NGO yakin Guan Eng pulihkan ekonomi sebagaimana tadbir P Pinang
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diyakini mampu menyediakan lebih banyak bantuan dan subsidi kepada rakyat sekiranya keadaan ekonomi negara kembali stabil dalam sedikit masa lagi.
Pengerusi Sahabat Prihatin, Amirul Syahir Musa berkata, perkara itu berdasarkan rekod dan pencapaian cemerlang beliau menguruskan kewangan negeri semasa menerajui Pulau Pinang selama tempoh dua penggal lalu.
“Pada saya Belanjawan 2019 pertama Pakatan Harapan yang dibentangkan Guan Eng sangatlah efektif dan menguntungkan rakyat.
“Walaupun bentuk bantuan yang diberikan tidak banyak sebagai permulaan, namun saya percaya beliau mampu menyediakan lebih banyak skim bantuan apabila keadaan ekonomi pulih nanti.
“Ini berdasarkan pencapaian beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, tidak banyak yang mampu dilaksanakan kerana keadaan kewangan pada ketika itu tidak seberapa.
“Tetapi apabila kewangan negeri sudah stabil, pelbagai pendekatan mampu dibuat untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat melalui pelbagai skim bantuan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu mengandungi banyak langkah untuk menjamin kesejahteraan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.
“Beliau telah mengumumkan pelbagai insentif seperti subsidi minyak, Bantuan Sara Hidup kepada B40, penambahbaikan kemudahan awam, menaiktarafkan kemudahan semua jenis persekolahan dan peruntukan untuk meningkatkan syiar Islam.
“Berdasarkan rekod Guan Eng sebagai bekas Ketua Menteri Pulau Pinang juga saya percaya beliau mampu melakarkan sejarah dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
“Saya harap beliau dapat melakukan yang terbaik untuk rakyat secara keseluruhan tanpa mengira ideologi parti politik agar kestabilan dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat,” katanya.