KERJA SIA-SIA TAWAR PAS SERTAI KERAJAAN, TAPI ELOK JIKA HADI DAPAT DEDAHKAN SIAPA YANG MEMBUAT TAWARAN BERKENAAN


Semalam, Presiden Pas, Hadi Awang mendedahkan, beliau telah dihubungi beberapa kali oleh orang tertentu yang menawarkan parti itu untuk menyertai kerajaan perpaduan.


Namun demikian, Hadi jelas keberatan untuk menerima tawaran tersebut kerana menganggap ia hanya bertujuan untuk menambahkan jumlah kekuatan kerajaan semata-mata.


Katanya, dengan Pas mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar berbanding parti-parti lain, tawaran itu sepatutnya memberi lebih peranan kepada parti itu dalam kerajaan.


Dengan erti kata lain, Pas mahukan kedudukan yang istimewa iaitu barangkali selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, juga mesti diberikan jumlah lantikan menteri paling banyak sekali berbanding parti-parti lain.


Seterusnya, sudah tentu Pas juga mahukan lebih banyak lantikan dalam GLC dan agensi kerajaan.


Tidak pasti siapa yang menghubungi Hadi dan menawarkan parti itu untuk bersama dalam kerajaan, tetapi jika benar tawaran itu wujud, sudah tentu orang berkenaan ialah seseorang yang berautoriti dalam kerajaan perpaduan.


Tidak mungkin jenis pencacai kaki dan mereka yang picisan yang berbuat demikian.


Pun begitu, ingin diberitahu bahawa kerja tersebut merupakan kerja paling sia-sia dan membuang masa sekali.


Mengepam tayar keretapi pun mungkin ada juga faedahnya, sekurang-kurangnya untuk menguatkan otot tangan dan mengeluarkan peluh.


Untuk apa membuat tawaran membawa masuk Pas ke dalam kerajaan, sedangkan majoriti yang dimiliki kerajaan perpaduan sekarang sudah pun menjangkau kedudukan dua pertiga iaitu 148 sokongan Ahli-Ahli Parlimen?


Apa nilai tambah yang ada pada Pas berbanding parti-parti yang sedia ada dalam kerajaan perpaduan?


Harus disedari Pas sejak dipimpin oleh Hadi adalah parti yang berbeza berbanding ketika parti itu dipimpin Fadzil Noor atau Yusof Rawa.


Ia adalah parti yang memusuhi sesiapa saja yang berada di luar linkungannya, selain memupuk budaya walaun yang sangat menebal dan suka bermusuh dengan bukan Islam.


Dalam erti kata mudah, Pas bukan saja tidak sesuai dengan jiwa orang Islam yang sederhana, bahkan merbahaya dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti Malaysia.


Sebab itu, selain Presiden UMNO, Ahnad Zahid Hamidi menempelak Hadi agar jangan perasan untuk berada dalam kerajaan perpaduan, juga tidak difahami jika benar wujud tawaran dibuat kepada Presiden Pas itu.


Ternyata yang membuat tawaran itu tiada keyakinan diri, berjiwa kacau dan mungkin dalam hatinya sendiri terpaut ketaksuban melampau kepada Hadi sejak dulu lagi.


Dengan tertubuhnya kerajaan perpaduan ini, malah PN yang Pas berada di dalamnya sedang terpalit dengan isu sakau dan deretan kes mahkamah, parti itu sebetulnya tidak wajar sama sekali diajak bersama ke dalam kerajaan.


Membawa Pas ke dalam kerajaan perpaduan malah tidak mustahil akan menyebabkan UMNO, DAP, GPS dan GRS dan lain-lain parti mengambil tindakan keluar meninggalkan kerajaan.


Akhirnya, jenis kerajaan apa yang terbentuk di negara ini?


Yang sepatutnya dilakukan, PH bersama semua parti lain yang membentuk kerajaan sekarang ini harus memulakan gerakan yang agresif serta tersusun untuk memperjelaskan kepada rakyat bahayanya Pas dan kewajaran parti itu ditolak sama sekali, bermula dengan enam PRN akan datang ini.


Mereka menang hampir mutlak di Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu, tapi masalah air bersih pun tak mampu untuk menyelesaikannya.


Kemudian, mereka yang menguruskan syarikat air itu tak malu-malu pula menerima sagu hati RM10 ribu di ketika rakyat masih dibekalkan dengan air berwarna keruh setiap hari.


Apa kewajaran duit saguhati itu diberi dan idea apa yang mereka telah sumbangkan selama ini bagi memperbaiki mutu air bersih untuk rakyat?


Dalam hal ini, di samping hasrat Pas meminta kelebihan jika ingin mereka menyertai kerajaan adalah sesuatu yang tidak harus dilayan berdasarkan rekod ketidakmampuan mentadbir parti itu selama ini, terlebih awal daripada itu, siapa yang membuat tawaran mengajak Pas itu juga tidak harus didengari cakapnya kerana mungkin beliau adalah spesis yang mudah terpedaya dengan silaunya sinar kaca bervanding ketulenan asli cahaya mutiara.


Maka, elok benar jika Hadi dapat mendedahkan siapakah orang yang membuat tawaran kepada beliau itu agar kita sama-sama “membelasah” pula orang berkenaan. – ShahbudinHusin 28/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: