Bebaskan Rakyat, Selamatkan Malaysia: Pakatan Harapan sedia lakar naratif baru melawan BN



SUNGAI BESAR, 7 JUN: DAP hari ini menegaskan bahawa hanya Pakatan Harapan sebagai gabungan parti-parti pembangkang yang utuh, mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Kecil di sini dan di Kuala Kangsar.
Setiausaha Publisitinya, Tony Pua berkata, ini kerana gabungan pembangkang itu mempunyai lebih kerusi (Parlimen dan DUN) berbanding parti atau gabungan parti pembangkang yang lain, sekaligus mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menumbangkan BN yang diterajui Datuk Seri Najib Razak.pc pakatan harapan
“Itu sebabnya adalah penting bahawa (PRK) ini merupakan satu pertarungan antara Pakatan Harapan melawan UMNO BN.
“Dan bagi rakyat tak kira UMNO atau PAS, atau rakyat yang sebelum ini sudah menentang BN, kita perlu bersama-sama berikan undi kepada Pakatan Harapan untuk (kita dapat) mencapai matlamat (itu),” katanya dalam sidang media Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah), di sini, semalam.
Selain Tony, turut hadir adalah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Ahli Jawatankuasa Amanah, Dr. Dzulkefly Ahmad.
 pc pakatanharapan2
Dalam sidang media yang sama, Dr. Dzulkefly mengumumkan slogan Pakatan Harapan sebagai “Bebaskan Rakyat, Selamatkan Malaysia”.
Slogan itu dipilih berdasarkan senario politik dan sosio-ekonomi semasa yang kian meruncing, antaranya skandal kewangan melibatkan 1MDB, kos sara hidup yang tinggi, konflik perkauman dan perbalahan agama, dan institusi-insitusi penting yang hilang wibawa.
“Pilihanraya Kecil ini merupakan pertarungan terakhir sebelum ‘perang besar’ PRU ke-14 akan datang,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa kemenangan buat Pakatan Harapan di kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan akan memberikan mesej yang jelas bahawa pakatan pembangkang bersedia untuk menumbangkan UMNO-BN pada Pilihanraya Umum akan datang.
“Sebaliknya kekalahan kepada Pakatan Harapan akan membawa maksud dan persepsi bahawa pentadbiran Najib dan segala dasar-dasar buruknya seolab-olah dipersetujui rakyat,” tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Izzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, PKR sebagai sebuah parti komponen Pakatan Harapan menyokong penuh calon Amanah seperti yang telah dipersetujui.
Malah, katanya, sokongan itu jelas dengan kehadiran Menteri Besar Selangor yang juga Naib Pengerusi PKR, Azmin Ali pada penamaan calon Pakatan Harapan Sungai Besar, semalam.
“Dalam tema kita iaitu “Bebaskan rakyat, Selamatkan Malaysia” harus diingat, komitmen yang ditunjukkan Pakatan Harapan akan jadi pemangkin kepada kebolehan kita (Pakatan Harapan) melakar sebuah naratif melawan UMNO-Barisan Nasional,” katanya.

Bukan soal cabar PASpc pakatanharapan1

Selain itu, Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, setiap komponen parti dalam Pakatan Harapan akan melakukan sidang media bersama bagi memberikan gambaran yang jelas terhadap keutuhan kerjasama antara parti dalam pakatan berkenaan kepada rakyat.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Amanah seolah-olah mencabar PAS apabila meletakkan calon di kedua-dua kawasan yang dipertandingkan, Khalid menafikan perkara tersebut dan menyifatkan ia hanya dalam ‘minda’ PAS sahaja.
“Kita lawan Barisan Nasional untuk kita kejutkan rakyat bahawa Pakatan Harapan ingin membawa perubahan terhadap negara,” tegasnya.
Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong setelah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, meninggal dunia dalam tragedi malang nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu yang turut melibatkan lima lagi individu, termasuk Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.
Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar di Perak juga akan diadakan pada tarikh yang sama, iaitu 18 Jun. – Roketkini.com

No comments: