Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said antara calon yang dicadangkan untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Ketua Urusetia Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin berkata, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman merupakan antara nama yang mendapat sokongan untuk disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya tersebut.
“Ahmad merupakan pemimpin paling layak dipilih sebagai calon kerana kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
“Selain itu, beliau juga antara pemimpin parti yang memohon mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) Parlimen Kemaman sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Menurut Mohamed Rahim, terdapat sekurang-kurangnya tujuh nama yang dipilih oleh UMNO bahagian itu untuk disenaraikan sebagai calon termasuk Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Zulkefli Abu Bakar.
Beliau memberitahu, kesemua nama tersebut akan diserahkan kepada UMNO negeri untuk disenarai pendek sebelum melalui proses pemilihan di peringkat UMNO Pusat.
“Difahamkan Pengerusi Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini menolak cadangan untuk disenaraikan sebagai calon kerana ingin memberi tumpuan kepada tugas yang digalasnya.
“Selain itu, ada juga maklumat memberitahu seorang ahli akademik yang merupakan anak tempatan bakal diketengahkan sebagai calon dalam PRK Kemaman,” ujarnya.
Sumber – https://www.sinarharian.com.my/article/628824/berita/politik/ahmad-said-dicadang-calon-bn-prk-kemaman
Nota – Untuk rekod, Ahmad Said tewas semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dan juga kalah semasa bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini yang menyaksikan UMNO kalah semua kerusi di Terengganu.
Bagi kerusi Parlimen Kemaman, Ahmad Said tewas kepada Che Alias Hamid dari PAS memenangi kerusi itu dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru.