Mat Sabu : Umno Goyah Menghadapi PAS




GOMBAK 5 JUN : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyelar pemimpin UMNO-Barisan Nasional kerana menabur fitnah kononnya PAS menukar matlamatnya semata-mata untuk mengikut rentak DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Beliau menegaskan konnsep negara kebajikan yang diperkenalkan dalam Muktamar PAS kali ke-57 adalah berteraskan Islam dan sekaligus membanteras maksiat serta penyelewengan yang kini berleluasa di bawah pentadbiran UMNO-Barisan Nasional.

"Jadi apabila kita sebut negara berkebajikan dan PAS mendokong dasar Islam, sudah tentulah negara itu berdasarkan kepada Islam," tambah Mohamad Sabu dalam sidang akhbar selepas Muktamar PAs ke 57.

Beliau berkata DAP dan PAS mempunyai prinsip perjuangan yang dipersetujui dalam konsesus Pakatan Rakyat dan tidak timbul soal parti Islam itu dipaksa untuk menerima buah fikiran DAP.

"Walaupun bunyi menentang rasuah dan penyelewengan sama nada dengan DAP tidak beerti kita terpengaruh dengan DAP sebab itu adalah slogan bersama yang dipanggil slogan umum yang tidak mahu perkara-perkara itu dan bukan kita diperalatkan oleh DAP."

Dalam reaksi spontan kepada kemenangan Mohamad Sabu semalam, media kawalan Umno dan pemimpin parti itu mendakwa PAS kini di bawah telunjuk PKR dan DAP dan semakin meminggirkan golongan ulama.

Mohamad Sabu menewaskan penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menjadi timbalan presiden baru PAS menjelang pilihanraya umum ke-13.

Mengulas mengenai tuduhan-tuduhan pemimpin Umno itu, Mohamad Sabu berkata reaksi itu mencerminkan UMNO resah kerana Pakatan Rakyat mempunyai hubungan yang rapat di antara satu sama lain dan menjadi ancaman yang semakin membesar terhadap Umno.

"Mereka bimbang apabila melihat laporan surat khabar cina dan media asing yang memberitahu pimpinan baru ini adalah merbahaya kepada UMNO," kata beliau.

Hal ini turut dipersetujui oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar bahawa pimpinan UMNO-BN kini berada dalam keadaan tidak keruan terhadap perkembangan ini.

"Jelas sekali mereka bimbang tetapi apa yang mereka secara tidak sedar mengakui ialah bahawa mereka mengiktiraf hubungan PAS dengan DAP dan PKR adalah amat baik dan ada persefahaman jadi percubaan mereka bahawa PAS telah dipergunakan adalah tidak tepat."

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abd Aziz menyatakan segala tohmahan UMNO-BN itu hanyalah alasan semata untuk meruntuhkan dan memecah belahkan hubungan baik yang terjalin di antara Pakatan Rakyat.

"Kalau perubahan tak berlaku hasil daripada pemilihan ini, mereka akan kata sebaliknya pula, PAS tidak berubah, PAS masih lagi parti kopiah, kalau kita berubah dia kata kita macam DAP. Jadi apa yang kita buat pun kita tahu UMNO tidak akan memberi reaksi yang positif kepada PAS."

PAS Janji Sokongan Bulan Untuk Bersih 2.0




GOMBAK 5 JUN : PAS akan memberi sokongan penuh kepada Himpunan Aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai untuk mendesak Suruhanjaya Pilihanraya memastikan pilihanraya umum ke 13 dikendalikan tanpa penipuan dan pembohongan 9 Julai nanti.
Usul yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden baru PAS Mohamad Sabu itu mendapat sokongan penuh daripada seluruh perwakilan dan delegasi di Muktamar Tahunan ke 57 PAS di sini hari ini.
"PAS menggesa seluruh rakyat Malaysia daripada berbagai peringkat menyertai BERSIH 2 pada 9 Julai 2011 di Bandaraya Kuala Lumpur," kata Mohamad Sabu.
"Semua organ parti dan semua lapisan pimpinan parti Pas, PR dan NGO akan digerakkan untuk menjayakan himpunan tersebut," tegas Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu.
Beliau turut menegaskan keadaan semakin meruncing buat Pakatan Rakyat lantaran manipulasi penuh oleh Kerajaan Pusat terhadap agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan media negara.
Beliau memberi contoh media negara asing yang sering memberi peluang parti pembangkang menyatakan pendapat mereka kepada rakyat umum.
"Media bebas hampir tak wujud di Malaysia. Di Muktamar ini, walaupun ramai media temuramah kita, kamera berkelip sampai kelabu mata, tapi bila kita nak tengok berita kita, tak ada," kata beliau lagi.
Beliau turut mengutarakan kejadian pendaftaran pendatang haram di Selangor yang semakin serius setelah pembongkaran aktiviti itu oleh Pakatan Rakyat di Hulu Selangor baru-baru ini.
"Seruan dari Presiden kita mahu ahli dan penyokong PAS sahaja berjumlah 300 ribu orang dan kita akan berurusan dengan badan NGO lain dan sertai Himpunan Bersih untuk tuntut keadilan dalam Pilihan Raya," tegas beliau lagi.

PRU-13: PAS Gesa Pakatan Fail Injunksi Halang JPN




GOMBAK 5 JUN : Pakatan Rakyat perlu mengambil tindakan undang-undang termasuk perintah injunksi sementara terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menggantung pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing, yang dikaitkan pembangkang sebagai komplot Umno-BN menjelang pilihan raya umum ke-13.

Gesaan itu terkandung dalam usul berkaitan pemalsuan kad pengenalan dibawa Dewan Ulama pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-57 hari ini.

Pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing, sekali gus didakwa membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi menjadi isu yang dibawa oleh pembangkang sejak tahun lalu.

Usul itu menekankan bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini sedang berlangsung satu projek sulit mengeluarkan kad-kad pengenalan terutama kepada warga asing dengan tujuan untuk didaftarkan sebagai pengundi.

Malah usul itu juga berkata, pengeluaran kad-kad pengenalan bukan satu rahsia bagi dan perancangan yang sama pernah dilaksanakan di Sabah melalui “projek IC” pada 1980 dan 1990 bagi menumbangkan kerajaan Sabah yang diterajui oleh Parti Bersatu Sabah ketika itu.

“Menyedari bahawa komplot dan perancangan sulit ini tidak lain tidak bukan adalah hasil ‘unholly alliance’ antara Umno-BN dengan JPN, yang menjadi merelakan diri mereka untuk dijadikan perkakas dan pada masa yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membiarkan perkara ini berleluasa,” kata usul itu.

Usul itu juga mendakwa sudah lebih puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah.

Usul itu juga mendakwa kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat seolah-olah tidak mengambil perhatian serius untuk menangani perkara tersebut.

Sehubungan itu, usul tersebut mendesak supaya satu suruhanjaya diraja siasatan diadakan bagi menyiasat pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

Usul itu juga mendesak supaya Kementerian Dalam Negeri dan juga JPN khususnya mendedahkan secara terperinci statistik jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutamanya sejak 10 tahun kebelakangan ini mengikut negeri.

“Mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan-kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS pusat menuntut agar sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang kini dilihat berleluasa.

Exconya Mohd Sany Hamzan berkata suruhanjaya itu perlu bagi mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh pihak tertentu semasa pilihan raya.

“Saya dukacita dengan apa yang Umno lakukan. Mereka terpaksa lakukan pelbagai helah untuk memenangi pilihan raya. Sepatutnya Umno menjadi anak jantan dengan lawan satu dengan satu, bukan dengan melakukan pelbagai helah,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider selepas membahaskan usul itu.

Selain itu, beliau juga berkata, isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing merupakan isu besar dan melibatkan keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Isu ini besar. Ia melibatkan isu keselamatan dan kesejahteraan negara, jadi saya minta agar diadakan satu suruhanjaya untuk melihat soal pemberian kad pengenalan ini,” katanya.

Beliau turut berharap agar Majlis Raja-Raja Melayu dapat masuk campur menangani isu ini

Tambahnya, puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah. Kami juga ingin menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri dan JPN mendedahkan secara terperinci statistik jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutama sejak sepuluh tahun kebelakangan ini.

Kami juga ingin mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku,” katanya. The Malaysian Insider.

Negara Berkebajikan Adalah Tuntutan Islam, Kata Hadi





GOMBAK 5 JUN : Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan konsep negara berkebajikan adalah hasil muzakarah sesama Ulama Majlis Syura serta perbincangan PAS dan rakan komponen di dalam Pakatan Rakyat.
Hadi menegaskan konsep negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS jauh berbeza dengan acuan sosialisme dan atau komunism yang berteraskan kebajikan sosial semata.
"Kita perkenal negara berkebajikan. Bukan seperti komunis atau sosialis. Walaupun ada persamaan jaga kebajikan rakyat, tetapi Islam hormat hak individu. Islam ada konsep dosa dan pahala," kata Hadi ketika menggulungkan Muktamar PAS ke 57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad di sini hari ini.
Muktamar PAS kali ini bertemakan 'Menuju Negara Berkebajikan' yang menitikberatkan sebuah negara yang bebas dari rasuah dan penyelewengan kuasa serta menggunakan kemakmuran negara untuk membela rakyat.
Penubuhan negata berkebajikan adalah antara teras program Pakatan Rakyat yang termaktub dalam Buku Jingga parti itu.
Hadi berkara negara berkebajikan yang diperjuangkan PAS dan PR mementingkan kebajikan rakyat dan bukan kroni semata seperti pimpinan kerajaan Pusat sekarang.
Menurut Hadi, konsep negara kebajikan telah lama diceritakan dalam Al-Quran dan wujud sejak zaman Nabi Yusof lagi.
Ketika itu, Nabi Yusof mempelopori konsep cukai dan bantuan sosial yang tidak membebankan rakyat bahkan menambah hasil kepada negara.
"Tuhan tunjukkan contoh negara kebajikan sebelum zaman Nabi Muhammad. Ia pada zaman Nabi Yusof AS. "Menunjukkan bahawa negara kebajikan wawasannya bukan setakat 2020 tapi sehingga akhirat," kata Hadi.
Hadi turut menyatakan kepada para perwakilan - atau Muktabirin bahawa konsep negara sedemikian diperinchi melalui perbincangan Syura Ulama PAS melalui prinsip 'Tahalul Siasi' atau Politik Islam dari sudut Fiqh.
"Kita sampai satu tahap ke hadapan apabila Majlis Syura perkenal Fiqh politik Islam," kata beliau.
Justeru Hadi mahukan ucapan dasar yang menyentuh keperluan negara kebajikan itu dijadikan amalam oleh setiap ahli PAS dalam memperjuangkan politik mereka ini.
"Marilah kita jadikan ucapan dasar yang dibuat, ucapan dasar yang berkobar bukan saja ucapan yang diluah tapi wajib dijadikan amalan," tegas Hadi.

Bn cemas : Realiti PAS Ganti Umno Kini Di Ambang Mata


KOMENTAR : Apakah bahayanya jika golongan profesional menguasai PAS? MengapaUtusan Malaysia dan akhbar arus perdana begitu takut dengan keputusan pemilihan perwakilan Muktamar PAS ke-57? Apakah perubahan besar yang mereka jangka akan berlaku ekoran keputusan ini?

Benarkah dalam Muktamar PAS kali ini golongan ulama tewas? Tepatkah bacaan dan tafsiran yang dibuat oleh media arus perdana yang memang selama ini tidak pernah bersimpati kepada PAS dan kerabat Pakatan Rakyat itu?

Yang jelas, tafsiran dan analisis media arus perdana yang diketuai oleh Utusan Malaysia ini memang salah. Mungkin kesalahan ini berlaku kerana kejahilan atau niat sengaja untuk mencari-cari kelemahan dalam PAS dan Pakatan Rakyat.

Hakikatnya ialah, PAS memang sebuah parti yang bergerak berteraskan ajaran Islam. Maka setiap ahlinya secara langsung atau tidak harus melalui proses tarbiyah untuk bukan sahaja mengenali erti halal haram tetapi bagaimana menentukan keadilan kepada semua dalam tata-kelola negara dan masyarakat.

Sebab itu, apabila Utusan dan Berita Harian membuat laporan kekalahan ulama dalam muktamar kali ini, ia menggambarkan kebebalan mereka memahami sejarah, ideologi perjuangan dan juga konsep politik yang diperjuangkan parti itu.

Menurut Husam Musa, seorang yang digelar profesional dan dikatakan condong kepada pemikiran Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, setiap pemimpin profesional yang dipilih menerajui PAS kali ini adalah anak didik ulama PAS sendiri.

Oleh itu, tidak timbul soal ulama kalah dalam pemilihan kali ini. Sebaliknya, ulama yang menang. Pentarbiyahan ulama PAS sudah menampakkan hasilnya. Anak-anak muda yang dilatih dengan sejarah perjuangan PAS dan memiliki ijazah profesional kini menggalas tanggungjawab menjadikan PAS parti lebih dinamis dalam iklim politik Malaysia.

Lantas apa yang dapat disimpulkan daripada laporan media arus perdana akan pemikiran pemimpin Umno, ahli-politik yang tercicir dalam sayembara siasah Malaysia dan media pencacai mereka ialah cemas, kalut dan sedih.

Nada cemas dan membuahkan reaksi kalut ini dapat diukur di segi betapa bercelarunya komen yang dikutip oleh akhbar-akhbar pro-Umno ini. Ada di kalangan pemimpin UImno yang meratapi anjakan yang dibuat oleh PAS kerana dikatakan tidak lagi memperjuangkan konsep Negara Islam dan memilih moto Negara Berkebajikan.

Jika benar mereka ikhlas dalam memberi komen, maka kini barulah kita tahu bahawa mereka selama ini adalah pengkagum PAS yang mahu menegakkan Negara Islam. Dan, kini mereka amat bersedih kerana PAS beranjak mahu Negara Berkebajikan. Salah seorang dari mereka dari golongan ini adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Rupa-rupanya Utusan dan pemimpin Umno berkenaan cuba belajar dari sejarah. Melihat kejayaan pejuang Islam mengambil alih pemerintahan Turki dari golongan sekular seperti Umno di Malaysia, mereka cuba melekatkan persepsi bahawa golongan ini di bawah payung pemikiran Anwar ibrahim mahu mengambil alih pemerintahan negara daripada Umno yang sekular. Mereka namakan golongan ini sebagai kumpulan Erdogan, sempena nama pemimpin gerakan Islam Turki hari ini.

Baiknya sudut pandangan ini ialah, Utusan dan pemimpin Umno berkenaan mengaku bahawa golongan sekular memang boleh ditundukkan seperti yang berlaku di Turki dan dalam iklim politik Malaysia yang sekular ialah Umno. Cuma cop kumpulan Erdogan ini digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu yang belum celik perubahan sejarah, betapa Umno yang sekular akan tersungkur dalam pilihanraya umum akan datang.

Ada juga yang tiba-tiba menafsirkan pemilihan itu sebagai kejayaan DAP menyempurnakan penguasaannya terhadap parti berteraskan perjuangan Islam dan Melayu itu. Seorang yang mempunyai pemikiran liar begitu ialah, janda politik, Zulkifli Noordin yang menjadi wakil rakyat tetapi tidak mempunyai parti selepas diceraikan oleh Parti Keadilan Rakyat.

Entah ilmu mantik apa yang digunakannya, kesimpulan beliau bahawa DAP kini sudah menguasai PAS ternyata ucapan seorang yang “meroyan” . PAS dengan DAP kini merintis jalan mencari lebih banyak titik persamaan – menumbangkan Umno-BN – dan tidak timbul soal siapa menguasai siapa. Namun tidak sukar difahami pemikiran Zulkifli yang sempit kerana telah terlalu lama hidup bersendirian sebagai seorang “janda politik”.

Mungkin dengan bercakap betapa PAS terlepas peluang pimpinan ulama, Zulkifli berharap ada ulama yang menaruh belas kasihan dan melamarnya untuk masuk PAS seperti Ibrahim Ali yang tidak berparti tetapi diambil PAS untuk menjadi anak angkat dan disokong bertanding pilihanraya umum ke-12 lalu. Namun bila golongan profesional memimpin PAS, peluang ini tertutup sama sekali. Kasihan Zulkifli si-janda politik.

Apa jua logik yang digunakan untuk menafsirkan pemilihan lebih ramai profesional dalam barisan pimpinan PAS itu, ternyata dibuat dari lubuk hati yang cemas dan menghasilkan komen yang kalut dan dangkal.

Pengkagum Umno, Syed Azidi Abdul Aziz yang menggunakan nama samaran Kickdefella dalam blognya, menyatakan bahawa bagi rakyat Malaysia beragama Islam, pertembungan PAS dan Umno pada masa hadapan bukan lagi untuk memilih syurga dan neraka di akhirat, tetapi syurga dan neraka di dunia mereka.

Jelas betapa sempitnya kefahaman Islam Kickdefella ini. Mungkin beliau tidak faham bahawa kebaikan dan keadilan yang dilaksanakan di dunia ini akan menentukan ganjaran apa yang diterima di akhirat. Sebab itu PAS mahu menegakkan Negara Berkebajikan untuk kebaikan umat di dunia demi mendapat ganjaran syurga di akhirat!

Sukar hendak pastikan pandangan insan sebegini sama ada ia bebal, jahil atau semata-mata kerana pintu hati sudah tertutup daripada mengenali kebenaran.

Pandangan yang meragu-ragukan seumpama ini dikutip oleh Utusan daripada Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya. Beliau dilaporkan sebagai mencabar PAS supaya segera menjelaskan pengertian Negara Berkebajikan dan tidak meninggalkan rakyat tertanya-tanya apakah pengertian Negara Islam yang sebelum ini hendak diperjuangkan oleh PAS.

Jika benar itu yang dikatakan oleh Dr Juanda, maka ternyata beliau pun tidak jauh daripada kelompok Kickdefella. Cuma jika benar Dr Juanda berkata demikian, maka dia sendiri seharusnya tahu apa hukumnya iaitu, tugas seorang mufti seharusnya turut mengimarahkan konsep Negara Berkebajikan ke cuping telinga pemimpin-pemimpin Umno beragama Islam dan bukan cuba menanam kesangsian di kalangan rakyat mengenai konsep Negara Berkebajikan itu.

Namun Awang Selamat, jaguh Utusan, seperti biasa cuba melontarkan sudut pandang yang negatif terhadap sesiapa sahaja yang cuba mencabar Umno. Kini apabila PAS melangkah untuk membuktikan dinamisme politiknya, Utusan meratapi kekurangan bilangan kepemimpinan ulama dalam PAS.

Memang sikap hipokrit. Ini kerana apabila PAS dipimpin ulama, mudah bagi Utusan menggambarkan betapa ulama tidak arifnya kepemimpinan Pas dalam banyak hal tatakelola kerajaan dan isu antarabangsa.

Ini memang alur pemikiran umno. Jika rakyat terus dibebalkan dengan hiburan dan kemunduran ekonomi, ia beranggapan bahawa rakyat, khususnya melayu, akan terus bergantung harap kepada umno untuk memelihara dan memperjuangkan nasib dan masa depan ekonomi mereka.

Maka Utusan dan media pro-Umno menggunakan logik ini dalam menafsirkan apa yang berlaku dalam PAS. Ternyata andaian atau gagasan pemikiran ini salah, zalim. Malah ia satu penghinaan terhadap dayafikir orang Melayu-Islam yang membuat dalam keputusan memilih barisan pimpinan baru PAS. Sebenarnya, apa yang ditakuti ialah golongan profesional Islam ini akan berhasil meneraju PAS diterima setiap lapisan rakyat Malaysia dan menggantikan Umno!



UMNO MEROYAN

Mula-mula dikatakan PAS mengikut telunjuk DSAI dan hanya akan menjadikan PAS parti serpihan sahaja.Malah menyelar PAS korbankan prinsip islam...Sebelum itu dikatakan jika PAS tidak menyertai Umno pun tidak mengapa asal keluar dari Pakatan Rakyat.Hari ini lain pula bunyinya ..pintu masih terbuka..Maka sah lah Umno ini masih gila talak atau meroyan tak tentu pasal mengajak PAS sertai Umno...

Muhyiddin selar PAS korban prinsip Islam kerana politik

Muhyiddin: Meskipun PAS terus tolak, pintu Umno masih terbuka


KUALA LUMPUR, 5 Jun — Meskipun PAS terus menolak kerjasama dengan Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengulangi bahawa pintu komponen BN itu masih terbuka kepada parti Islam tersebut untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Timbalan presiden Umno itu berkata, idea berkenaan adalah demi Islam, bukan kerana kepentingan politik.

“Demi kepentingan rakyat, kita tidak pernah menutup pintu (kepada PAS). Sama ada menerima atau tidak, itu soal lain.

“Pelawaan kami bukan kerana politik, tetapi demi kepentingan politik. Dan, itu yang membezakan Umno daripada PAS, Umno melihat kepentingan rakyat secara keseluruhan manakala PAS hanya fokus pada kepentingan parti,” kata beliaus selepas mengadakan kunjungan ke beberapa lokasi di ibu negara petang ini.

Dalam ucapan dasarnya kelmarin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.

“PAS akan bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menggerakkan agenda perubahan sebagaimana yang dipersetujui dalam dokumen Dasar Bersama Pakatan Rakyat, yang sudah diperbahas dan diterima oleh PAS,” kata beliau.

Kata Hadi, ia melibatkan satu paradigma baru pendemokrasian, suatu islah menyeluruh dalam sistem pemerintahan dan urus tadbir negara.

“Perubahan ini tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak melibatkan reformasi spiritual dan kesejahteraan fikiran rakyat,” katanya.

Sejak pilihan raya umum 2008, PAS menerima pelawaan demi pelawaan sama ada secara langsung daripada Umno sendiri ataupun daripada pihak-pihak yang pro-Umno termasuk beberapa tokoh agama agar ia meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersama BN atau berganding dengan Umno.

Idea itu termasuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Pelawaan itu sendiri pernah dipanjangkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN dan presiden Umno dan juga Muhyiddin sendiri.

Awal tahun ini, The Malaysian Insider pernah membawa laporan bahawa empat pemimpin dari PAS dan Umno bertemu di Istana Terengganu di sini dan dilaporkan ada menyentuh soal kerjasama kedua-dua parti.

Hadi menambah, “kita sama-sama sedar bahawa demokrasi sedia ada dalam negara kita sudah tempang, akibat dari kerakusan Umno-BN yang ingin mengekalkan kuasa mereka sampai bila-bila.”

“Pun begitu, sehingga kini kita tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi, sehingga PAS bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara yang tidak bermoral, beretika dan melanggar asas-asas perlembagaan,” katanya.

Pemilih: Pakatan tak boleh kekal jika gagal sekat BN, kata Mat Sabu


GOMBAK, 5 Jun — Timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu memberi amaran negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Selangor, yang menjadi idaman pentadbiran Najib, sukar boleh dipertahankan jika perikatan itu gagal menangani pendaftaran pemilih baru dalam satu jumlah yang besar.

“Tumpuan utama mereka sekarang ini adalah untuk tawan Selangor. Tapi adakah kita boleh kekal Selangor jika program daftar ini giat dibuat oleh BN?” kata beliau (gambar) ketika membentangkan usul berkaitan Himpunan Bersih 2.0 pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di sini hari ini.

Usul itu mendakwa empat tuntutan utama Himpunan Bersih 2007 belum dilaksanakan.

Tuntutan itu ialah akses kepada media awam yang bebas dan adil kepada semua parti politik, melaksanakan penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda, memansuhkan sistem undi pos dan umur 21 tahun secara automatik didaftar sebagai pengundi.

Tahun lalu, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta BN mempertahankan Selangor dengan apa cara sekalipun.

Dua minggu lalu, Najib menggesa hadirin Himpunan Sejuta Belia agar mempertahankan Putrajaya daripada dikuasai pembangkang.

Ketika membentangkan usulnya, Mohamad berkata, pendaftaran pemilih kini giat dijalankan oleh Umno-BN lebih-lebih lagi di Selangor.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata, pada pilihan raya tahun 2004, pendaftaran pemilih mengalami peningkatan antara empat hingga tujuh peratus.

Katanya, “tujuh peratus itu berlaku apabila pendaftaran itu berlaku secara aktif.”

“Di Terengganu, pada tahun 1999 hingga 2004, pertambahan daftar pemilih meningkat sehingga 17 peratus. Tak ada parti politik lain yang mampu buat semua ini, lebih-lebih lagi dapat pertolongan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis,” katanya lagi.

Usul dibawa Mohamad disokong oleh perwakilan dari Hulu Selangor, Mohd Khairudin Osman.

Beliau berkata, pertumbuhan undi pada tahun 2010 melonjak sehingga 4,807 pengundi.

“Selain itu, jumlah keseluruhan pertambahan undi pada suku pertama tahun 2011 pula ialah sebanyak 80,000 dan peningkatan ini mengalahkan 17 peratus di Terengganu yang dicakap oleh timbalan presiden,” katanya.

Mohamad turut menyifatkan kemenangan Umno pada setiap pilihan raya adalah disebabkan adanya undi pos sebagai penyelamat.

Kata beliau, undi pos merupakan salah satu senjata yang digunakan oleh Umno semasa pilihan raya.

“Sebagai contoh semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang, PAS sudah mendahului dengan 1,000 undi. Tetapi bila sampai sahaja undi pos, kita kalah dengan 58 undi sahaja dari Umno,” katanya.

Oleh itu, dalam ucapan usul itu, Mohamad menyeru agar semua ahli PAS akan turut serta dalam Himpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2 (Bersih 2) pada 9 Julai di Kuala Lumpur.

“Saya menyeru, agar pada perhimpunan itu, ahli PAS sahaja melebihi 300,000. Kita akan bekerjasama dengan parti politik lain, NGO untuk membuat tuntutan dan berusaha agar pilihan raya umum ke-13 nanti akan diadakan secara adil,” katanya.

Nik Aziz: ‘Mat Sabu menang kerana undi sah, bukan sebab undi MyKad’


Suasana dalam dewan ketika Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan ceramahnya sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Taman Melewarm Gombak malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May
GOMBAK, 5 Jun — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperakui kemenangan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden baru sambil menyifatkan pemimpin vokal itu menang dengan “undian sah” perwakilan yang yakin kerana kepimpinannya.

Mohamad atau dikenali sebagai “Mat Sabu” menang kerusi nombor dua itu dengan menewaskan dua calon termasuk penyandangnya Nasharudin Mat Isa, sekali gus menyaksikan majoriti barisan kepimpinan parti itu kali ini dikuasai kumpulan profesional.

Dilihat merujuk kepada dakwaan pendaftaran pengundi kalangan rakyat asing menjelang pilihan raya umum, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Mohamad mencapai kejayaannya menerusi undian sah daripada perwakilan PAS.

“Dia (Mat Sabu) bukan menang sebab undi MyKad, bukan undi dari Bangladesh tetapi undi daripada PAS sendiri.

“Perwakilan PAS yakin dengan kepimpinan Mat Sabu. Oleh sebab itu mereka mengundinya,” kata beliau pada ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS di sni malam tadi.

Mohamad memperoleh 420 undi. Nasharudin yang menyandang jawatan itu sejak 2005 hanya menerima 224 undi manakala seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat 399 undi.

Jelas Nik Aziz, Mohamad telah melibatkan diri dalam politik khususnya bersama-sama PAS sejak di peringkat universiti.

Ujarnya, ketika Mohamad masih belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), beliau sudah terlibat dengan PAS.

“Itulah kelebihan Mat Sabu sebenarnya,” ujar Nik Aziz lagi.

Selain itu, beliau juga menyatakan rasa bangga apabila musuh-musuh politik membenci presiden dan timbalan presiden PAS — yang dilihat merujuk kepada serangan Umno dan BN terus-menerus dan ia meningkat menjelang pemilihan parti itu.

“Itu perkara bagus pihak lawan benci jawatan utama dalam PAS.

“Saya hanya mendoakan dia (Mohamad) diambil Allah kerana ketaqwaannya,” ujarnya lagi.

Nik Aziz menambah, Mohamad rapat dengan umat Islam, bukan Muslim serta bukan ahli-ahli PAS kerana cara dan perwatakan beliau.

“Dia lebih rapat dengan orang bukan Muslim disebabkan dia mudah mesra.

“Saya pun tidaklah rapat sangat sepertimana Mat Sabu rapat,” ulas Nik Aziz lagi.

Sehubungan itu, beliau yakin Mohamad boleh memainkan peranan segera untuk memikat golongan bukan Islam dan bukan ahli PAS menyokong parti itu dalam pilihan raya umum.

“Kita sudah ada pemimpin yang rapat dengan orang sekeliling. Ini akan memudahkan PAS menarik undi,” tambah Nik Aziz.

Dalam ceramahnya, Naib Presiden PAS baru Datuk Paduka Husam Musa pula berkata, mandat diberikan perwakilan merupakan satu tanggungjawab besar.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu menambah, beliau berharap barisan kepimpinan 2011-2013 mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

“Rumah Umno sudah hampir runtuh. Kita perlu tunjangi PAS dan melalui sebuah proses demokratik dengan adanya barisan kepimpinan ini.

“Kita tak pindah dari konsep kepimpinan ulama walau sedetik kerana kita dididik oleh ulama dan kepimpinan tertinggi PAS juga merupakan golongan ulama,” katanya.

Menyentuh mengenai Himpunan Sejuta Belia yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, Husam beranggapan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak umpama petanda Putrajaya akan “jatuh.”

“Hal ini kerana Najib memberi amanat kepada generasi muda agar mempertahankan Putrajaya pada hari tersebut.

“Dalam ucapan Najib tempoh hari, nampak seperti Putrajaya ingin jatuh. Saya nak tanya, Putrajaya memang nak jatuh kah, sampai perlu mengumpul sehingga beribu-ribu belia dan memberi amanat?

“Kalau Umno di ambang kejatuhan... apa tunggu lagi. Takkan nak tunggu sampai rumah runtuh baru nak lari. Saya harap rakan dalam Umno juga boleh sama-sama kami berjuang untuk ke Putrajaya kerana rumah mereka sendiri sudah nak runtuh dah,” katanya lagi.

Selain Husam, dua lagi naib presiden ialah Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar yang mempertahankan kerusi mereka.

Selain kedua-dua mereka, ceramah turut disampaikan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad, Salahuddin dan Mahfuz.

Muktamar 2011 akan berakhir petang ini.

Mat Sabu: Dulu lain sekarang lain, saya tak serang lagi Anwar

Mohamad Sabu ketika diumumkan sebagai timbalan presiden baru PAS pagi tadi. – Foto oleh Choo Choy May
GOMBAK, 4 Jun – Mohamad Sabu yang dipilih sebagai timbalan presiden baru PAS menegaskan pendiriannya bahawa beliau tidak lagi menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun musuh politik beranggapan beliau tidak akan sebulu dengan Ketua Umum Pakatan Rakyat berdasarkan perkembangan dekad-dekad lalu.

Beliau mengakui pernah mengecam dan menyerang secara politik pada 1980-an dan 1990-an iaitu ketika Anwar masih berada dalam Umno.

“Pada masa 80, 90-an, Anwar dalam Umno. Dia mendokong dasar-dasar Umno. Sebab itu saya kecam.

“Kini, Anwar sudah beralih ke Pakatan, jadi kita sama-sama bekerjasama dalam satu pasukan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di akhir hari kedua Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” memperoleh 420 undi untuk menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa yang hanya memperoleh 224 undi dan seorang lagi calon, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerima 339 undi.

Anwar menyertai Umno 1982 dan dipecat pada September 1998.

Sejak 2008 Anwar mengetuai Pakatan Rakyat dianggotai PAS, DAP dan PKR.

Petang tadi, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendakwa suara Anwar dalam PAS ekoran keputusan pemilihan 2011-2013 ditentukan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwanya sebagai “pak turut.”

“Suara Anwar dalam PAS ditentukan oleh (Mursyidul Am PAS) Datuk Nik Aziz dan (Presiden PAS) Haji Hadi (yang) jadi pak turut... yang lain tidak releven... memang ada yang Erdogan, ulama dan macam-macam lagi.

“Tetapi semua tidak beri apa-apa kesan kecuali Datuk Nik Aziz dan pak turut Haji Hadi,” kata Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Kelantan ini pada pilihan raya umum 2008 bertanding dan menang menggunakan lambang PAS.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali pula berkata kemenangan Mohamad pasti akan mengecewakan Nik Aziz, Hadi dan puak ulama dan puak Erdogan.

“Mat Sabu hanya belajar di ITM dan tidak tamat, bukan lulusan pengajian agama Timur Tengah. Ianya memalukan gulongon ulama PAS kerana Mat Sabu tiada kelulusan akademik manakala puak Erdogan juga lagi kecewa kerana Mat Sabu tidak sokong Anwar,” katanya dalam kenyataan berasingan.

“Malah Mat Sabu yang mengelar Anwar Al-Juburi... kehebatan Mat Sabu, namanya Muhamad sama nama Rasullulah, tapi nama bapa Sabu.. tiga naib presiden pula adalah tokoh duniawi iaitu dua ada ijazah dan satu lagi dikatakan hanya SPM saja.

“Pada pendapat saya barisan pimpinan PAS baru ini semakin menyukarkan usaha ke arah perpaduan Melayu,” kata beliau lagi.

Mengenai kecaman itu, Mohamad yang kelahiran Pulau Pinang berkata, itu perkara biasa dan sesiapa sahaja boleh mengecamnya sebab beliau juga ada mengecam orang.

“Jadi, ini bukan masalah. Sekarang, saya menjadi timbalan, akan ramai lagi yang kecam saya. Saya sedia hadapi kritikan orang,” kata Mohamad yang pernah menjadi anggota Dewan Rakyat.

Mengulas pandangan Ibrahim itu, Mohamad berkata, itu pendapat peribadi wakil rakyat berkenaan dan “suka hati dia nak cakap apa.”

“Saya tidak mahu komen apa-apa. Kalau itu pandangan organisasi, lain ceritalah. Ini pandangan peribadi,” katanya lagi.

Pendaftaran PKR : ROS Puas Hati, PKR Tarik Saman




PETALING JAYA 3 JUN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berpuas hati dengan penjelasan dikemukakan dalam surat tunjuk sebab berkaitan dengan ancaman pembatalan pendaftaran PKR yang diterima parti itu minggu lalu.

Setiusaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam kenyataan medianya memaklumkan, pihak ROS tidak akan meneruskan tindakan tersebut.

Ekoran keputusan itu katanya, pihak parti memutuskan untuk membatalkan hasrat menyaman ROS memandangkan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

Sebelum ini, PKR memfailkan tindakan undang-undang terhadap ROS bagi mencabar keputusan ROS untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

PKR menfailkan permohonan itu berikutan notis bertarikh 9 Mei lalu yang dikeluarkan ROS bawah Seksyen 13(1) dan (2) Akta Pertubuhan 1966, untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

Ini berikutan terdapat kes kononnya PKR memecat ahlinya yang bernama A. Rajagopal tanpa dibicarakan oleh Lembaga Displin parti terlebih dahulu walhal perkara itu tidak berlaku dalam parti itu kerana Fasal 32.2.1 Perlembagaan Parti tidak wujud dalam perlembagaan PKR.

PKR mendakwa keputusan ROS bagi membatalkan pendaftaran parti itu dibuat berdasarkan niat jahat (malafide) dan bertujuan semata-mata untuk menghalang parti itu daripada mengambil bahagian dalam pilihanraya umum akan datang.

Video Seks : Umno Makin Terdesak




SHAH ALAM 3 JUN: Tindakan gerombolan blogger pro-Umno-Barisan Nasional (BN) menyebarkan tiga lagi klip video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempengaruhi PAS supaya merenggangkan diri dari Pakatan Rakyat tidak akan berjaya, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Malah sebaliknya, kata beliau, ia menjadi dalil lebih kukuh di kalangan pimpinan PAS bahawa Umno-BN kini semakin terdesak di ambang menghadapi pilihanraya umum ke-13 apabila ikatan di kalangan kerabat Pakatan Rakyat kini adalah lebih akrab.

Ditokok hakikat bahawa tindakan jijik mereka ini terus diberi imuniti oleh pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak dan sekaligus berterusan memperlekeh bidang kuasa polis di negara ini, ia menyemai kebencian yang lebih menebal di kalangan rakyat, kata Rafizi.

"Mereka ini mendapat gaji dan upah daripada Umno secara langsung. Mereka tidak boleh menyembunyikan orang seperti PapaGomo dan lain-lain. Bila dia teruskan juga permainan ini dan polis tidak mengambil tindakan kepada juak Umno ini maksudnya Umno sudah hilang arah dengan isu-isu rakyat," ujar beliau.

Rafizi yang dihubungi Tv Selangor petang tadi memberi respon terhadap pendedahan terbaru tiga rakaman video seks berlainan sudut dengan mendakwa muka pelaku kelihatan "lebih jelas dan mirip Anwar".

Tiga video berkenaan dimuat naik laman blog anwarcctv.wordpress.com pagi tadi melalui notis sebuah email yang dihantar kepada wakil-wakil media oleh individu bernama Salina Aina.

Tindakan itu dipercayai dilakukan sempena Muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke-57 yang bermula hari ini di Taman Melewar, Gombak.

Rafizi kemudian mengulangi pendirian PKR bahawa Umno-BN tidak mampu berdepan dengan isu rakyat termasuk harga rumah tinggi, purata pendapatan rakyat rendah dan kenaikan harga barang.

Tambahnya, setiap serangan daripada parti itu akan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan Pakatan Rakyat menentang politik kotor seraya mengangkat semula martabat rakyat.

 Beliau berkata, jika Umno-BN meneruskan usaha meracuni pemikiran rakyat melalui kaedah politik lucah maka parti itu akan terus dihindari pengundi.

"Orang Umno sahaja yang mahu tengok video lucah itu. Kita tidak pernah dibuktikan ada apa-apa petanda yang menunjukkan lebih berminat dan menerima baik (video).

"Setakat ini bila kita bertemu dengan rakyat, majoriti tidak suka. Maklumat mana Umno dapat mengatakan rakyat suka dan isu ini akan jadi daya tarikan besar kepada mereka?" ujar Rafizi lagi.

Rafizi berkata, negara harus fokus kepada dakwaan pemberian komisyen berjumlah RM534 juta oleh kerajaan Malaysia dalam isu skandal pembelian dua kapal selam Scorpene yang sedang dibicarakan di mahkamah Perancis.

Ini kerana perbicaraan itu melibatkan integriti kepimpinan tertinggi negara Malaysia dan dipercayai berkait rapat dengan jenayah pembunuhan jurubahasa warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

"Saya setuju antara banyak-banyak perkara yang kita perlu tumpukan adalah kes Scorpene dan rakyat lebih terkesan dalam kes ini. Tapi Umno memang tidak mahu berdepan dengan kes-kes seperti ini," katanya.

Tiga klip rakaman video lucah yang didedahkan hari ini dipercayai telah disunting daripada video asal yang ditayangkan oleh trio 'Datuk T' kepada wartawan terpilih pada 21 Mac lalu di Hotel Carcosa Seri Negara.

Rakaman pertama berdurasi 15 minit dan 3 saat, manakala klip kedua adalah selama 17 minit dan 59 saat serta klip ketiga selama 13 minit dan 36 saat.

Berbeza dengan sebelum ini, klip video kali mempunyai latar muzik yang bermula dengan Hawaii 5-O, diikuti lagu dangdut Kelantan, lagu 'It Wasn't Me' oleh artis reggae Shaggy, lagu kumpulan tempatan The Fabulous Cats - Papa Jahat dan diakhiri dengan lagu Zee Avi - Kantoi.

Mahfuz : Kalah Atau Menang, Kesetiaan Tetap Pada Parti




GOMBAK 3 JUN : Pemilihan PAS yang diadakan ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 memperlihatkan keutuhan parti berusia 60 tahun itu.
Malah PAS kini boleh berbangga dengan kematangan politik dan kesetiaan ahlinya dalam menjayakan demokrasi dan mendapat tempat di hati rakyat negara ini.
Calon Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dilihat tenang dan bersahaja ketika menyatakan situasi itu kepada TV Selangor hari ini.

"Ini tunjukkan kesepaduan yang ada dalam PAS. Walaupun ada pertandingan semua bersatu padu.

"Pertandingan paling hangat ialah Timbalan Presiden. Tapi saya juga menang ikut pemilihan...perbezaan pendapat di kalangan ahli adalah untuk kebaikan kerana semua berlumba-lumba untuk beri sumbangan kepada parti," kata beliau.

Seorang lagi calon jawatan tersebut Mohamad Sabu menyatakan betapa ini merupakan keistimewaan PAS yang jarang dilihat pada parti lain.

Beliau turut menyatakan bahawa PAS yang mengamalkan keterbukaan dalam pemilihan calon pilihan raya mengelakkan ahli mereka dari cuba melobi dengan cara yang tidak sihat untuk menang.

"Calon pilihan raya tak semestinya yang menang. Kalau rasanya boleh menang di suatu kawasan, ahli baru pun boleh bertanding. Sebaliknya walaupun jika seseorang itu Ahli Jawatankuasa Pusat, jika tempat tidak sesuai, beliau tidak dibenarkan bertanding," kata beliau.

Calon Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan betapa ahli parti itu jauh lebih matang dalam politik berbanding BN.

"Ini buktikan PAS ada kematangan. Soal pemilihan mesti diteruskan, Muktamar mesti diteruskan, pilihan raya mesti bersedia.

"PAS tidak takut berhadapan risiko seperti Umno dan parti BN lain. Setiap mereka yang bertanding, menang atau kalah tetap setia kepada parti," kata Mahfuz.

Hal ini turut dikagumi oleh mereka yang baru menyertai dan mengenali PAS dengan lebih mendalam.

Bekas pelawak Bob Lokman ketika ditemui TV Selangor menyatakan beliau melihat Muktamar PAS ibarat pertemuan keluarga yang besar.

"Banyak perhimpunan yang saya sertai tapi perhimpunan PAS paling 'cool'. Semua berpegang pada satu perkara. Walaupun ada pertandingan. Kita nampak semua bersatu, macam dalam keluarga yang besar," ulas beliau yang pertama kali menghadiri Muktamar PAS selepas menyertai parti itu beberapa bulan lalu.

Noh Omar : Subsidi Nelayan Laut Dalam Ditarik Balik



 KUALA TERENGGANU 3 JUN : Nelayan laut dalam tidak lagi mendapat bekalan minyak pada harga super subsidi iaitu RM1.25 seliter, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata sehubungan itu, pengusaha bot nelayan laut dalam kategori Zon C2 perlu membeli minyak mengikut harga di stesen minyak iaitu RM1.80 seliter.

"Bukan sahaja nelayan Zon C2 yang kena beli minyak dengan harga RM1.80, lori, trak dan kontena yang berbentuk industri kena beli pada harga berkenaan," katanya selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan di Kuala Terengganu Selatan semalam.

Noh berkata langkah itu diambil bot nelayan Zon C2 dikategorikan sebagai pengangkutan berbentuk industri kerana mempunyai ramai pekerja.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar RM1.80 masih merupakan harga subsidi kerana jika mengikut harga industri, minyak dijual RM2.50 seliter.

"Kita sudah bagi kemudahan ini, dan ini adalah adil kerana mereka syarikat, (ada) pekerja yang ramai berbanding nelayan pantai yang hanya bersampan dengan tangkapan antara 10 kilogram dan 20 kilogram.

"Bagi nelayan laut dalam, dia boleh tangkap sehingga beribu kilogram," katanya.

Noh berkata nelayan laut dalam juga diberi insentif tambahan iaitu 10 sen hingga 20 sen bagi setiap kilogram tangkapan ikan yang didaratkan.

"Ini bermakna kalau mereka boleh tangkap ikan sehingga 40,000 tan metrik, mereka sudah boleh menampung pembelian minyak tadi.

"Kalau mereka nak dapat insentif lebih daripada kerajaan, mereka kena tangkap ikan yang banyak dan dapat insentif yang lebih. Kita buat ini bagi menggalakkan mereka mendaratkan ikan di negara kita sendiri," katanya.-BERNAMA

Mat Sabu: Perwakilan berani, saya akan penuhi harapan rakyat ke atas PAS

June 04, 2011

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Mohamad Sabu yang memenangi jawatan timbalan presiden PAS berkata, beliau akan membantu parti itu memenuhi keperluan orang ramai dan bukan Melayu, yang menurut beliau meletakkan harapan tinggi ke atas komponen Pakatan Rakyat (PR).

Dalam reaksi pertama selepas diumumkan sebagai orang nombor dua parti Islam itu, Mohamad berkata, survival mana-mana parti politik akan ditentukan oleh sokongan undi orang ramai dalam pilihan raya.

Oleh itu anak kelahiran Pulau Pinang ini berkata, PAS perlu memainkan peranan menyeluruh untuk memenuhi keperluan ahli-ahli parti dan juga masyarakat umum bukan ahli PAS.

“Jadi, saya akan menggunakan kedudukan (sebagai timbalan presiden) untuk memenuhi harapan orang ramai dan bukan Melayu ke atas PAS,” kata beliau ketika ditemui di sisi Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini pagi ini.

Mohamad, 56, yang mesra dikenali “Mat Sabu” menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan ibrahim Tuan Man.

Ini kali kedua Mohamad bertanding jawatan timbalan presiden.

Mohamad Sabu (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas diumumkan sebagai timbalan presiden baru PAS. — Foto oleh Choo Choy May
Dua tahun lalu, beliau tewas di tangan Nasharuddin yang turut mengatasi Datuk Paduka Husam Musa.

Kali ini Husam dipilih semula sebagai naib presiden.

Pun begitu, tegas Mohamad, kemenangan beliau tidak akan membawa perubahan ke atas dasar PAS yang sudah pun ditetapkan kecuali pendekatan-pendekatan yang perlu dan akan diambil untuk menterjemahkan prinsip perjuangan parti itu.

“Cuma gerak kerja sahaja akan diubah (untuk menghadapi situasi semasa),” kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau menang kerana sokongan besar perwakilan daripada kalangan profesional, Mohamad berkata, “saya tidak tahu, sebab saya belum buat analisis lagi.”

Beliau sekali lagi menekankan bahawa tidak timbul isu wujudnya kumpulan profesional dan ulama dalam PAS memandangkan sudah ada peranan yang jelas antara sayap eksekutif dan ulama dalam PAS.

Dalam temu bual khas disiarkan The Malaysian Insider semalam, Mohamad berkata, konsep kepimpinan ulama sepatutnya ditekankan dalam Majlis Syura, bukannya diterjemahkan ke atas jawatan-jawatan eksekutif parti Islam itu.

Mohamad berpendapat bahawa konsep kepimpinan ulama telah menjadi kekeliruan di kalangan ahli menyebabkan golongan profesional sukar mendapat tempat dalam jawatan tertinggi parti itu.

“Bagi saya presiden dan ke bawah boleh sesiapa sahaja yang layak untuk memimpin tiada masalah baik ulama atau profesional.

“Majlis Ulama ini yang perlu ditekankan bukan jawatan eksekutif, ia perlu dipertingkatkan dalam organisasi ini.

“Sebab itu, kalau kita lihat banyak ahli yang salah erti konsep kepimpinan ulama ini dan ia menimbulkan sedikit kekeliruan,” katanya.

“Namun saya pasti perubahan sudah mula berlaku dalam PAS,” kata beliau.

Dalam reaksi hari ini, beliau juga yakin bahawa keputusan pemilihan, yang berlangsung semalam dan diumumkan pagi ini, tidak akan menjejaskan perpaduan yang sedia terjalin dalam PAS.

“Saya yakin perpaduan akan kukuh untuk membawa PAS ke depan,” katanya sambil menambah, perwakilan telah membuat keputusan yang berani.

Mengenai kekalahan Nasharudin, Mohamad berkata, “saya tidak komen.”

Bagaimanapun Mohamad secara berseloroh berkata, beliau “bernasib baik” kerana menang di sebalik liputan media yang positif dan negatif.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dan kepada wartawan yang memberikan liputan media yang positif dan negatif,” katanya lagi.

Timbalan: Mat Sabu, Naib: Salahuddin, Husam, Mahfuz

Pemimpin veteran, Mohamad Sabu menang sebagai Timbalan Presiden PAS, setelah menewaskan penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa dan seorang lagi calon Tuan Ibrahim Tuan Man. Sementara penyandang jawatan Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar berjaya mempertahankan jawatan, dan Husam Musa kembali semula untuk mengisi satu lagi kerusi Naib Presiden.

Mohamad Sabu (gambar kiri), atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu meraih 420 undi, iaitu kira-kira 40% daripada 1,043 undi yang sah. Nasharuddin Mat Isa hanya memperolehi 224 undi, dan Tuan Ibrahim mendapat 399 undi, iaitu 21 undi ketinggalan berbanding Mat Sabu.

Dalam pemilihan pada tahun 2009, Nasharuddin Mat Isa mempertahankan jawatan Timbalan dengan 480 undi, lantaran daripada berpecahnya undi antara Husam (281 undi) dengan Mat Sabu (261 undi), yang membawa jumlah kepada 542 undi. Kali ini, nasib pula memihak kepada Mat Sabu, apabila undi "golongan ulama" berpecah antara Tuan Ibrahim dan Nasharuddin, yang akhirnya memberi kemenangan kepada Mat Sabu.

Nizar undi terendah dalam pertandingan Naib Presiden

Untuk jawatan Naib Presiden pula, dua orang penyandang, juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, iaitu Salahuddin Ayub (753 undi) dan Mahfuz Omar (616 undi) berjaya mempertahankan jawatan mereka, sementara Husam Musa kembali selepas tewas dalam pertandingan Timbalan Presiden pada tahun 2009 - dengan 660 undi.

Tiga orang lagi calon Naib Presiden adalah Idris Ahmad (491undi), Nik Mohd Amar Nik Abdullah (321 undi) dan Nizar Jamaluddin (217 undi).

Dalam pemilihan pada tahun 2009, Salahuddin Ayub meraih 824 undi, sementara Mahfuz Omar mendapat 636 undi, dan Tuan Ibrahim yang memperolehi undi tertinggi, 871 undi dalam pertandingan Naib Presiden. Keputusan yang diumumkan hari ini memperlihatkan bahawa Mahfuz mengekalkan sokongannya, sementara Salahuddin Ayub kehilangan sedikit undi. AJK pusat yang meraih undi tertinggi pada tahun 2009, Nizar Jamaluddin, kecundang pula dengan undi terendah dalam Naib Presiden, kali ini.

Selain itu, daripada 18 orang AJK Pusat yang terpilih, hanya satu pertiga daripadanya yang berlatar-belakangkan ulama.

Ramai pemimpin yang dilabelkan sebagai "Erdogan" menang dalam perebutan 53 orang calon ini, antaranya Hatta Ramli, Kamaruddin Jaafar, Mohamed Hanipa Maidin, Dzulkifly Ahmad, Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad, Siti Mariah dan lain-lain lagi.

Yang berikut adalah senarai AJK Pusat dengan undi yang diperoleh:

Mazlan Aliman (804)
Mohd Hatta Md Ramli (765)
Kamarudin Jaafar (739)
Hanipa Maidin (735)
Azizan Abdul Razak (726)
Dzulkefly Ahmad (702)
Mujahid Yusof Rawa (651)
Khalid Abd Samad (643)
Abdul Ghani Shamsuddin (579)
Amiruddin Hamzah (576)
Abdul Wahid Endut (556)
Abu Bakar Chik (527)
Nik Mohd Amar Nik Abdullah (470)
Mahfodz Mohamed (449)
Siti Mariah Mahmud (445)
Hassan Ali (437)
Abdul Ghani Abdul Rahman (430)
Nuridah Salleh (416)

PRO PAKATAN KINI BERSAMA PAS

Keputusan pemilihan jawatankuasa pusat PAS yang diumumkan hari ini menggambarkan bahawa 'tsunami' kumpulan Erdogan atau pro-Pakatan Rakyat telah melanda parti Islam itu.

NONEDalam keputusan yang diumumkan sebentar tadi, pemidato terkenal Mohamad Sabu - yang dilihat tidak memihak kepada mana-mana - disokong kuat oleh kumpulan itu.

Kemenangan Mohamad yang bukan daripada golongan ulama juga pertama kali berlaku dalam tempoh 20 tahun selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan oleh parti Islam itu sekitar tahun 1980-an.

Manakala bagi tiga naib presiden yang baru dipilih pula, dua daripadanya - exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan ahli parlimen Datuk Mahfuz Omar - daripada kumpulan itu.

NONEManakala anggota parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub pula walaupun diletakkan dalam 'chai' (senarai) kumpulan ulama, pendekatannya tidak jelas kelihatan memihak kepada mana-mana pihak.

Mahfuz dan Salahuddin merupakan penyandang jawatan itu manakala Husam pula pernah menjawatnya sebelum sebelum itu.

Asakan padu Erdogan turut menyingkirkan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai selebriti PAS dan calon pilihan kumpulan ulama, Ketua Penerangan Idris Ahmad.

NONEDi peringkat jawatankuasa pusat pula, sekurang-kurangnya 10 daripada 18 yang dipilih juga daripada kelompok Erdogan atau cenderung kepada kepimpinan Mohamad.

Tsunami besar ini selari dengan trend pemilihan dalam pemilihan muktamar di mana hampir semuanya dimenangi golongan wakil rakyat dan profesional.Walaupun kemenangan Mohamad boleh dikatakan bukan mutlak kerana beliau hanya mendapat kira-kira satu pertiga sokongan perwakilan, keputusan ini masih boleh dilihat sebagai isyarat penting bahawa akar umbi PAS mahukan perubahan.

Ia juga sejajar dengan penegasan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam supaya anggota parti itu bersedia "sepenuh kudrat" bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

NONEMuktamar PAS ke-57 yang sedang berlangsung dipercayai yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang.

Mohamad juga akan menghadapi tugas pertamanya sebagai orang nombor dua dalam parti dengan menjayakan perhimpunan bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil bulan depan.

[Laporan penuh menyusul]

Pemimpin Rasuah Akan Disingkir, Kata Hadi




GOMBAK 3 JUN : Bukan polisi PAS mahupun Pakatan Rakyat untuk terus 'menyimpan' ahli yang mengamalkan konsep rasuah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemimpin, demikian menurut Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang.

Malah tegas beliau, pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan menghalang jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menjalankan siasatan mereka kepada pemimpin yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan ini.

"Kita tidak ada kuasa, tak ada kuasa perundangan, yang ada kuasa SPRM. Kita terbuka kepada SPRM, Menteri Besar kita di semua negeri mengikut amalan pentadbiran SPRM.

"Kalau SPRM hendak bertindak mesti mendapat kebenaran daripada MB dan PM sebab itu MB dan Pakatan Rakyat terbuka untuk SPRM menyiasat semua yang dituduh dan yang difitnah kalau terlibat dengan rasuah kerana kita betul-betul nak bersih walaupun exco dan MB sekalipun kalau tak betul kita pecat,"kata Hadi.

Beliau ditanya pemberita pada sidang media bagi mengulas dakwaan blogger Syed Azidi Abd Aziz atau yang lebih mesra dikenali sebagai “Kickdefella” yang mendakwa Datuk Paduka Husam Musa membayar sebanyak RM 350,000 kepada beliau untuk mendapatkan bantuan berkempen pada pemilihan PAS pusat yang sedang berlangsung sekarang.

Ujarnya yang juga ali parlimen Marang, bukan sahaja siasatan terhadap Datuk Husam sahaja, malah bagi semua pemimpin yang tidak telus dan jujur juga akan disiasat bagi membendung gejala rasuah yang menjadi agenda Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.

Dua hari lalu sebelum bermulanya Muktamar PAS Kali Ke-57, Utusan melaporkan keengganan penulis blog Kickdefella mengulas dakwaan di blog bahawa beliau menerima bayaran RM300,000 untuk berkempen bagi pihak Husam.

Bagaimanapun, akhbar sama semalam melaporkan Syed Aziz mengakui menerima wang RM350,000 dari Husam, tetapi bukan bagi tujuan itu.

Beliau juga dilaporkan berkata tidak bertemu lagi dengan Husam sejak tahun 2009 dan hanya berbual di telefon dan bertukar SMS sahaja.

Pada pemilihan PAS kali ini, Husam bertanding merebut jawatan naib presiden bersama-sama lima calon lain iaitu Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Datuk Mohd Amar Abdullah, Idris Ahmad dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Amanat Presiden : Pertahan Negeri PR Sehabis Kudrat




GOMBAK 3 JUN : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini secara rasminya mengarahkan seluruh jentera PAS bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 sebaik sahaja muktamar berakhir.

Beliau juga menggesa seluruh pimpinan berikrar untuk mempertahankan negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat dengan sepenuh daya dan kudrat.

" Walau bila pun tarikhnya, saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera PAS untuk bersiap sedia sebaik sahaja muktamar kita selesai untuk menghadapi pilihan raya umum, dengan membuka bilik gerakan dan aktivitinya dengan penuh taktikal, seterusnya menyiapkan gerak kerja secara berstrategi yang akan diperincikan oleh Jabatan Pilihan raya PAS Pusat nanti. Manakala ILPAS juga perlulah melalui fasa keduanya dalam menjadi nadi utama latihan kepada semua petugas parti di pelbagai peringkat,"katanya.

"Pada hari ini juga, marilah sama-sama kita berikrar untuk mempertahankan negeri Kelantan dan Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang telah kita tadbir secara bersama ini dengan sepenuh kudrat yang kita ada, biarlah keringat kita membasahi bumi tempat berpijak, biarlah tenaga kita bergelora dengan semangat yang tinggi, kita akan mempertahankan kemenangan yang telah kita kecapi selama ini dengan izin Allah SWT,"tambah beliau.

Mengumumkan perkara itu, Hadi turut mengarahkan seluruh jentera memberi tumpuan 70 peratus ke arah mendekati pengundi atas pagar.

" Manakala jentera di peringkat Unit Peti Undi (UPU) pula wajar mengalami perubahan drastik di atas peranan mereka yang semakin penting, terutamannya kerana merekalah yang setiap hari berada paling hampir dengan pengundi di unit yang paling kecil
dalam sistem pilihan raya kita ini. Mereka wajar mengenali kesemua pengundi di lingkungan mereka seumpama mereka mengenali saudara-mara mereka sendiri,"kata Hadi lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya seluruh jentera parti sentiasa hikmah dalam menjalankan tanggungjawab.

" Santunilah pengundi yang ada di depan kita secara peribadi supaya akhirnya mesej kita kepada mereka dapat disampaikan dan diterima oleh semua, kerana pendekatan ceramah terbuka kadangkala hanya berlegar di kalangan ahli kita sahaja.

Hadi : Umno Bebalkan Rakyat Islam, Kotorkan Politik Negara




GOMBAK 3 JUN : Dalam ucapan yang dianggap paling keras terhadap Umno, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan parti pemerintah itu sebagai pengotor politik negara menerusi amalan rasuah, fitnah, pembohongan dan perkauman sempit.

Penegasan beliau sekaligus menzahirkan bahawa parti Islam itu tidak “termakan” dengan pelawaan-pelawaan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mendedahkan Umno menawarkan tiga jawatan Menteri jika PAS setuju meninggalkan Pakatan Rakyat dan bersama Umno.

Namun, ucapan Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar PAS di Kuala Lumpur pagi tadi menyerlahkan pemikiran PAS mengenai pemimpin-pemimpin Umno yang membuat cadangan itu.

“Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam, tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana (mereka) dijangkiti keruntuhan moral, rasuah dan menyalah guna kuasa sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya,” kata Hadi.

“Politik seperti ini perlu dimurnikan dan sudah tentu Umno-Barisan Nasional akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri,” tambah beliau.

Hadi berkata kemurnian politik negara dicemari dengan tindakan jijik menerusi pelbagai angkara dan perkara kotor sehingga memalukan anak-anak yang menjadi penonton kepada perlakuan sedemikian.

Ahli parlimen Marang itu kesal kerana amanah besar yang diberikan kepada Umno untuk mengisi kemerdekaan negara sebaliknya digunakan sebagai peluang kebendaan untuk menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat.

“Akhirnya harta negara menjadi milik peribadi pemimpin mereka (Umno), meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” tambah beliau.

Hadi berkata cita-cita untuk membina sebuah Malaysia yang sejahtera dan aman digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang mengaut khazanah negara dan membelakangkan falsafah dan tuntutan Islam.

“Hakikatnya Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan meperbodohkan mereka,” kata beliau.

Justeru Hadi berkata adalah tanggungjawab PAS untuk terus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam.

Langkah sedemikian akan membebaskan ummah “daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah,” jelas beliau.

Pemilihan Parti Lambang Keberanian PAS




GOMBAK 3 JUN : Kematangan para pewakilan untuk memilih pemimpin yang mantap selain mampu membawa kejayaan parti adalah cermin kepada keberanian PAS tidak menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti itu.

Berbeza dengan Umno-BN, parti Islam itu malah yakin mampu membawa kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata walaupun banyak parti politik lain menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti mereka sehingga selepas PRU-13, namun PAS yakin pemilihan kali ini tidak akan memecahbelahkan parti sebaliknya akan memantapkan perpaduan pemimpin serta anggota parti.

"Sejak proses pemilihan bermula, kami yakin tidak akan timbul sebarang unsur negatif daripada pertandingan yang berlaku dan proses pemilihan akan dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan sehingga pemilihan ini selesai,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan pada Muktamar Tahunan Pas ke-57 di sini hari ini.

Pemilihan kali ini menyaksikan Presiden PAS, DatuK Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding manakala bagi jawatan nombor dua parti menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Semalam bagi pemilihan Dewan Muslimat Pas, menyaksikan ahli parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof dipilih sebagai Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat menewaskan penyandang Nuridah MOhd Salleh manakala Ketua Pemuda Nasruddin Hassan menang jawatan berkenaan tanpa bertanding bagi penggal kedua.

Manakala jawatan timbalan jatuh kepada anak Menteri Besar Kelantan, Nik Abduh Nik Aziz.

Hari Belia dan kemunafikan pentadbiran Najib

Hari belia 2011. Saya cuba untuk tidak sinikal dan bersikap non-partisan. Akan tetapi, tidak mampu untuk menyembunyikan perasaan-perasaan tertentu. Di sebalik kemunafikan dan hipokrasi pemimpin. Apalah sangat Najib duduk bersama para belia menonton perlawanan bola di sambutan Hari Belia kelmarin dan ini bukan pertama kali. Sebelum ini, ada yang mengatakan, Najib "nampak cool" apabila turun ke bawah, hang out menonton bola di Bukit Bintang yang digambarkan sebagai tempat paling hip di Kuala Lumpur. Siapa peduli?
Kereta yang dipandu Aminulrasyid ketika ditembak

Najib, selaku Perdana Menteri Malaysia, menonton bola bersama belia-belia, membawa kita mengimbau kembali peristiwa berdarah beberapa ketika tidak lama dahulu. Tewasnya saudara kita Aminulrasyid di tangan Polis juga selepas menonton perlawanan bola. Kematian akibat ditembak Polis selepas menonton bola bukan sesuatu yang biasa di negara ini dan perkara ini amat mengejutkan. Malah, yang melakukan "pembunuhan" bukanlah penjenayah tetapi orang yang menerima amanah untuk menjaga keselamatan kita semua.

Isu "ditembak Polis" ini bukan suatu yang asing di Malaysia. Kita juga masih ingat beberapa kes yang hampir sama di antaranya kes Shahril Azlan Ahmad Kamil, Siti Nasrinda Sumirin, Norizan Salleh dan lain-lain lagi. Sehingga sekarang, inividu tersebut dan waris-waris mangsa masih dalam perjuangan mereka menuntut keadilan.

Najib (gambar kiri), Aminulrasyid dan bola. Ketiga subjek ini secara tidak langsung berkait. Umpama dua manusia yang melakonkan watak masing-masing. Hidup dalam kelas sosial yang berbeza.

Rentetan dari perkara yang telah berlaku, secara politik kita melihat tindakan Najib mendampingi belia dengan menonton perlawanan bola merupakan sebuah lakonan, jelek mata memandang apatah lagi dengan isu keselamatan belia yang masih kabur.

Sekiranya Najib memainkan peranan kerajaan untuk peduli dan menjamin keselamatan rakyat keseluruhan; termasuk golongan belia, Aminulrashid tidak akan mati di tangan polis. Walau apapun bencana keselamatan dan sosial yang berlaku dalam masyarakat kita, mereka yang berstatus VVIP akan terus diiring oleh pasukan keselamatan dan polis sehingga selamat sampai ke destinasi seterusnya. Beertikah semua ini untuk kita semua?

Skim Rumah pertamaku: Tawaran tidak ikhlas

Selain dari habuan-habuan yang dijanjikan seperti mewujudkan parlimen belia, sebelum itu Bajet 2011 telah menawarkan Skim Rumah Pertamaku terbuka bagi golongan belia yang berpendapatan kurang dari RM3000 di bawah umur 35 tahun. Skim ini, bertujuan menggalakkan golongan belia memiliki kediaman sendiri selain mengikat para peminjam sehingga hampir seumur hidup mereka engan pinjaman minimum RM100,000 sehingga RM220,000.

Seperkara yang menarik perhatian, dari nilai yang dinyatakan, rasanya sangat jauh berbeza dengan realiti harga hartanah, rumah standard yang selesa terutamanya di kawasan bandar terutamanya di Lembah Klang. Lupakan sebuah rumah yang selesa dan tenteram! Lalu persoalan demi persoalan timbul. Apakah kerajaan pimpinan Najib benar-benar ikhlas dalam membantu golongan belia? Sekiranya kerajaan komited untuk membantu golongan belia memiliki rumah, nilai jumlah pinjaman harus ditingkatkan.

Dasar haruslah realis. Mungkin perlu dikelaskan kepaa kawasan-kawasan tertentu agar ia tidak mengetepikan impian golongan belia yang ingin memiliki kediaman yang selesa di sekitar Kuala Lumpur. Kita melihat tawaran ini lari dari realiti yang sebenarnya dan boleh kita nyatakan bahawa tawaran ini cuma sekadar untuk meraih undi?

Belia bangkit melakar sejarah!

Jujur, saya tidak peduli. Biarpun tiga juta belia dihimpunkan di Putrajaya; paling penting kita harus sedar apakah rasional mereka dihimpunkan? Semata-mata untuk menghiburkan atau menunjukkan keprihatinan kerajaan sebagai match maker bagi belia-belia yang masih single? Malah, target 1 juta yang diwar-warkan nampak retorik apabila anggaran yang hadir cuma kurang lebih 10 ribu.

Saya bukan skeptikal, baguslah, sekurang-kurangnya kerajaan melakukan sesuatu untuk mengisi jiwa-jiwa belia ini. Akan tetapi, apakah wajar ratusan ribu ringgit malah mungkin mencatatkan angka juta dibelanjakan untuk program sedemikian lebih-lebih lagi ia jauh tersasar dari target? Semasa rakyat dihimpit dengan rasionalisasi harga gula dan bahan api, terkini, rakyat berhadapan dengan pelarasan semula tarif elektrik, ini merupakan salah satu isu pembaziran wang negara yang harus diambil peduli.

Objektif himpunan 1 juta belia ini bertujuan untuk menghargai sumbangan belia. Justeru, kita melihat dikesempatan inilah Najib mengambil peluang menyeru agar para belia mempertahankan Putrajaya. Antara lain dalam ucapannya berkata,

"Di sini, satu juta belia berkumpul di Putrajaya bagi mempertahankan kerajaan. Sanggupkah anda mempertahankan Putrajaya bersama saya?" lalu disambut dengan jeritan "ya". Ucapan beliau kemudian disambung dengan laungan "Pertahankan Putrajaya" sebanyak tiga kali.

Ucapan ini terang-terang sebuah justifikasi. Lalu, kita berfikir, apakah yang mahu dipertahankan Najib? Dengan rekod pentadbiran yang dihantui dengan skandal-skandal besar seperti isu Scorpene, malah beliau sendiri masih belum bersih dengan isu Altantuya, komplot Liwat II, isu video lucah, isu keganasan Polis, isu rasuah dan SPRM, dilema ekonomi dan sosial negara yang kian menghimpit rakyat malah banyak lagi.

Sekali lagi kita bertanya, pertahankan Putrajaya daripada pembangkang? Apa rasionalnya mempertahankan kerajaan yang telah lama diberi mandat tetapi menunjukkan prestasi yang menjengkelkan? Siapa yang harus ditukar sekarang? Rakyat harus jangan ditipu sekali lagi hidup-hidup dan para belia Malaysia harus bangkit melakar sejarah!

*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

HAKIM YANG BAKAL DIPECAT DI ERA PAKATAN MEMERINTAH



Kes Anwar : Zabidin Sudah Pun Buat Keputusan Muktamad, Kata Karpal




KUALA LUMPUR 2 JUN : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk melucutkan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah daripada terus mendengar perbicaraan itu, kerana bersifat berat sebelah.

Ini kerana Zabidin seolah-olah sudah membuat keputusan mensabitkan Anwar di atas tuduhan liwat apabila menerima segala keterangan saksi pendakwaraya termasuk pengadu Saiful Bukhari Azlan sebagai benar tanpa mendengar pembelaan Datuk Seri Anwar, kata peguam Karpal Singh.

Pada 16 Mei lalu, Zabidin mengarahkan Anwar supaya membela diri terhadap tuduhan liwat oleh Saiful itu namun menurut Karpal, Anwar tidak berupaya mendapat perbicaraan adil sebagaimana yang terjamin di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Karpal Singh berkata, penghakiman Zabidin tidak masuk akal kerana beliau seolah-olah sudah pun membuat keputusan muktamad setelah selesai mendengar keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan.

“Hakim telah salaharahkan dirinya dalam menafsir perkataan prima facie. Beliau telah pun membuat keputusan penuh menerima keterangan Saiful sebagai sesuatu yang benar tanpa mendengar pembelaan Anwar terlebih dahulu,” kata Karpal.

“Apabila hakim mengambil pendirian sedemikian, apa lagi ruang yang tinggal untuk pihak yang membela diri,” tambah Karpal.

"Pada peringkat ini, hakim tidak harus membuat rumusan yang konklusif,” tambah beliau.

Karpal menegaskan tindakan Zabidin bercanggah dengan prinsip keadilan. Justeru pihaknya memohon supaya Zabidin menarik diri dan digantikan dengan hakim yang lain.

Dalam permohonan yang difailkan, Anwar berkata Zabidin tidak boleh membuat rumusan bahawa keterangan saksi-saksi pendakwaraya termasuk Saiful adalah benar tanpa mendengar daripada pihak pembela.

“Hakim telah membuat satu penemuan konklusif, (malah) memutuskan pendakwaraya telah membuktikan kesnya tanpa keraguan mengenai kesalahan tertuduh. Ini menjadikan seksyen 182A(1) Kanun Acara Jenayah sia-sia,” tambah Anwar.

Peruntukan itu mewajibkan hakim untuk membuat keputusan muktamad hanya setelah mendengar kes pendakwaraya dan pembela,” kata Anwar.

“Sekiranya perbicaraan saya disambung oleh Datuk Zabidin, saya percaya saya tidak akan menerima satu perbicaraan yang adil,” tambah Anwar.

Bulan lalu, hakim memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada kes prima facie terhadap Anwar dan mengarahkan tertuduh mempertahankan dirinya.

 Hakim Zabidin juga berkata, beliau mendapati bahawa keterangan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai boleh dipercayai dan diterima sebagai kebenaran kerana saksi berkenaan seorang yang "berwibawa."

Antara lain Saiful member keterangan bahawa beliau dipaksa melakukan jenayah itu tetapi sempat minum kopi dan makan karipap sebelum meninggalkan bangunan kondomium berkenaan.

Beliau juga hadir kerja seperti biasa pada keesokan hari nya dan hanya membuat laporan polis dua hari selepas kejadian itu di dakwa berlaku.

Ini kali ketiga bagi Anwar untuk melucutkan Zabidin sebagai hakim yang mendengar kes itu.

Permohonan pertama dibuat pada Februari tahun lalu apabila Zabidin tidak memberikan amaran kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan menghina mahkamah.

Satu lagi difailkan pada November lalu berikutan amaran hakim itu yang cuba mengugut peguam utama Karpal Singh dengan tindakan menghina mahkamah.

Kedua-dua permohonan itu ditolak.