Awas! Pangsapuri hantu di Kuala Langat
Hafizan Taib, Selangorku, | 22 Jun 2012 |
(Dr Yunus berucap dalam ceramahnya)
KUALA LANGAT: Mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), terdapat sebuah pangsapuri enam tingkat di daerah ini yang didiami sejumlah pengundi.
Tetapi, apabila diperiksa, bangunan tersebut hanya ada empat tingkat sahaja.
Terdapat juga rumah di sekitar daerah ini yang mempunyai sampai 30 pemilih dalam satu rumah, kata ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi.
Dr Ahmad Yunus, yang juga Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, mendedahkan bahawa pemantauan daftar pemilih juga mendapati terdapat pertumbuhan pengundi baru yang mendadak di daerah itu sebanyak 17,000 orang.
Kerajaan Negeri telah mengumumkan sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha membersihkan daftar pemilih khususnya di negeri Selangor melalui “Kempen SelangorKU Bersih”.
Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku ini.
Program tersebut adalah satu inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan.
Di kawasan DUN Sijangkang sahaja kata Dr Yunus, terdapat 8,000 pengundi baru, satu fenomena yang mencurigakan.
Pendedahan mengenai pengundi yang meragukan ini dibuat oleh Dr Yunus dan beberapa pemimpin Pas Selangor di ceramah “Awas Pengundi Hantu Di Rumah Anda” di Teluk Panglima Garang di sini semalam.
Turut serta di dalam ceramah tersebut Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.
“Apa yang kita lihat daftar pengundi baru ini boleh dipertikaikan kerana siasatan dibuat kita dapati maklumatnya berbeza,” kata Dr Yunus.
Sebelum ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pernah mendedahkan bahawa terdapat 400,000 ribu pengundi baru di dalam daftar pemilih di Selangor yang mana status mereka mencurigakan.
Ini termasuk berpuluh-puluh pemilih yang didaftar di satu alamat, mereka yang di daftar sebagai pengundi di Selangor tetapi bermastautin di luar negeri dan pengundi pos yang dipindahkan ke dalam Selangor.
Pada 13 Jun beberapa kampung di Ampang membuat laporan polis dengan mendakwa, alamat rumah di kawasan mereka digunakan untuk mendaftar sampai 40 lebih pengundi.
Bagi mengenalpasti dan menjejaki pemilih yang meragukan di Selangor, Kerajaan Negeri telah melancarkan program “Selangorku Bersih”.
“Kita jalankan audit ini di setiap DUN bagi mengenal pasti pengundi yang sah di dalam senarai dikeluarkan.
“Kita ingin melihat hak mengundi ini hanya diberikan kepada mereka iaitu rakyat Selangor dan Malaysia untuk menentukan kerajaan dan bukannya orang luar,” Dr Yunus berkata di dalam ucapannya.