ARIF AIMAN BERNILAI 1.4 JUTA

 

Pemain Harimau Malaya dan JDT, Arif Aiman Hanapi (kiri) naik sekali ganda dalam pasaran antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Saham pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi naik sekali ganda apabila nilai pasarannya kini diletakkan pada harga £270,000 (RM1.4 juta) berbanding £135,000 (RM728,365) pada November tahun lalu.

Nilai pasaran terbaru pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT) itu diletakkan oleh laman www.transfermarkt.co.uk pada bulan lalu dan ia menyamai nilai seorang lagi pemain Harimau Selatan, Safawi Rasid.

Tanda harga Safawi bagaimanapun mengalami penurunan berbanding nilai pasaran yang diletakkan bagi pemain berusia 25 tahun itu pada November tahun lalu iaitu £293,000 (RM1.5 juta).

Peningkatan nilai pasaran Arif Aiman sebenarnya sudah dijangka selepas dia memenangi anugerah berganda pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21), tahun lalu.

Graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu dinobatkan sebagai pemenang anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik selain muncul pemain termuda merangkul anugerah utama iaitu Pemain Paling Bernilai (MVP).

Malah, bintang muda yang baru berusia 20 tahun itu turut berjaya membantu JDT mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun ini.

Nilai pasaran pemain muda sedang meningkat naik, Faisal Halim juga menunjukkan peningkatan mendadak apabila dia kini memegang tanda harga £225,000 (RM1.2 juta).

Angka berkenaan meningkat selepas aksi positif ditampilkan pemain Terengganu FC (TFC) berusia 24 tahun itu yang mana pada November lalu, dia memiliki nilai pasaran £135,000 (RM728,365).

Seorang lagi pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin pula diletakkan pada nilai pasaran yang lebih rendah iaitu £90,000 (RM485,577), jumlah sama dengan tanda harga yang diletakkan oleh laman berkenaan pada Januari lalu.

Jumlah itu menyaksikan penurunan berbanding nilai pasaran berjumlah £135,000 (RM728,365) yang diletakkan buat penyerang yang bersama kelab Belgium, KV Kortrijk itu pada Jun tahun lalu.