Tokoh Maal Hijrah tolak fitnah musnah keharmonian
Tokoh Maal Hijrah 2019 Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah menggesa agar rakyat Malaysia tidak memusnahkan kedamaian dan keharmonian dalam kalangan umat dan negara.
Presiden Forum Memperkasakan Keamanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu membuat gesaan sedemikian agar tidak timbul kekecohan dalam dunia semasa Islam tertutama dengan tersebarnya banyak fitnah akhir zaman melalui media sosial.
“Saya menyanjung tinggi usaha mempromosi kedamaian dan keamanan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia supaya kita dapat hidup aman dalam kepelbagaian agama serta bangsa secara harmoni.
“Kita tidak sepatutnya menyebarkan berita atau maklumat yang boleh mengancam ketenteraman serta keamanan umat Islam,” katanya yang diterjemahkan ke bahasa Melayu.
Shaykh Abdallah turut mengingatkan firman Allah dalam surah Yunus ayat ke-25 bermaksud: “Allah menyeru manusia ke tempat yang aman, dan Dia memberi petunjuk kepada jalan yang benar. ”
“Sehubungan itu, kewajipan masa kini adalah kewajipan untuk memperjuangkan keamanan.
“Beberapa insiden hitam yang telah berlaku sejak kebelakangan ini, menuntut kita semua supaya bersama-sama mengembleng usaha dan tenaga demi memadamkan api peperangan yang sedang marak menyala.
“Seruan kami hanyalah satu iaitu seruan kepada keamanan dan bukannya peperangan. Seruan kepada keharmonian dan bukannya kebencian. Seruan kepada kasih sayang dan bukannya pergaduhan. Kami mencari jalan-jalan keamanan, bukannya mencari sebab-sebab pergaduhan dan peperangan jahiliah,” katanya
Terdahulu, dalam pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Shaykh Abdallah memberikan pendapat tiada lagi kafir harbi dalam konsep bernegara yang moden, sesuai dengan pengiktirafan konsep kewarganegaan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurutnya dalam konteks sekarang, perjanjian dan kontrak yang dimaterai di bawah naungan PBB adalah satu perjanjian yang diiktiraf dalam Islam di mana setiap bangsa wajib mematuhinya. Setiap manusia pada zaman sekarang adalah warganegara bagi sesebuah negara yang mempunyai undang-undang dan peraturannya.
Setiap negara pula terikat dengan perjanjian di bawah PBB. Maka istilah yang paling tepat ialah seseorang itu disandarkan kepada negara mana dia menjadi warganegara atau muwatin, bukan lagi dzimmi atau harbi.
Berhubung konsep al-Walaa’ wal Baraa’ yang dijaja oleh sesetengah ustaz pembangkang kononnya tidak boleh melantik bukan Islam sebagai menteri Shaykh Abdallah berkata, hukumnya harus melantik warganegara bukan Islam berdasarkan maslahah sesebuah negara.
Hal itu tidak asing kerana Khalifah ‘Umar bin al-Khattab sendiri telah melantik kuttab (para pegawai penulis yang setaraf menteri pada zaman sekarang) dari kalangan orang bukan Islam.
Kerajaan Abbasiyah juga melantik ramai menteri dari kalangan orang bukan Islam. Semua itu tertakluk kepada keperluan dan maslahah sesebuah negara. – RF8 Media