Rombongan Ke LIMA Langkawi Bersama "Bakal Perdana Menteri"



Kajian oleh Merdeka Center dengan kerjasama Malaysian Insider baru-baru ini yang mendapati Hishammuddin Hussein sebagai "Perdana Menteri masa depan" yang paling dikehendaki benar-benar membuatkan Naib Presiden UMNO nombor tiga itu berbunga-bunga hatinya.

Walaupun beliau cuba menafikan kajian itu dapat merangsang keghairahannya, malah menganggapnya sebagai percubaan melaga-lagakannya dengan Perdana Menteri, hakikat yang ditunjukkannya adalah sebaliknya.

Beliau kini nampaknya bersungguh-sungguh mahu memastikan kerusi Perdana Menteri dan kediaman di Seri Perdana itu tidak terlepas ke tangan orang lain.

Langkah awal yang diambilnya ialah mengembalikan semula Akbar Khan atau AK kembali berkhidmat dengannya bagi mengetuai jentera politiknya. 

AK sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Libaran, Sabah dan kemudian sebagai Setiausaha Politik Hishammuddin ketika di Kementerian Pendidikan. Semua gerakan politik Hishammudin ketika itu diatur dan digerakkan oleh AK.

Selepas AK meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik, tempatnya digantikan oleh Markiman Kobiran selama beberapa tahun dan kini jawatan itu diisi anak saudara Hishammuddin, Onn Hafiz yang juga Exco Pemuda UMNO serta Ketua Pemuda Sembrong.

Sebaik berhenti berkhidmat dengan Hishammuddin, AK kembali menumpukan kepada perniagaan dan urusan peribadinya. Kini AK diambil semula bukan saja untuk mengembalikan prestasi Hishammuddin yang merudum dalam pemilihan 2013 lalu, tetapi juga untuk memastikan gapaian  kerusi Perdana Menteri yang diidamkan tidak terlepas begitu saja.

Dengan AK berkhidmat semula mengetuai jentera politiknya, tidak diragui lagi ia adalah langkah untuk Hishammuddin terus melonjak ke hadapan kerana AK memang dikenali mempunyai ciri-ciri terbaik bagi tujuan itu.

Hishammuddin juga,  melalui AK,  dalam masa yang sama mulai mengumpulkan rakan-rakan lamanya yang pernah menjadi Exco dan Ketua Pemuda bahagian-bahagian untuk terus berdampingan dengannya.

Dalam satu program UMNO Melaka baru-baru ini, sebahagian mereka dijemput hadir bersama mengiringi Hishammuddin ke negeri itu. Ini adalah sebagai persediaan awal "menjaga" mereka, selain untuk menunjukkan kekuatan sokongan yang dimilikinya.

Sementara itu, dalam Pameran Maritim dan Udara Langkawi atau LIMA 2015 yang bermula pada 17 hingga 22 Mac ini, dipercayai lebih ramai pemimpin UMNO dari seluruh negara akan diterbangkan ke pulau tersebut. Pameran LIMA adalah anjuran Kementerian Pertahanan di mana Hishammuddin adalah menterinya ketika ini.

Mereka dibawa menyaksikan pameran dua tahun sekali itu  untuk berjalan-jalan dan makan angin serta dengan harapan dapat memastikan sokongan yang diperlukan oleh Hishammuddin bagi perjalanan politik masa depannya terus bertambah.

Majoriti yang dibawa ke Langkawi ini adalah bekas ketua-ketua Pemuda bahagian yang mana mereka itu kini memegang pelbagai jawatan penting di peringkat bahagian dan juga negeri.

Berbanding ketika Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan yang turut membawa ramai pemimpin UMNO seluruh negara ke Pameran LIMA, persiapan yang dilakukan oleh Hishammudin dalam melayan pemimpin-pemimpin bahagian ini jauh lebih teratur dan "first class" sifatnya.

Tidak seperti Zahid yang hanya menyediakan penerbangan dari Subang ke Langkawi untuk tujuan itu, Hishammuddin sebaliknya dikatakan menyediakan penerbangan daripada beberapa negeri terus ke Langkawi untuk pemimpin-pemimpin peringkat bahagian tersebut.

Untuk itu, adalah dipercayai juga kehadiran pemimpin UMNO dari seluruh negara di Langkawi untuk menyaksikan pameran LIMA kali ini turut lebih besar jumlahnya berikutan kemudahan penerbangan lebih menyeluruh yang disediakan oleh jentera politik Hishammuddin yang diketuai oleh AK.

Sebagaimana Hishammuddin yang sedang berbunga-bunga hatinya kerana dianggap lebih menjadi pilihan untuk menjadi Perdana Menteri berbanding pesaingnya yang lain dan sedang berusaha ke arah itu, pemimpin-pemimpin peringkat bahagian yang dibawa bak "rombongan cik kiah"  ini tentulah juga hadir dengan hati yang mekar untuk melihat anak Hussein Onn itu dapat menurut jejak sepupunya, Najib Razak sebagai anak bekas Perdana Menteri yang turut berjaya mendaki sehingga ke puncak Seri Perdana. (SH 16/03/2015)