumlah paling besar - RM11.2 bilion -diperuntukkan bagi "perkhidmatan perbendaharaan am".

Berikut ialah senarai kementerian/jabatan kerajaan dengan peruntukan masing-masing:

Jadual 1: Peruntukan Perbekalan Tambahan Berdasarkan Kementerian
Kementerian/Jabatan   Peruntukan  (RM)
Perkhidmatan Am Perbendaharaan  11,232,000,000
Kementerian Kerja Raya  445,800,000
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  404,000,000
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)   360,000,000
Kementerian Dalam Negeri   353,520,000
Perbendaharaan  300,000,000
Kementerian Pertahanan  210,000,000
Jabatan Perdana Menteri  112,900,000
Kementerian Pelajaran  195,000,000
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  60,000,000
Kementerian Kesihatan  40,000,000
Kementerian Sumber Manusia   23,000,000
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar  16,028,000
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah  16,028,000
Kementerian Pelancongan   15,000,000
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani   10,000,000
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi   10,000,000
Kementerian Pengangkutan   2,000,000

Sesungguhnya, kekurangan disiplin dan kehematan dalam pengendalian kewangan yang diamalkan oleh Kerajaan BN di bawah pimpinan Najib telah menyaksikan pemborosan yang begitu menonjol serta penuh dengan pelbagai tuduhan penyelewengan.  Biarpun Perdana Menteri telah berjanji berulang-ulang kali bahawa kerajaan akan mengambil insentif dan langkah bagi mengurangkan defisit fiskal, namun tiada pun kelihatan apa-apa usaha yang nyata, bah kata pepatah, apa payahnya menaupkan bibir atas bawah.

Kini, tambahan pula dengan pembentangan perbekalan tambahan, jangkaan bahawa defisit fiscal Negara akan terus terjunam ke paras yang membimbangkan selepas 15 tahun berturut-turut mengalami defisit. 

Menurut Laporan Ekonomi 2011/2012 Kementerian Kewangan Malaysia, unjuran defisit yang dialami oleh Malaysia pada tahun 2012 adalah masing-masing berada pada kedudukan 4.8 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK, atau Gross National Product (GNP)) dan 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK, atau Gross Domestic Product (GDP)) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual2.

Jadual 2: Kedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan 2012 (RM Juta)

Dikemaskini pada April 2012     2012  (Unjuran)
Hasil                         186,906
Perbelanjaan Mengurus          181,584
Perbelanjaan Pembangunan Bersih   48,343
Defisit/Lebihan Keseluruhan   -43,021
% dari KNK    -4.8
% dari KDNK   -4.7
KNK (harga semasa)  890,347
KDNK (harga semasa)  918,322

Sumber: Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan <3>

Memandangkan kerajaan memohon peruntukan tambahan yang berjumlah setinggi RM15,295,345,000 - suatu angka yang lebih tinggi daripada bajat tambahan sebanyak RM10,290,243,800 bagi menampung perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan untuk beberapa kementerian dan jabatan bagi perkhidmatan tahun 2011. Lantas, perbelanjaan kerajaan memecut dan memberi tekanan kepada defisit belanjawan Negara.

Dengan mengguna pakai data yang dibekalkan oleh Kementerian Kewangan dalam pengiraan defisit terbaru dengan menambah perbekalan tambahan yang baru dibentangkan dan mengekalkan faktor lain termasuk jumlah hasil pendapatan, adalah nyata bahawa defisit fiskal Negara kini telah mencecah 6.4 peratus daripada KDNK seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.

Secara amnya, perkembangan ekonomi Negara adalah senantiasa dalam arus yang dinamik, ada kalanya dilandai kemelesatan dan ada kala pula meraikan peningkatan; data dan maklumat berkenaan turut akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa.  Maka, pengiraan tersebut sekadar suatu anggaran dan dikemukakan sebagai rujukan.  Faktor lain seperti hasil pendapatan kerajaan mungkin berubah.  Misalnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya meningkatkan kutipan hasil tahun 2011 hampir 27 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, iaitu mencatat jumlah kutipan RM109.7 billion.<4>

Secara teori, peningkatan hasil Negara sememangnya dapat mengurangkan atau sekurang-kurangnya menstabilkan defisit fiskal Negara, atas premis perbelanjaan yang berhemat.  Permasalahannya, pengurusan kewangan oleh pihak kerajaan Malaysia yang menampakkan defisit fiscal berlarutan telah menimbulkan keraguan tentang kemampuan kerajaan semasa dalam menangani hutang Negara yang kian memuncak dan dalam merangka perbelanjaan Negara secara berhemat.

*Rujukan
<1> http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=statistic_nsdp
<2> http://kpru2010.wordpress.com/2011/10/25/the-auditor-general%E2%80%99s-report-and-debt-management-anwar-vs-najib/;http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12612
<3> http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/dataekonomi/2012/forecast/FGFP2012.pdf
<4> http://1malaysia.com.my/my/news_archive/peningkatan-kutipan-lhdn-tahun-lepas-pencapaian-luar-biasa-najib/
**Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal.  KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

KPRU merupakan institusi pertama yang melibatkan diri dalam kajian parlimen dan menyokong reformasi parlimen.  KPRU mengutamakan isu belanjawan tahunan negara, rancangan jangka panjang, demokrasi parlimen dan lain-lain. Untuk mencapai matlamat tersebut, KPRU bekerjasama secara rapat dengan agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan khidmat nasihat strategik, program pengunjungan spesifik dan menghasilkan dasar yang berasaskan fakta.

KABINET TERUS FITNAH BERSIH

Bukan satu kejutan tiada Menteri yang berani menyoal Kabinet semalam dalam mesyuarat mingguan mereka supaya memohon maaf secara terbuka bagi pihak Perdana Menteri, Najib Razak dalam dakwaan yang liar dan tidak berasas bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Jika tidak, kerajaan Barisan Nasional dan Kabinet Najib tidak akan menghadapi satu situasi di mana mereka kini menjadi bahan jenaka rakyat Malaysia terutamanya yang menyentuh kredibiliti mereka berbanding dengan kelima-lima Perdana Menteri sebelum ini dan barisan Kabinet mereka.

Menteri-menteri Najib akan bersetuju secara sulit bahawa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein tidak dapat menunjukkan sekelumit pun bukti untuk mengesahkan dakwaan karut yang tidak munasabah terhadap dakwaan tersebut, walaupun telah diberi sokongan padu oleh tiga bekas Ketua Polis Negara, Haniff Omar, Rahim Noor dan Musa Hassan dan apabila diasak lagi oleh Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz pada hari Rabu yang lepas di Parlimen yang juga tidak dapat menghasilkan apa-apa bukti dalam jawapannya kepada soalan saya berkenaan dengan dakwaan melulu itu.

Tetapi di khalayak ramai, tidak ada seorang pun Menteri yang berani untuk menyatakan bahawa Najib yang hanya pentingkan imejnya dan takut kepada persepsi umum, dalam dakwaan beliau yang tidak berasas berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 sebagai satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Malangnya, Najib telah gagal untuk menggunakan minggu pertama dalam sidang Parlimen untuk membaiki, membetulkan dan berdamai dengan ratusan ribu rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kelas, kawasan, jantina dan umur yang telah berhimpun secara aman di Kuala Lumpur pada 28 April untuk menyahut seruan untuk proses pilihanraya yang bersih.

Sebaliknya, dalam tiga hari pertama sidang Parlimen bermula minggu ini, Menteri-menteri Najib dan penyokong-penyokong tegar BN terus memfitnah dan mencemuh ratusan ribu peserta BERSIH 3.0 terutama sekali dengan kenyataan Nazri bahawa "garam dan air berbotol" boleh digunakan untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional.

Najib mesti sedar bahawa tindak-tanduk beliau sekarang sedang membawa padah kepada Barisan Nasional dengan lemparan tohmahan yang karut dan tidak munasabah terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 dan bahawa beliau sendiri termasuklah UMNO dan Barisan Nasional terpaksa menghadapi hakikat sebenar daripada pengamalan taktik politik kotor yang tidak bertanggungjawab dalam pilihanraya yang akan datang, pada bila-bila masa.
*Kenyataan media oleh Lim Kit Siang (gambar kanan) selaku Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Strategi 6+23 BN di Kelantan

Sekali lagi, Kelantan sebagai negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, bakal menjadi tumpuan negara menjelang Pilihan Raya Umum 13.  Bagaimanapun, jikalau dibandingkan dengan negeri PR yang lain, kesukaran PAS untuk memerintah Kelantan buat penggal keenam selepas tahun 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 - adalah lebih rendah.

Negeri Kelantan mempunyai 14 kerusi parlimen dan 45 kerusi DUN.  PAS menawan 38 kerusi DUN dan PKR memenangi 1 kerusi semasa PRU 12.  BN memenangi 6 kerusi DUN (dengan satu kerusi tambahan DUN Galas dalam PRK kemudiannya).  Untuk kerusi parlimen pula, PAS merampas 9 kerusi, dengan PKR menawan 3 kerusi dan BN 2 kerusi.

Kelantan adalah kubu PAS yang kukuh.  Ketika PRU 12 pada Mac 2008, PAS meletakkan pimpinan tinggi partinya di Kelantan untuk memastikan suara mereka dibawa ke parlimen.  Antaranya Timbalan Presiden ketika itu Nasharudin Mat Isa di Bachok, Bendahari Agung Hatta Ramli di Kuala Krai dan Ketua Dewan Pemuda ketika itu, Salahuddin Ayub di Kubang Kerian.

Dalam PRU akan datang, PAS telah mengumumkan bahawa 30% daripada calonnya adalah muka baru.  Sesetengah pimpinan yang menang dalam PRU 12 mungkin tidak lagi menyarung jersi kali ini lantaran tersungkur dalam pemilihan parti.  Pemimpin seperti Salahuddin Ayub misalnya, bakal bertanding di negeri asalnya, Johor, malah dikatakan seandainya PR berjaya menawan Johor, maka beliaulah calon Menteri Besar.

Dalam 30% muka baru yang dikatakan, anak Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz, antara yang paling menarik perhatian.  Beliau adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS.  Beliau dikhabarkan akan bertanding di Kubang Kerian yang ditinggalkan Salahuddin Ayub, ataupun Pasir Mas yang dimenangi Ibrahim Ali atas tiket PAS.  Ibrahim Ali dijangka gugur dari senarai PAS, lantaran kecenderungannya menjadi ahli parlimen pro-BN selepas menang dan kenyataan berbau rasis yang dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Perang tiga penjuru di Kota bahru

UMNO hanya menang dua kerusi parlimen daripada 14 yang ditandinginya melalui Tengku Razaleigh di Gua Musang (dengan rekod 10 kemenangan tanpa kekalahan); dan Mustapa Mohamed (Menteri Pengajian Tinggi ketika itu) di Jeli.  BN menerima tamparan hebat, sehingga hampir dicabut akarnya dari tanah Kelantan.

Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih dikenali dengan nama Kuli, berbeza pandangan dengan kerajaan persekutuan dalam isu royalti minyak di Kelantan.  Ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan, Kuli terlibat dengan rundingan Petronas dan negeri yang mempunyai sumber petroluem, malah merangka Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Justeru itu, persoalan sama ada Kuli bakal bertanding atas tiket UMNO masih sarat dengan pelbagai kemungkinan.

Daripada 14 kerusi parlimen, Kota Bharu akan menjadi tumpuan.  Ia dijangka bakal mempertembungkan Setiausaha Politik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Mohamad Fatmi Che Salleh dengan Zaid Ibrahim (daripada parti KITA, gambar kanan) dan calon PAS.  PAS dijangka meletakkan EXCO Kelantan, Takiyuddin Hassan, dan ahli parlimen sekarang, Wan Abdul Rahim, dijangka bakal digugurkan.

BN mula menjana jentera kempennya di kawasan ini, malah mengajak Presiden MCA Chua Soi Lek untuk berkempen di situ, dengan semangat yang berkobar-kobar untuk merampas kembali kerusi yang ditawan PAS.  BN menganggap wujudnya petanda-petanda bahawa undi mula kembali ke pangkuannya.  Lebih-lebih lagi sesetengah wakil rakyat PR "hilang begitu sahaja" selepas PRU.  Rakyat mula merungut kerana tiada perkhidmatan di tempatan.  Kebanyakan ini adalah kawasan yang mana akar umbi PAS adalah lemah, atau kawasan PKR.

Mustapa MB yang direstui BN


Dari segi DUN, BN menggunakan strategi 6+23, iaitu mengekalkan 6 kerusi yang dimenangi dalam PRU 12, ditambah dengan 12 kerusi yang mana undi majoriti PAS tidak melebihi 500 undi; dan 11 kerusi yang mana undi majoriti tidak melebihi 1000 undi.  BN melihat kawasan ini sebagai kawasan "kelabu", yang mungkin berpeluang untuk ditembusi, dan menawan kerajaan negeri Kelantan seterusnya.  BN Kelantan bertunjangkan UMNO yang bertanding di 44 kerusi, dan satu lagi kerusi Kota Lama ditandingi calon MCA.

BN Kelantan kini diketuai Mustapha Mohamad, (gambar kiri) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.  Seandainya berjaya menawan kerajaan negeri Kelantan, maka beliau adalah calon Menteri Besar yang direstui.  Sebelum ini, Mustapha tidak menafikan bahawa beliau mungkin akan bertanding kedua-dua kerusi parlimen dan DUN, dan strategi ini dilihat untuk mengangkatnya  sebagai MB.

Kali ini, UMNO menunjukkan perpaduan yang utuh, berbanding dengan keadaan berselerak, dengan puak-puak masing-masing pada zaman dahulu.  PAS tidak boleh memperlekehkan musuhnya kali ini, lebih-lebih lagi pengganti untuk Nik Aziz yang umurnya telah lanjut, belum lagi kelihatan.  Oleh itu, PAS perlu mengambil kesempatan untuk menonjolkan calon pengganti Nik Aziz dalam pilihan raya ini.  Ia untuk menstabilkan keadaan, dan mengelakkan pembaziran tenaga ekoran daripada pergelutan kuasa dalaman.

Kelantan adalah negeri yang mana majoritinya pengundi Melayu.  Pengundi biasanya mempertimbangkan parti politik dan bukan calonnya.  Semangat "kepartian" generasi tua amat menebal.  Hasrat undinya telah ditetapkan sejak awal lagi - dengan pendirian yang jelas untuk menyebelahi sama ada hijau atau biru.  Apa yang direbut BN dan PR adalah pengundi baru yang berdaftar selepas 308 - yang biasanya sukar diketahui hasrat yang terpendam dalam hati mereka.

Retorik "pembangunan" oleh BN kurang mujarab di Kelantan, dan gagal memikat hati pengundi.  Walaupun ramai pemuda bekerja di kota raya, tetapi mereka berharap kampung mereka tidak mengalami urbanisasi, sehingga mengundang masalah sosial.  Mereka berharap kejatian sedia ada dikekalkan.  Dari segi ini, PAS bertunjangkan semangat agama, mengutamakan ajaran agama, di samping pembangunan tempatan.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan pembinaan lebuhraya antara Kota Bharu dengan Kuala Krai dengan RM1.8 bilion, malah menyeru derma dari masyarakat.  Jelas, kerajaan negeri cuba meraih simpati dalam isu ini.  Kerajaan negeri membina sendiri lebuh raya ini untuk kepentingan rakyatnya, jikalau kerajaan persekutuan enggan berbuat demikian.  Ini kerana projek ini telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia kelima hingga kesembilan, dan dikeluarkan dalam Rancangan Malaysia ke-10.  Kini, tiada apa-apa kelihatan.

Perang bermula.  Namun, kesudahannya hanya akan diketahui pada saat-saat akhir.

Suaram: Pegawai Kanan Abdul Razak Baginda Akan Beri Keterangan Kes Scorpene


PETALING JAYA, 16 JUN: Seorang bekas pegawai kanan Abdul Razak Baginda, akan tampil di mahkamah Perancis bagi memberikan keterangan berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.
Jasbir Singh Chahl, yang merupakan pegawai Perimekar, sebuah syarikat kepunyaan Abdul Razak, telah disapina oleh mahkamah negara itu supaya hadir untuk memberi keterangan.
Pengarah SUARAM Cynthia Gabriel berkata Jasbir mempunyai banyak maklumat untuk dikongsikan dan beliau telah sahkan kehadiran beliau pada pendengaran kes tersebut.
Pengumuman ini yang dibuat di Majlis Makan Malam Kutipan Dana Ops Scorpene semalam, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.
Jasbir merupakan antara saksi yang disenaraikan oleh Suaram untuk disapina oleh mahkamah Perancis bagi kes Scorpene yang akan dibicarakan di negara tersebut.
Saksi lain yang telah dipanggil oleh mahkamah tersebut adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Abdul Razak yang merupakan bekas pembantu kanan Najib, turut dipanggil mahkamah tersebut.
Turut tersenarai adalah Bapa mendiang juru bahasa Altantuya Shaaribu, Dr Setev Shaaribu, pengarah pengurusan Boustead Tan Sri Lodin Wok Kamarudin, penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam dan isteri Abdul Razak, Mazlinda.
Cynthia turut memberitahu, walaupun pihaknya menghadapi pelbagai rintangan untuk membawakan kes ini di Mahkamah Perancis, tetapi ianya semakin berjalan lancar.
Beliau juga berkata walaupun kes ini cuba disisihkan oleh media pro-Umno-BN, ia semakin mendapat liputan meluas di seluruh dunia.
Makan malam di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya itu juga dihadiri beberapa Ahli Parlimen termasuk Tony Pua, Nurul Izzah Anwar dan Sivarasa Rasiah.
Juga hadir Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dan ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim.
Di dalam ucapannya, Tony menyelar sikap menteri Umno-BN yang tidak mahu menjawab soalan berkaitan skandal ini di Parlimen dengan alasan dokumen berkaitan kes itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Di Parlimen tak boleh dedahkan kononnya dokumen sulit itu tertakluk di bawah OSA, tetapi bila jual pada firma negara asing RM142 juta, ‘kaw tim’,” kata beliau.
Sebelum ini, seorang peguam Perancis, Joseph Breham, mendedahkan dokumen sulit Tentera Laut Diraja Malaysia dijual kepada syarikat pembina kapal Perancis, DCNS.
Dokumen tersebut didakwa dijual dengan harga RM 142 juta oleh oleh syarikat Terasasi (Hong Kong) Limited yang dimiliki oleh Abdul Razak dan bapanya, Abdul Malim Baginda.
Sementara itu, Makan Malam tersebut berjaya mengumpul RM 200,000 bagi membiayai perbelanjaan pengurusan kes itu di Perancis.
Jumlah tersebut diperolehi dari hasil jualan tiket bagi setiap meja makan yang bernilai dari RM10,000 hingga RM1,000, lelongan kemeja-t bertandatangan Cynthia dan lakaran kartun oleh kartunis terkenal, Zunar.
Sebanyak 10 helai kemeja-t bertandatangan itu dilelong dengan format ‘tender terbuka’ dengan bidaan tertinggi bernilai RM2,000 sehelai.
Lelongan lakaran kartun yang memaparkan kapal selam scorpene membawa ‘rakyat Malaysia’ sambil memegang ‘C4′ dan sedang cuba merempuh lelaki berlabel ‘Najib’ pula telah mendapat bidaan tertinggi bernilai RM5,000.

Khalid Samad : Umno Mesti Terima Kekalahan Dalam Pilihanraya


SHAH ALAM,  JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memberikan jaminan peralihan kuasa akan berlaku secara aman sekiranya rakyat memilih untuk membuat perubahan pada Pilihanraya Umum ke-13.
Menurut MP Shah Alam, Khalid Samad, permintaan ini relevan kerana sejak kebelakangan ini banyak pimpinan Umno-BN mengakui mereka akan berhadapan dengan satu pilihanraya sengit kali ini.
“Ini menunjukkan satu kesedaran bahawa suasana dalam masyarakat telah banyak berubah dan sokongan kepada Barisan Nasional telah menurun dan ada kemungkinan berlakunya peralihan kuasa dimana mereka kalah dalam pilihanraya,” katanya.
Katanya, situasi ini merupakan satu perkara biasa dalam mana-mana sistem demokrasi dan tidak ada jaminan mana-mana parti akan berkuasa selamanya.
Jelas Khalid, Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sepatutnya menyediakan rakyat dan penyokong mereka sendiri untuk berhadapan kemungkinan sedemikian.
“Umno-BN perlu menyempurnakan ayat-ayat mereka itu dengan sekiranya kalah maka kita akan akur dan patuh kepada kehendak rakyat,” katanya di dalam satu tembual dalam program Terus Terang bersama editor TVSelangor Mat Zahari Ali.
“Dan kita memohon semua penyokong-penyokong kita juga menunjukkan sikap yang terbuka menghormati sokongan rakyat dan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Jangan bertindak ganas, ini demokrasi,” katanya.
Beliau menambah, Pakatan Rakyat sebelum ini sudah menghadapi banyak kekalahan terutama sekali PAS dan telah menunjukkan kesanggupan untuk menerima kekalahan.

NAMPAK SANGAT MAT SEMBAB TAK SAKSIKAN FAKTA DALAM DEBAT


Patut la orang gelar mat sembab, sebab dah lama debat Rafizi Ramli dengan Khairy JJamaluddin menjelaskan hanya 4 billion sahaja setahun perlu bagi membantu pelajar.Gamaknya dia tak mendengar atau tak peka kot..malu la kalau TPM ulas pada generasi muda yang dah berminggu minggu lihat,tengok,ulang dengar debat tersebut..Dia baru nak ulas tentang PTPTN..alahai muhyiddin. Kot baru nak celik hang tengok la ....dengar la moderator kata politik bertamaddun.....hang tak bertamadun ka Muhyiddin???Apa kata debat dengan Anwar.





  • TPM: Hapus PTPTN pakai 'kun faya kun', Anwar?
  • dikemaskini 2.18pm "(RM) 43 bilion itu datang dari mana? Orang kata dulu ada tongkat sakti, 'kun faya kun'. Dia ada tongkat sakti ke tuan-tuan? Ada lampu ajaib ke tuan-tuan?" Tan Sri Muhyiddin Yassin.  

HIBURAN..VOKALIS KUMPULAN D LLOYD MENINGGAL DUNIA

Kepada peminat kumpulan D’lloyd tentu masih teringat akan kumpulan ini yang terkenal di Malaysia sekitar tahun 70-an dengan lagu-lagu hit mereka.
Vokalis utama kumpulan D’LLoyd, Syamsuar Hasyim, meninggal dunia di Jakarta pada 9 Jun lalu.
Kematian Syamsuar, 65, disahkan anak saudaranya, Isfriansyah Putra yang kini berada di Malaysia untuk mengunjungi sanak saudara. Isfriansyah menjelaskan, bapa saudaranya itu meninggal dunia di Hospital Husada Utama, Jakarta, akibat sesak nafas kira-kira jam 7.15 pagi waktu Indonesia.
Jenazah dibawa ke rumah kakaknya di Kalibaru, Jakarta untuk urusan pengebumian di Taman Pemakaman Umum Tanah Kusir, Jakarta selepas solat Asar pada hari yang sama.
Al-Fatihah dan takziah dari kami.

Nama Individu Cuba Beli Ahli Parlimen PR Didedah

 

 MAMAT NI JADI KAYA RAYA KERANA JADI BROKER DAH LAMA.DUDUK DI KELAB GOLF CINTA SAYANG.ROLL ROYCE DIA BEKAS MENTERI BESAR KEDAH BAGI.ALA DULU PUN BUKAN BERCAKAP SEDANG MANA PUN..IKUT PUNGKOK ORANG JA PUN..SAMA MACAM EZAM DAN LAIN-LAIN LA........

ROLL ROYCE CABUK TU HANG PAKAI DAH LA ZAMIL OIII......KAMIPAKAI KETA BURUK PUN JADI LA ..DUIT KERJA SENDIRI....BOLEH LA PAKAI BUROK-BUROK PUN....



KUALA LUMPUR, 14 JUN: Ketua Parti KITA Kedah, Zamil Ibrahim diminta tampil memberikan penjelasan berhubung kontroversi perbincangan tawaran kepada Ahli Parlimen untuk meninggalkan Pakatan Rakyat dengan nilai RM2 juta.
Cabaran ini dilontarkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang pada hari ini mendedahkan klip penuh video rundingan tawaran ‘pembelian’ ahli parlimen Pakatan.
Menurut Khalid, Zamil merupakan agen Umno-BN yang berperanan untuk berbincang mengenai tawaran untuk meninggalkan Pakatan.
“Selama ini kita tidak ada bukti. Tetapi hasil daripada kerja-kerja pihak tertentu kita telah memperoleh bukti,” katanya.
Menurut Khalid, ahli parlimen yang ditawarkan ini masih kekal bersama Pakatan Rakyat.
Video asal selama tiga jam ini dirakamkan di sebuah restoran di Lembah Klang sekitar setahun yang lalu selepas beberapa pemimpin Pakatan mengisytiharkan lompat parti dan akan didedahkan secara berperingkat.
Tayangan selama 3 minit 41 saat memaparkan lima individu yang sedang berbincang berhubung tawaran habuan sekiranya meninggalkan Pakatan.
Dua daripada individu berkenaan merupakan wakil Pakatan sementara yang lain merupakan wakil agen Umno-BN.
Selain ditawarkan wang bernilai RM2 juta, tawaran turut disertakan dalam bentuk kontrak kerajaan.
Berdasarkan transkrip video yang diberikan kepada media, Zamil ada menyebut ‘Kita dapat syiling sahaja….Cuma itu Pak Zaharin…Macam hari itu Datuk Habaq kata’.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan Zamil Ibrahim merupakan bekas ahli PKR.
Beliau merupakan individu yang pernah menawarkan kereta Rolls-Royce sekiranya mana-mana pihak berjaya membuktikan ada individu lain yang mempunyai wajah sama seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II.
Menurut Saifuddin, Zamil yang kini menetap di banglo mewah Kelab Cinta Sayang Sungai Petani merupakan bekas peniaga burger di pekan Bidong, Kedah sementara isterinya merupakan peniaga ubat ubatan tradisional.
Zamil juga bekas tahanan dadah di Pulau Jerjak selain memiliki beberapa kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi.
“Kita mengesyaki perubahan hidupnya disumbangkan melalui aktiviti sebegini.
“Saya mempelawa rakan media untuk menelefon beliau untuk membuat pengesahan,” katanya.
Tegasnya, pendedahan ini sebenarnya menguatkan lagi dakwaan Pakatan sebelum ini yang menyatakan wujudnya aktiviti ‘membeli’ ahli parlimen Pakatan dengan habuan wang ringgit yang lumayan.
Dalam pada itu, ahli parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zaharin Mohamed Hashim menafikan beliau ditawarkan wang ringgit meninggalkan Pakatan.
Katanya, tindakkan beliau keluar Pakatan membuka ruang kepadanya untuk bebas mengkritik kedua-dua pihak.

UMNO MASIH LEMAH KERANA MAHATHIR -BHG 2

 Kelemahan Kerajaan UMNO-BN yang berlarutan sehingga hari ini bukan bermula semasa zaman Pak Lah menjadi Perdana Menteri.  Dalam fasa berlainan tampuk pemerintahan berada di bawah pimpinan Perdana Menteri berlainan, pertukaran rejim tidak pernah berlaku dan setiap pentadbirannya mempunyai permasalahan dan legasi tersendiri.  Tetapi soal penting apabila ditinjau politik semasa bukanlah berkisar sekitar sumbangan seorang Perdana Menteri tetapi sejauh mana sebuah pentadbiran enggan memberi reaksi positif dan secara praxis kepada tuntutan rakyat dan masyarakat.
Dengan kata lain, politik hari ini haruslah dibicarakan dalam kerangka lebih besar yang melibatkan legitimasi sebuah rejim pemerintahan dan proses pembentukan legitimasi tersebut.  Zaman Pak Lah biar pendek tetapi memperlihatkan beberapa percubaan untuk membawa pembaharuan seiring dengan tuntutan masyaraka madani khususnya yang berkait dengan sistem perundangan.  Zaman pendek tersebut juga memperlihatkan kegagalan pentadbiran Pak Lah dalam aspek kenegaraan yang penting khususnya yang berkait dengan pembaharuan institusi polis.
 
Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam artikelnya berjudul "Politik Ketakutan Menjelang PRU-13: Tangan Ghaib Di Sebalik Institusi Polis Menghalalkan Budaya Samseng?"  telah mempertikaikan samada Kerajaan UMNO-BN mengambil sikap membenarkan kewujudan keganasan samseng untuk mempertahankan rejim pemerintah yang sedang berdepan dengan krisis kelangsungan hayat?
 
KPRU juga membangkitkan bahawa, bagi memisahkan kuasa politik daripada institusi polis, kini tiba masanya dibicarakan semula pembentukan Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) bagi meyambung usaha zaman Pak Lah yang kemudian hari menemui kegagalan.
 
Penulis berpendapat, setelah Mahathir terpaksa mengundurkan diri ekoran lahirnya sebuah gerakan massa menuntut keadilan dan pembaharuan khususnya setelah zaman Mahathir menyaksikan kekejaman politik melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai ancaman kepada kelangsungan hayat kekuasaan Diktator M, rejim UMNO-BN berdepan dengan pertikaian legitimasi yang kuat sekali.  Dalam keadaan sedemikian, Pak Lah cuba respons kepada sebahagian daripada tuntutan rakyat sebagai usaha memantapkan legitimasi rejim di bawah pentadbiran beliau.
 
Namun pertikaian legitimasi yang wujud khususnya semenjak gerakan Reformasi disambut hebat oleh rakyat sebagai lambang politik partisipasi apabila berdepan dengan kekejaman Diktator M telah memperlihatkan kepincangan pentadbiran Mahathir yang begitu besar sehingga pengunduran beliau hanya dapat meredakan kemarahan rakyat buat sementara waktu.
 
Kalau bukan kerana Pak Lah melakukan beberapa percubaan biarpun ditentang kuat oleh kelompok dalaman UMNO yang mendapat sokongan Mahathir, kebangkitan semula tuntutan rakyat pasti menumpaskan Kerajaan UMNO-BN dalam gelanggang pilihan raya.
 
Apabila dibandingkan zaman Mahathir dengan zaman Pak Lah, Mahathir lebih merupakan faktor kenapa Kerajaan UMNO-BN masih lemah sehingga hari ini.  Tuntutan rakyat semenjak zaman reformasi sehingga hari ini bukanlah tuntutan politik per se, tetapi tuntutan pembaharuan secara menyeluruh khususnya yang berkait rapat dengan permasalahan ekonomi politik.  Budaya negatif yang diterapkan sepanjang zaman pentadbiran Mahathir - politik naungan, kronisme, rent-seeking, pembaziran, rasuah dan banyak lagi - kini masih mengalir masuk dan keluar sistem pentadbiran Najib dengan mudah.
 
Hal ini bermaksud, kalaulah hendak dipertikaikan pemimpin mana yang patut bertanggungjawa kepada krisis kelangsungan hayat kekuasaan yang dihadapi Kerajaan UMNO-BN hari ini, pasti Mahathir berada dalam tempat pertama senarai tersebut.  Tetapi, apa yang lebih penting untuk pemahaman kita hari ini ialah, zaman Najib telah memperlihatkan kelangsungan zaman Mahathir dengan sedikit perbezaan.
 
Perbezaan tersebut wujud daripada percubaan Pak Lah untuk respons kepada tuntutan zaman semasa.  Namun, apa yang menjadi percubaan zaman Pak Lah kini dijadikan retorik zaman Najib yang tidak ikhlas.  Sebabnya mudah.  Najib mengongsi sifat kepemimpinan yang agak sama dengan Mahathir.  Demi memanjangkan kuasa, pemimpin seumpama sanggup melakukan segala macam transformasi.  Tetapi apabila berjaya memanjangkan kuasa nanti, sifat Diktator Mahathir akan kembali menyelubungi bumi Malaysia.
 
Kerana itu, percayalah, tanpa pertukaran rejim, dengan pengalaman kita yang dibatasi, kita bakal menyaksikan kemunculan semula keangkuhan sebuah parti politik yang hanya akan insaf apabila ia berada pada paksi oposisi.  Lebih baik biar Najib memegang jawatan Ketua Pembangkang dan memperkaya sejarah tanah air dengan pertukaran rejim.  Apabila Najib menjadi Ketua Pembangkang nanti, dapatlah Mahathir melakukan refleksi diri berhubung soal siapa yang melemahkan UMNO.  Rakyat pasti minat dengan rumusan beliau nanti.
 
Yang penting sekali ialah, soal legitimasi dapat dibicarakan dalam konteks yang melibatkan rakyat terbanyak dan tidak lagi dimonopoli pemimpin dan kroni sebuah parti dominan bernama United Malays National Organisation.  Apabila soal legitimasi terbuka kepada partisipasi rakyat terbanyak, hubungkait sistem kenegaraan dan legitimasi sebuah rejim pemerintah dapat dihalusi.  Berpandukan pengalaman sistem dua gabungan parti yang bakal menjadi realiti pada peringkat persekutuan, pemahaman politik partisipasi rakyat tidak lagi terhad kepada rumusan yang dibuat oleh pemimpin negara.  Pemimpin negara sehebat mana juga tidak lagi dipertuhankan.
 
Maka dengan ini, bermulalah era pencerahan tanah air cintaku.  Syabas rakyat Malaysia! (Bahagian kedua, tamat)
 
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

RADIO SENJATA PKR DI SARAWAK

Radio gelombang pendek kini menjadi senjata paling berkesan bagi pembangkang untuk menyebarkan maklumat di kawasan pedalaman Sarawak.  Menurut sesetengah kaum asli yang mengikuti Radio Free Sarawak dengan radio yang diderma, mereka kini gagal untuk menyokong Barisan Nasional lagi.
Gambar dipetik dari Facebook.
Ketika ditemuramah MerdekaReview dengan telefon, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR Sarawak, Paul Bian berkata, PKR mula mengumpulkan radio yang diderma orang ramai, dan dihantar ke rumah panjang di kawasan pedalaman, selepas Hari Krismas pada tahun lalu.  Namun demikian, radio yang diterima itu telah lapuk, dan tidak begitu baik dari segi penerimaan.  Justeru itu, kesannya tidak begitu memuaskan.

Selepas itu, pihaknya berjaya mendapatkan radio gelombang pendek yang lebih berkesan, dan menghantar dalam bilangan yang besar ke dalam kawasan pedalaman.  Orang asli dapat mendengar rancangan Radio Free Sarawak saban hari selepas radio dihantar ke rumah panjang.

Menurut Paul Bian, daripada respon yang diperolehi, kebanyakan penerima radio mendakwa diri mereka telah mengetahui kebenaran.  Rupa-rupa diri mereka telah ditipu selama ini, kata mereka.  Paul Bian menyusul dengan soalan, seandainya Barisan Nasional memberi wang RM500, malah RM1,000 kepada mereka sepanjang pilihan raya, adakah mereka akan berpaling tadah?  Orang asli sebaliknya memberitahu, apapun yang diberikan BN akan diterima, tetapi tidak akan mengundi BN.

Paul Bian menjelaskan, adalah perlu untuk mengajukan soalan sedemikian agar penduduk kaum asli ini membuat persediaan dari segi mental.  Nampaknya mereka telah memutuskan untuk tidak dibeli kali ini, kata Paul Bian.

Ilmu meneyuntik keberanian
Menurut Paul Bian, keadaan ini tidak pernah berlaku di kawasan kampung sebelum ini.  Ramai yang berkata orang di kawasan kampung bodoh, mudah dibeli dengan RM20, padahal mereka tidak bodoh, tetapi di-"basuh otak"-nya selama ini oleh propaganda BN.  Dan agak sukar untuk pembangkang menampilkan pandangan yang berbeza di rumah panjang sepanjang tempoh kempen.

Pengalaman wartawan ketika membuat liputan di Empangan Bakun, Sarawak mendapati penduduk tempatan hanya mampu akses kepada rancangan dari Radio Televisyen Malaysia (RTM).  Maklumat yang diperolehi kesemuanya informasi dari kerajaan BN.  Malah, beberapa kawasan DUN di luar bandar Kuching, kediaman penduduk agak jauh berpisah.  Ini belum lagi termasuk kawasan yang perlu pengangkutan sampan, seperti Hulu Rajang dan Baram.  Lebih-lebih lagi, tempoh kempen yang pendek juga tidak membenarkan calon untuk sampai ke setiap kawasan dan bertemu dengan calon untuk menjelaskan manifesto dirinya.

Paul Bian mendakwa, minda rakyat telah dibuka selepas terdedah kepada rancangan Radio Free Sarawak, yang membongkarkan isu rasuah dan penyelewengan kerajaan negeri.  Nampaknya agak mustahil untuk menangkis arus sedemikian.

Pengasas "Adopt A Dayak Candidate Initiative", Noelle Jiang berkata, apa yang dibincangkan dalam rancangan Radio Free Sarawak berhubung rapat dengan penduduk kaum asli di kawasan pedalaman, misalnya tanah adat, pendidikan kanak-kanak, perubatan dan sebagainya.

Selain itu, calon juga membincangkan isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat dalam rancangan ini, dan menjadi saluran terbaik untuk rakyat terdedah kepada pandangan mereka.

Menurut Noelle Jiang, rancangan ini telah menyuntik kekuatan kepada pendengarnya, dan biasanya diakhiri dengan seruan, jikalau pendengar mengidamkan perubahan, maka mereka perlu pergi mengundi.

Radio Free Sarawak diasaskan pada 15 November 2010, oleh Clare Rewcastle Brown, adik ipar kepada mantan Perdana Menteri Britain.  Bahasa pengantarnya adalah bahasa Iban dan Malaysia.  Menurut Paul Bian, hampir kesemua penduduk Sarawak mampu memahami bahasa Iban, dan sesetengah tetamu rancangan juga menggunakan bahasa Malaysia.  Salurannya adalah 15420 kHz.

Lapan kawasan pedalaman yang dijadikan fokus


Noelle Jiang berkata, semua orang tahu untuk menukar kerajaan, namun mustahil pembangkang mempunyai peluang seandainya mengikut cara berkempen hanya pada tempoh kempen pilihan raya.  Ramai sedar bahawa Sarawak yang memiliki 31 kerusi parlimen adalah negeri yang paling penting.  Pada dasarnya, kawasan bandar cenderung untuk pembangkang sekarang, oleh itu, kawasan pedalaman perlu ditawan.

Noelle Jiang menambah, calon Parti Keadilan Rakyat dipercayai akan bertanding di kebanyakan kawasan pedalaman.  Calon berketurunan Dayak dan Iban dipercayai akan menyarung jersi kali ini, dengan slogan "Dari Sarawak ke Putrajaya" - satu petanda yang amat penting.

"Beli satu radio untuk bebaskan Sarawak" adalah sebahagian daripada program "Adopt A Dayak Candidate Initiative".  Sebelum ini, mereka juga mengumpul derma untuk membeli sebuah perahu, agar calon pembangkang dapat turun ke kawasan tertentu untuk berkempen.  Pada pertengahan Jun, projek menyewa kereta pacuan empat roda dan pembelian minyak akan dilancarkan.  Iniasitif ini diusahakan dengan harapan agar orang ramai boleh melibatkan diri dan menyumbang untuk perubahan.

2,200 buah radio mula diagihkan ke setiap rumah panjang di lapan kawasan tumpuan PKR, iaitu Baram, Kanowit, Lubok Antu, Limbang, Saratok, Selangau, Sri Aman dan  Hulu Rajang.

"Apa yang dimaksudkan kawasan tumpuan adalah kawasan yang berpotensi untuk membawa kemenangan.  Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, PKR sebagai parti kebangsaan bertanding di kesemua kawasan agar tidak memberi kemenangan percuma kepada BN.  Inilah kewajiban sebagai parti nasional.  Dan keadaan ini menjurus kepada kekurangan sumber parti itu.  Kini, parti ini memberi tumpuan untuk menyerang kawasan yang utama ini... Sebanyak 2,200 radio gelombang pendek telah dihantar ke lapan kawasan tersebut setakat ini."

Noelle Jiang berkata, Ali Biju yang bertanding di kawasan parlimen Saratok sebelum ini tidak meminta radio, tetapi mengemukakan permintaan ini baru-baru ini.  Jadi, sebahagian radio juga diagihkan ke kawasannya.  Ali Biju juga ADUN Krian dari PKR.

Menurut program tersebut, sekurang-kurangnya dua atau tiga radio perlu dibekalkan untuk rumah panjang yang memiliki 60 hingga 70 orang penghuni.  Beliau berharap agar matlamat 2,200 radio tercapai di akhir bulan April. (Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman sosial Facebook dan laman internet.)

Tiga orang calon yang dibantu di bawah program "Adopt A Dayak Candidate Initiative" ini adalah peguam yang mengendalikan isu tanah adat, Abun Sui, Roland Engan dan Nicholas Muhah.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut dan diterjemah dari teks penuh yang disiarkan pada 9 Jun 2012.