Mat Taib bukan strategi yang baik rampas Selangor
Penyertaan semula bekas menteri besar Selangor Muhammad Muhammad Taib ke dalam Umno bukanlah satu peristiwa penting, kata penganalisis politik selepas satu sidang media khas untuk mengumumkan penyertaan semulanya ke dalam Umno oleh presiden parti itu Najib Razak.
Pengarah Merdeka Centre Ibraahim Suffian berkata tiada yang boleh diperkatakan mengenainya.
Beliau tidak pernah terfikir kembalinya Muhammad kepada Umno akan memberi peluang cerah kepada parti itu untuk memenangi kembali negeri Selangor, yang dikawal pembangkang sejak 2008.
“Umno perlu buat lebih daripada itu, lebih banyak daripada apa yang dilakukan sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.
Muhammad, 72 yang merupakan menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997. Beliau menyertai PAS pada April 2013 dua hari sebelum bermulanya pilihan raya umum ke 13.
Beliau sebelum ini dipetik sebagai berkata “PAS merupakan satu-satunya parti yang boleh membawa Malaysia ke arah Islam”. Namun beliau keluar dairpada parti Islam itu pada September 2015 dan menyertai PKR.
Kembalinya veteran itu bukanlah satu perkara yang menarik.
Pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar turut senada dengan Ibrahim, dan mengatakan kembalinya Muhammad bukanlah “sesuatu yang dinantikan”.
Beliau bersetuju bahawa kembalinya Muhammad adalah sebagai satu taktik untuk menyerang pembangkang yang menguasai Selangor.
“Pengumuman kemasukan semula bekas menteri besar Selangor, Muhamamad Muhd Taib ke dalam Umno bukanlah satu kejutan yang dinanti-nantikan. Tiada elemen yang mengujakan kerana tokoh tersebut telah hilang dari radar politik sejak sekian lama.
“Ia boleh dilihat sebagai langah taktikal bagi Umno untuk membuat serangan kepada kerajaan Selangor khususnya. Tapi kami tidak nampak impak besar yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri berkenaan,” katanya.
Sebagaimana Ibrahim, Hisomuddin percaya kembalinya veteran parti tidak cukup untuk membantu Selangor.
“Apa yang diperlukan Selangor ialah barisan kepimpinan muda dan tokoh yang mampu diketengahkan bagi mengambil alih kerajaan yang meyakinkan.
“Menggunakan tokoh politik keluar masuk parti ini juga merupakan strategi lama untuk menunjukkan kekuatan parti bagi sebelah pihak, manakala sebelah pihak lagi makin lemah,” katanya dan menambah ia juga menunjukkan pilihan raya semakin hampir.
Bagaimanapun bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia Profesor Ahmad Atory Hussain berkata kembalinya Muhammad kepada Umno mengejutkannya.
“Sebagai pemerhati politik saya agak terkejut. Muhammad sudah menjadi sebahagian daripada PH, menghadiri ceramah, forum dan pelbagai program lain yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang.
“Beliau juga memberi ucapan pada ceramah PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mengakui kembalinya Muhammad kepada Umno sebagai satu strategi untuk membantu Selangor meraih lebih banyak undi, Atory berkata pengaruh Muhammad ebagai bekas menteri besar tidak boleh dipandang remeh.
“Beliau ada pengikut yang setia – yang mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi. Semasa Muhammad menjadi menteri besar, ramai pengikutnya menjalani hidup mewah, dengan ada sebahagiannya menjadi jutawan. Jadi beliau ada pengikut yang setia dengannya.
“Kembalinya Muhammad kepada Umno akan menyebabkan ahli parti yang lama kembali menyokong Umno. Beliau juga mempunyai ramai kawan Cina dan India. Beliau mempunyai hubungan baik dengan MCA dan Gerakan,” katanya.
Atory berkata beliau tidak mengatakan Muhammad akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional di Selangor, namun Muhammad boleh menjadikan sukar untuk PH mempertahankan negeri yang terkaya di Malaysia itu.
“Saya mengatakan bahawa pengaruh Muhammad tidak boleh dipandang remeh. PH tidak boleh terlalu selesa,” katanya.
Atory juga berkata Muhammad mungkin akan menerima ganjaran dengan beberapa jawatan yang menanti.
“Siapa tahu? Mungkin mereka akan lantiknya sebagai pengerusi Umno negeri, atau berikan jawatan menteri.
“Jika tiada perkara besar berlaku, saya tidak rasa ramai yang akan berkumpul (pada sidang media) hanya untuk beliau,” tambahnya.
Dalam sidang media yang berangsung selama 20 mnit itu, Najib berkata bekas menteri besar Selangor itu akan menyertai Umno semula daripada PKR.
“Beliau menyedari perjuangan parti pembangkang, khususnya PKR adalah sia-sia,” kata Najib.
Muhammad pada sidang media itu berkata, keputusan itu dibuat setelah merasakan perjuangannya bersama pembangkang selama lima tahun adalah sia-sia.
“Saya buat keputusan ini setelah lima tahun kerana melihat keadaan di sebelah sana. Saya rasa perjuangan saya sia-sia sahaja. Dalam mesyuarat yang saya hadiri, tiada perbincangan agenda Melayu. Oleh itu, saya rasa kita tiada jalan lain kecuali parti Umno,” katanya yang turut berterima kasih kepada Najib kerana menerimanya semula.