Projek bekalan air Kedah siap 10%, salah Pas Kedah
Retorik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor yang menyalahkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) sebagai punca bekalan air sering terputus di negeri itu dibidas ADUN Suka Menanti Datuk Ir Zamri Yusof.
Menurut Zamri, MB Sanusi tidak boleh menyalahkan PH kerana semua dokumen dan proses tender untuk projek naik taraf bekalan air negeri berjumlah RM1 bilion yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan telah disediakan dengan rapi pada era pentadbiran PH.
“Rakyat Kedah sedang perhatikan apa yang Sanusi buat bila dia diberikan amanah tanggungjawab untuk mentadbir Kedah dalam 3 tahun ini, khususnya dalam urusan bekalan air yang menyebabkan ramai terjejas ketika raya baru baru ini
“Kita lihat perancangan secara menyeluruh tidak ada, atau pun perkembangan terbaharu yang disediakan oleh Sanusi. Yang ada ialah beliau meneruskan pembinaan 5 loji yang telah kita sediakan segara dokumen. Kita dah buka tender, iklan pada Disember 2019 termasuk lawatan, dan tender pada Januari 2020 (sebelum kejatuhan kerajaan PH).
“Bila dia masuk pada Mei, hanya perlu melantik kontraktor dan membina. Juga kerajaan haruslah menyelesaikan beberapa urusan pengambilan tanah.
“Tetapi kita tengok selepas 3 tahun beliau berada di kerusi itu sebagai pengerusi SADA (Syarikat Air Darul Aman), kita dapat lihat perkembangan pembinaan hanyalah sekadar 10% dapat dicapai,” kata Zamri dalam satu siaran media.
Selain itu, kata mantan Exco Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air Kedah itu, urusan pengambialihan konsesi bekalan air yang melibatkan SADA juga tidak diketahui kemajuannya pada era pentadbiran Sanusi.
Katanya, urusan pengambilalihan telah diatur dengan baik sewaktu beliau menjadi Exco pada 2019 lalu.
“Ketika kita masuk 2018, konsesi itu pada tahun ke 28 dan tamat pada Julai 2020. Jadi apa yang kita buat? Sejak Julai 2019 kita telah wujudkan jawatankuasa bersama yang terdiri daripada wakil konsesi, begitu juga pihak perancang ekonomi negeri dan SADA untuk berada dalam jawatankuasa menyemak aset aset yang akan diserah selepas tamat konsesi.
“Juga menyemak status hutang, bayaran belum dikemukakan untuk kita bersedia supaya menjelang Julai 2020 penyerahan boleh berjalan lancar
“Ini telah kita lakukan semua, bila dia (Sanusi) masuk bulan Mei, bulan Julai dia hanya sambung. Apa yang ada? Cuma dia claim kononnya kita tak buat. Sedangkan dia yang tak buat, kononnya kita tidak jelas, sebenarnya dia yang tidak jelas apa yang patut dilakukan,” katanya.
Sehubungan itu, pemimpin KEADILAN Kedah tersebut mahu tahu adakah pada ketika Sanusi dapat melakukan penjimatan wang keuntungan SADA selepas konsesi bekalan air diambilalih dan beliau menunggu jawapannya.