Prestasi air di Perlis, Kedah dan Kelantan tak memuaskan, gagal capai KPI
Tiga negeri pembangkang mencatatkan prestasi kurang memuaskan apabila gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, prestasi terbaik adalah syarikat air di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
Beliau berkata, kerajaan kini memberi tumpuan untuk memastikan syarikat air di negeri berprestasi rendah itu memperbaiki mutu perkhidmatan agar setanding negeri lain.
“Tumpuan sekarang adalah memastikan syarikat air di negeri berkenaan mencapai KPI terbaik. Ia penting untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kurangnya aduan pengguna.
“Jadi apa pun yang kita buat, sudah pasti kita memfokuskan kepada rakyat supaya tidak membebankan khususnya pengguna domestik iaitu rakyat terbanyak,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat semalam.
Fadillah menjelaskan terdapat lima KPI yang mesti dipenuhi oleh syarikat air di seluruh negara, iaitu margin simpanan bekalan, kualiti air terawat, kadar Air Tidak Terhasil (NRW), kecekapan penyelesaian aduan dan tempoh pembaikan.
Dalam usaha menambah baik perkhidmatan air negara, beliau memaklumkan kerajaan memperuntukkan perbelanjaan modal (CAPEX) berjumlah RM7.7 bilion bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2), melibatkan kelulusan 82 projek.
No comments:
Post a Comment