PM Anwar Terima Panggilan Telefon Daripada Presiden Masoud, Nyata Komitmen Hubungan Malaysia-Iran

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian membincangkan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Iran, di samping bertukar ucapan Aidilfitri pada 31 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 31 Mar – Hari Raya Aidilfitri tahun ini terus menceriakan buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian, hari ini.

Terdahulu Anwar turut menerima panggilan serupa daripada rakan sejawatnya di Pakistan, Shehbaz Sharif juga pada hari raya pertama membincangkan hubungan dua hala yang terus terjalin erat ketika ini.

Perbincangan antara Anwar dan Dr Masoud antara lain menyentuh mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Iran selain bertukar ucapan sempena sambutan Aidilfitri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berbincang mengenai kerjasama pelbagai bidang dan hubungan dua hala pada 31 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Kami menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara, terutama dengan mempertingkatkan pelaburan dan perdagangan, selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang berpotensi.

“Alhamdulillah, kunjungan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Tehran pada bulan lepas membawa perkembangan positif dalam hubungan serta kerjasama dua hala Malaysia dan Iran,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau akan memastikan kesinambungan kunjungan berkenaan dengan menyegerakan dan mempermudahkan segala usaha untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan bidang lain yang berkaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan menerusi perbualan telefon pada 30 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Menurut Anwar, dalam perbualan bersama Pezeshkian itu, beliau turut mengulangi penghargaan Malaysia terhadap pendirian teguh dan konsisten Iran dalam memperjuangkan hak serta keadilan buat rakyat Palestin, selain menentang kezaliman Israel.

“Kami percaya solidariti dan kesatuan dalam kalangan negara Islam serta warga dunia amat penting dalam usaha memastikan keadilan dan keamanan berpanjangan di bumi Gaza,” katanya.



No comments: