CERITA SUDAH TUTUP, NGA KOR MING AKHIRNYA ANGKAT BENDERA PUTIH

 

Cubaan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Unesco nampaknya tidak lagi menjadi isu kerana ia sudah pun tutup cerita, hanya beberapa hari setelah cadangan dilontarkan.

Menteri berkaitan terlihatnya cepat sedar isu berkenaan adalah tidak relevan, lalu dengan segera bendera putih dikibarkan.

Dipetik sebagai berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan enggan memanjangkan isu cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata, perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak polemik dan salah tafsir oleh pelbagai pihak.

Justeru menurutnya, lebih baik isu berkenaan tidak terus dipanjangkan dan fokus kepada agenda lain yang lebih memberi faedah kepada rakyat.

“Saya tahu, sekali saya komen, satu perkataan (sahaja), jadi lari tajuk.

“Cerita itu pun sudah tutup, tidak ada isu pun sebenarnya, jadi eloklah kita ‘move on’,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Rekreasi Woodland di Tambun Baru Tambun, di sini, petang ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri KPKT itu mencadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak, khususnya UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Mereka menyifatkan cadangan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan dan mencetuskan polemik tidak perlu dalam kalangan rakyat.

Sumber – https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kampung-baru-cina-cerita-sudah-tutup-kor-ming-enggan-panjangkan-isu-458126?amp=1