SOKONGAN TERBUKA GPS KEPADA ANWAR HINGGA PRU16 SUDAH BOLEH MEMBUATKAN ‘KERENGGA-KERENGGA’ BERHENTI GUGAT KERAJAAN



Dalam keghairahan PN yang nampaknya masih tak berkesudahan mahu menjatuhkan kerajaan, semua orang sedar perkara itu mustahil menjadi kenyataan tanpa sokongan GPS daripada Sarawak.


Ini kerana GPS mempunyai 23 Ahli Parlimen dan jumlah itu boleh dikira penentu yang sangat penting kepada sebarang perubahan kerajaan.


Memandangkan PN hanya ada 74 Ahli Parlimen, jika mereka ingin menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sekarang, selain perlu mendapatkan sokongan GPS, juga harus disertai oleh GRS di Sabah yang mempunyai enam Ahli Parlimen, kemudian hendaklah ditambah dengan sekurang-kurangnya tujuh lagi Ahli Parlimen daripada BN.


Itu pun jumlahnya masih belum mencecah 112, bilangan paling minimum untuk menukar kerajaan.


Selebihnya masih perlu mendapatkan sokongan daripada Warisan (3 kerusi Parlimen), Parti Bangsa Malaysia (1 kerusi Parlimen) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Sabah yang juga mempunyai 1 Ahli Parlimen.


Sokongan daripada Ahli Parlimen BN pula tidak mudah diperolehi kerana di bawah Akta Lompat Parti, sokongan secara individu dengan menjaja SD tidak lagi berharga, kecuali mereka meletak jawatan dan kemudian bertanding semula.


Hanya setelah memperolehi semua sokongan tersebut, barulah “kerengga-kerengga” yang menjadi pengacau kerajaan ini boleh bersukaria dengan kejayaan agenda menebuk atap sekali lagi.


Oleh kerana Muda sudah mengumumkan tidak lagi menyokong kerajaan perpaduan, ini bererti jika PN benar-benar mahu menjatuhkan kerajaan, mereka sudah ada satu tambahan kerusi Parlimen yang diperolehi secara percuma.


Begitulah lebih kurang susun aturnya jika ingin menukar kerajaan.


Tetapi dengan pengumuman GPS semalam untuk terus memberi sokongan kepada Anwar menerajui negara sehingga PRU16 akan datang, ini bermakna terpadamlah sudah impian dan angan-angan PN itu.


Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg berkata, sokongan itu penting agar wujud kestabilan yang membolehkan Kerajaan Persekutuan ditadbir dengan lebih fokus.


“Kami memberi anda (Anwar) sokongan penuh dan memiliki Kerajaan Persekutuan yang stabil sehingga pilihan raya seterusnya,” kata beliau semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, di Kuching.


Khalas, tutup bukulah sudah segala-galanya dengan pendirian terbuka Abang Johari ini.


Hadi Awang yang berkali-kali berkata kerajaan akan bertukar, kali terakhir kononnya bulan Ogos lalu, tentu saja paling kecewa dengan pendirian terbaru GPS ini.


PN dengan ini sudah boleh berhenti daripada terus berangan-angan, bermimpi atau berterusan ingin menjadi “kerengga” yang mengacau kestabilan kerajaan.


Mereka kini harus menerima hakikat bahawa Anwar akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU16 pada tahun 2027 akan datang.


Kepada PN, tiada pilihan lain ada di depan mata mereka sekarang ini selain harus memberi khidmat yang terbaik di kawasan Parlimen masing-masing sehingga tiba pilihan raya seterusnya.


Dalam hal ini, kebetulan baru-baru ini ada Ahli Parlimen PN sudah mula mengeluh di dalam Parlimen sebab kekeringan wang untuk berkhidmat kepada rakyat, sehingga katanya, terpaksa mengguna wang sendiri untuk bersedekah.


Inilah masanya untuk PN datang kepada Anwar bagi memuktamadkan perjanjian keyakinan dan perbekalan atau CSA agar semua wakil rakyatnya boleh berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat di kawasan masing-masing.


Tetapi, CSA itu hanyalah berkaitan peruntukan pembangunan saja dengan imbalannya mereka harus memberi sokongan kepada semua rang undang-undang yang dibentangkan kerajaan di Parlimen.


Inilah yang dilakukan oleh Anwar selaku Ketua Pembangkang ketika era pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.


Kepada Ahli Parlimen PN yang bersungut ketiadaan wang itu, adalah diperingatkan bahawa duit untuk sedekah kepada pengundi kenalah guna duit sendiri, namanya pun sedekah…takkan kerajaan juga kena bagi?


Duit untuk sedekah tidak termasuk dalam peruntukan CSA.


Duit gaji sebagai Ahli Parlimen yang banyak itulah yang patut diguna untuk sedekah dan apa-apa belanja yang berkaitan. – ShahbudinHusin 17/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/#google_vignette



No comments: