
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian pada 18 Mac 2026 selepas menolak saman pemula Waytha Moorthy yang difailkan tahun lalu.
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk membatalkan saman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berhubung pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas menolak saman pemula Waytha Moorthy yang difailkan tahun lalu.
Beliau berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan kerana ia sepatutnya difailkan melalui petisyen pilihan raya.
Mahkamah kemudian mengarahkan Waytha Moorthy membayar kos sebanyak RM80,000 kepada Anwar.

Terdahulu, Peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar, berhujah pada prosiding permohonan Anwar untuk membatalkan saman pemula itu, berkata Perkara 118 melarang sesuatu pilihan raya dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya, termasuk yang difailkan Waytha Moorthy.
Beliau berkata, saman pemula berkenaan yang difailkan 12 Ogos tahun lalu, tidak difailkan di hadapan seorang hakim pilihan raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Katanya, Waytha Moorthy juga tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan bagi mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 34 AKPR 1954.
“Saman pemula ini difailkan di luar tempoh masa mandatori bagi memfailkan petisyen pilihan raya sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 38 AKPR 1954.
“Ia dimulakan bagi tujuan yang tidak wajar dan tujuan sampingan, termasuk untuk meraih keuntungan politik, mengekalkan relevan dari segi politik, dan untuk mengganggu defendan (Anwar),” katanya.

No comments:
Post a Comment