Kelemahan Kerajaan
UMNO-BN yang berlarutan sehingga hari ini bukan bermula semasa zaman
Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Dalam fasa berlainan tampuk
pemerintahan berada di bawah pimpinan Perdana Menteri berlainan,
pertukaran rejim tidak pernah berlaku dan setiap pentadbirannya
mempunyai permasalahan dan legasi tersendiri. Tetapi soal penting
apabila ditinjau politik semasa bukanlah berkisar sekitar sumbangan
seorang Perdana Menteri tetapi sejauh mana sebuah pentadbiran enggan
memberi reaksi positif dan secara praxis kepada tuntutan rakyat dan
masyarakat.
Dengan
kata lain, politik hari ini haruslah dibicarakan dalam kerangka lebih
besar yang melibatkan legitimasi sebuah rejim pemerintahan dan proses
pembentukan legitimasi tersebut. Zaman Pak Lah biar pendek tetapi
memperlihatkan beberapa percubaan untuk membawa pembaharuan seiring
dengan tuntutan masyaraka madani khususnya yang berkait dengan sistem
perundangan. Zaman pendek tersebut juga memperlihatkan kegagalan
pentadbiran Pak Lah dalam aspek kenegaraan yang penting khususnya yang
berkait dengan pembaharuan institusi polis.
Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam artikelnya berjudul "Politik Ketakutan Menjelang PRU-13: Tangan Ghaib Di Sebalik Institusi Polis Menghalalkan Budaya Samseng?"
telah mempertikaikan samada Kerajaan UMNO-BN mengambil sikap
membenarkan kewujudan keganasan samseng untuk mempertahankan rejim
pemerintah yang sedang berdepan dengan krisis kelangsungan hayat?
KPRU
juga membangkitkan bahawa, bagi memisahkan kuasa politik daripada
institusi polis, kini tiba masanya dibicarakan semula pembentukan
Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) bagi
meyambung usaha zaman Pak Lah yang kemudian hari menemui kegagalan.
Penulis
berpendapat, setelah Mahathir terpaksa mengundurkan diri ekoran
lahirnya sebuah gerakan massa menuntut keadilan dan pembaharuan
khususnya setelah zaman Mahathir menyaksikan kekejaman politik
melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilihat
sebagai ancaman kepada kelangsungan hayat kekuasaan Diktator M, rejim
UMNO-BN berdepan dengan pertikaian legitimasi yang kuat sekali. Dalam
keadaan sedemikian, Pak Lah cuba respons kepada sebahagian daripada
tuntutan rakyat sebagai usaha memantapkan legitimasi rejim di bawah
pentadbiran beliau.
Namun
pertikaian legitimasi yang wujud khususnya semenjak gerakan Reformasi
disambut hebat oleh rakyat sebagai lambang politik partisipasi apabila
berdepan dengan kekejaman Diktator M telah memperlihatkan kepincangan
pentadbiran Mahathir yang begitu besar sehingga pengunduran beliau hanya
dapat meredakan kemarahan rakyat buat sementara waktu.
Kalau
bukan kerana Pak Lah melakukan beberapa percubaan biarpun ditentang
kuat oleh kelompok dalaman UMNO yang mendapat sokongan Mahathir,
kebangkitan semula tuntutan rakyat pasti menumpaskan Kerajaan UMNO-BN
dalam gelanggang pilihan raya.
Apabila
dibandingkan zaman Mahathir dengan zaman Pak Lah, Mahathir lebih
merupakan faktor kenapa Kerajaan UMNO-BN masih lemah sehingga hari ini.
Tuntutan rakyat semenjak zaman reformasi sehingga hari ini bukanlah
tuntutan politik per se, tetapi tuntutan pembaharuan secara menyeluruh
khususnya yang berkait rapat dengan permasalahan ekonomi politik.
Budaya negatif yang diterapkan sepanjang zaman pentadbiran Mahathir -
politik naungan, kronisme, rent-seeking, pembaziran, rasuah dan banyak
lagi - kini masih mengalir masuk dan keluar sistem pentadbiran Najib
dengan mudah.
Hal
ini bermaksud, kalaulah hendak dipertikaikan pemimpin mana yang patut
bertanggungjawa kepada krisis kelangsungan hayat kekuasaan yang dihadapi
Kerajaan UMNO-BN hari ini, pasti Mahathir berada dalam tempat pertama
senarai tersebut. Tetapi, apa yang lebih penting untuk pemahaman kita
hari ini ialah, zaman Najib telah memperlihatkan kelangsungan zaman
Mahathir dengan sedikit perbezaan.
Perbezaan
tersebut wujud daripada percubaan Pak Lah untuk respons kepada tuntutan
zaman semasa. Namun, apa yang menjadi percubaan zaman Pak Lah kini
dijadikan retorik zaman Najib yang tidak ikhlas. Sebabnya mudah. Najib
mengongsi sifat kepemimpinan yang agak sama dengan Mahathir. Demi
memanjangkan kuasa, pemimpin seumpama sanggup melakukan segala macam
transformasi. Tetapi apabila berjaya memanjangkan kuasa nanti, sifat
Diktator Mahathir akan kembali menyelubungi bumi Malaysia.
Kerana
itu, percayalah, tanpa pertukaran rejim, dengan pengalaman kita yang
dibatasi, kita bakal menyaksikan kemunculan semula keangkuhan sebuah
parti politik yang hanya akan insaf apabila ia berada pada paksi
oposisi. Lebih baik biar Najib memegang jawatan Ketua Pembangkang dan
memperkaya sejarah tanah air dengan pertukaran rejim. Apabila Najib
menjadi Ketua Pembangkang nanti, dapatlah Mahathir melakukan refleksi
diri berhubung soal siapa yang melemahkan UMNO. Rakyat pasti minat
dengan rumusan beliau nanti.
Yang
penting sekali ialah, soal legitimasi dapat dibicarakan dalam konteks
yang melibatkan rakyat terbanyak dan tidak lagi dimonopoli pemimpin dan
kroni sebuah parti dominan bernama United Malays National Organisation.
Apabila soal legitimasi terbuka kepada partisipasi rakyat terbanyak,
hubungkait sistem kenegaraan dan legitimasi sebuah rejim pemerintah
dapat dihalusi. Berpandukan pengalaman sistem dua gabungan parti yang
bakal menjadi realiti pada peringkat persekutuan, pemahaman politik
partisipasi rakyat tidak lagi terhad kepada rumusan yang dibuat oleh
pemimpin negara. Pemimpin negara sehebat mana juga tidak lagi
dipertuhankan.
Maka dengan ini, bermulalah era pencerahan tanah air cintaku. Syabas rakyat Malaysia! (Bahagian kedua, tamat)
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.