Kereta yang dipandu Aminulrasyid ketika ditembak |
Najib, selaku Perdana Menteri Malaysia, menonton bola bersama belia-belia, membawa kita mengimbau kembali peristiwa berdarah beberapa ketika tidak lama dahulu. Tewasnya saudara kita Aminulrasyid di tangan Polis juga selepas menonton perlawanan bola. Kematian akibat ditembak Polis selepas menonton bola bukan sesuatu yang biasa di negara ini dan perkara ini amat mengejutkan. Malah, yang melakukan "pembunuhan" bukanlah penjenayah tetapi orang yang menerima amanah untuk menjaga keselamatan kita semua.
Isu "ditembak Polis" ini bukan suatu yang asing di Malaysia. Kita juga masih ingat beberapa kes yang hampir sama di antaranya kes Shahril Azlan Ahmad Kamil, Siti Nasrinda Sumirin, Norizan Salleh dan lain-lain lagi. Sehingga sekarang, inividu tersebut dan waris-waris mangsa masih dalam perjuangan mereka menuntut keadilan.
Najib (gambar kiri), Aminulrasyid dan bola. Ketiga subjek ini secara tidak langsung berkait. Umpama dua manusia yang melakonkan watak masing-masing. Hidup dalam kelas sosial yang berbeza.
Rentetan dari perkara yang telah berlaku, secara politik kita melihat tindakan Najib mendampingi belia dengan menonton perlawanan bola merupakan sebuah lakonan, jelek mata memandang apatah lagi dengan isu keselamatan belia yang masih kabur.
Sekiranya Najib memainkan peranan kerajaan untuk peduli dan menjamin keselamatan rakyat keseluruhan; termasuk golongan belia, Aminulrashid tidak akan mati di tangan polis. Walau apapun bencana keselamatan dan sosial yang berlaku dalam masyarakat kita, mereka yang berstatus VVIP akan terus diiring oleh pasukan keselamatan dan polis sehingga selamat sampai ke destinasi seterusnya. Beertikah semua ini untuk kita semua?
Skim Rumah pertamaku: Tawaran tidak ikhlas
Selain dari habuan-habuan yang dijanjikan seperti mewujudkan parlimen belia, sebelum itu Bajet 2011 telah menawarkan Skim Rumah Pertamaku terbuka bagi golongan belia yang berpendapatan kurang dari RM3000 di bawah umur 35 tahun. Skim ini, bertujuan menggalakkan golongan belia memiliki kediaman sendiri selain mengikat para peminjam sehingga hampir seumur hidup mereka engan pinjaman minimum RM100,000 sehingga RM220,000.
Seperkara yang menarik perhatian, dari nilai yang dinyatakan, rasanya sangat jauh berbeza dengan realiti harga hartanah, rumah standard yang selesa terutamanya di kawasan bandar terutamanya di Lembah Klang. Lupakan sebuah rumah yang selesa dan tenteram! Lalu persoalan demi persoalan timbul. Apakah kerajaan pimpinan Najib benar-benar ikhlas dalam membantu golongan belia? Sekiranya kerajaan komited untuk membantu golongan belia memiliki rumah, nilai jumlah pinjaman harus ditingkatkan.
Dasar haruslah realis. Mungkin perlu dikelaskan kepaa kawasan-kawasan tertentu agar ia tidak mengetepikan impian golongan belia yang ingin memiliki kediaman yang selesa di sekitar Kuala Lumpur. Kita melihat tawaran ini lari dari realiti yang sebenarnya dan boleh kita nyatakan bahawa tawaran ini cuma sekadar untuk meraih undi?
Belia bangkit melakar sejarah!
Jujur, saya tidak peduli. Biarpun tiga juta belia dihimpunkan di Putrajaya; paling penting kita harus sedar apakah rasional mereka dihimpunkan? Semata-mata untuk menghiburkan atau menunjukkan keprihatinan kerajaan sebagai match maker bagi belia-belia yang masih single? Malah, target 1 juta yang diwar-warkan nampak retorik apabila anggaran yang hadir cuma kurang lebih 10 ribu.
Saya bukan skeptikal, baguslah, sekurang-kurangnya kerajaan melakukan sesuatu untuk mengisi jiwa-jiwa belia ini. Akan tetapi, apakah wajar ratusan ribu ringgit malah mungkin mencatatkan angka juta dibelanjakan untuk program sedemikian lebih-lebih lagi ia jauh tersasar dari target? Semasa rakyat dihimpit dengan rasionalisasi harga gula dan bahan api, terkini, rakyat berhadapan dengan pelarasan semula tarif elektrik, ini merupakan salah satu isu pembaziran wang negara yang harus diambil peduli.
Objektif himpunan 1 juta belia ini bertujuan untuk menghargai sumbangan belia. Justeru, kita melihat dikesempatan inilah Najib mengambil peluang menyeru agar para belia mempertahankan Putrajaya. Antara lain dalam ucapannya berkata,
"Di sini, satu juta belia berkumpul di Putrajaya bagi mempertahankan kerajaan. Sanggupkah anda mempertahankan Putrajaya bersama saya?" lalu disambut dengan jeritan "ya". Ucapan beliau kemudian disambung dengan laungan "Pertahankan Putrajaya" sebanyak tiga kali.
Ucapan ini terang-terang sebuah justifikasi. Lalu, kita berfikir, apakah yang mahu dipertahankan Najib? Dengan rekod pentadbiran yang dihantui dengan skandal-skandal besar seperti isu Scorpene, malah beliau sendiri masih belum bersih dengan isu Altantuya, komplot Liwat II, isu video lucah, isu keganasan Polis, isu rasuah dan SPRM, dilema ekonomi dan sosial negara yang kian menghimpit rakyat malah banyak lagi.
Sekali lagi kita bertanya, pertahankan Putrajaya daripada pembangkang? Apa rasionalnya mempertahankan kerajaan yang telah lama diberi mandat tetapi menunjukkan prestasi yang menjengkelkan? Siapa yang harus ditukar sekarang? Rakyat harus jangan ditipu sekali lagi hidup-hidup dan para belia Malaysia harus bangkit melakar sejarah!
*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.