GEORGE TOWN, 19 SEPT: Tidak sampai 24 jam, masalah banjir yang melanda Pulau Pinang berjaya diatasi hasil kerjasama agensi kerajaan negeri dan sukarelawan.
Sehubungan itu, dalam satu kenyataan ringkas di laman media sosial Facebook hari ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas yang terlibat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) dan agensi-agensi kerajaan yang lain serta semua sukarelawan yang terlibat.
“Dalam 24 jam selepas banjir peralihan monsun, keadaan di Pulau Pinang telah kembali pulih,” katanya.
Kenyataan itu turut disertakan dengan tanda pagar ILovePenang dan UntukNegeriKita.
Sementara itu, rata-rata pengguna Facebook menerusi komen yang ditinggalkan di bawah kenyataan tersebut memuji tindakan pantas yang diambil kerajaan negeri dalam mengatasi masalah banjir berkenaan.
“Terbaik CM Penang terbaik DAP terbaik HARAPAN,” kata seorang pengguna laman sosial itu dengan nama akaun James Manoharan.