Menukar kerajaan itu bukan jenayah — Aspan Alias

April 04, 2013
4 APRIL — Sekarang kita benar-benar berada dalam minggu-minggu pilihanraya yang ditunggu begitu lama. Pengumuman pilihanraya oleh Perdana Menteri menjadi isu hangat di merata tempat. Di mana-mana sahaja orang ramai bercakap tentang pilihanraya dan masing-masing mempunyai andaian dan telahan masing-masing tentang keputusannya. Apa pun tidak berapa minggu sahaja lagi rakyat akan melakukan tanggungjawab besar iaitu untuk memberikan mandat untuk mentadbir negara dan rakyat seperti yang di peruntukan oleh perlembagaan negara kita.
Rakyat adalah “boss” kepada pimpinan dan mereka boleh melakukan apa sahaja mengikut selera dan cita rasa masing-masing. Rakyat mesti bertanggungjawab untuk memberikan “verdict” yang tepat terhadap pemimpin dan kepimpinan masing-masing. Perdana Menteri telah meminta agar peralihan kuasa jika ia terjadi, dilakukan dengan aman dan tertib dan inilah kenyataan yang pertama kali saya dengar sebagai kenyataan yang “magnanimous” dari Najib Razak sejak akhir-akhir ini.
Walau bagaimanapun yang penting semua pihak mesti akui yang pihak pembangkang sekarang ini tidak akan melakukan kerja yang tidak baik kerana mereka adalah pihak yang telah mengalami kekalahan di setiap pilihanraya dan tidak pernah pula mereka melakukan kerja-kerja yang tidak baik terhadap sesiapa setiap kali tewas dalam pilihanraya.
Kita mesti akui yang dalam demokrasi sifat “gentleman” itu adalah asas kepada sistem itu. Kita mesti tengok contoh yang berlaku kepada Britain dalam pilihanraya umumnya dua tahun yang lalu. Setelah parti pemerintah, Parti Buruhnya telah di tewaskan oleh parti Conservative dan Liberal Demokrat peralihan kuasa berlaku secara aman dalam tempuh enam jam sahaja.
Walaupun Gordon Brown dan partinya merupakan parti yang terbanyak kerusi tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Sebagai parti yang terbesar jumlah kerusi yang dimenanginya, parti itu di berikan keistimewaan untuk menubuhkan kerajaan. Itulah sistem yang di pakai di mana parti yang terbesar dalam Dewan Legislatif itu di tawarkan untuk menubuhkan kerajaan. Tetapi Parti Buruh tidak berdaya untuk menubuhkan kerajaan kerana kekurangan jumlah kerusi maka Parti Conservative dan Liberal Demokrat telah bersatu untuk menubuhkan kerajaan.

Ketua Parti Conservative David Cameroon telah menjadi Perdana Menteri dan Ketua Parti Liberal Demorat, Clegg menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tetapi yang penting untuk kita jadikan contoh, peralihan kuasa telah berlaku dalam tempoh enam jam sahaja. Gordon Brown telah menghubungi David Cameroon dan mengucapkan tahniah diatas kejayaan parti itu membentuk kerajaan campuran itu dan itu adalah etika kepimpinan yang perlu di contohi oleh pimpinan BN jika tertewas dalam pilihanraya kali ini.

Saya menyebut isu ini kerana kecenderungan untuk parti pemerintah tewas dalam pilihanraya ini cerah tetapi yang maha penentu adalah Allah SWT jua. Jika berlaku peralihan kuasa, ini adalah kali pertama berlaku di negara kita. Itulah sebabnya elok kita mencari contoh yang baik bagi melakukan peralihan kuasa ini. Bagi saya peralihan kuasa di Britain dua tahun lalu adalah contoh yang paling baru yang ada dalam ingatan saya.


Kita bukannya Uganda semasa pemerintahan Iddi Amin dahulu. Pemimpin kita semuanya berpelajaran tinggi dan diharapkan pelajaran tinggi mereka itu akan membawa kita kepada kepimpinan yang beretika dan bermoral.

Kita akan melakukan kehendak demokrasi dalam beberapa minggu sahaja lagi dan kita tunjukkanlah kepada dunia yang kita juga sudah menghampiri tahap kepimpinan negara maju….yang mengambil alih kuasa itu secara demokrasiyang halus dan menyerahkan kuasa itu pun melakukan penyerahan itu secara halus dan beradap juga.

Bukankah itu budaya dan cara hidup masyarakat timur kita? — aspanaliasnet.blogspot.com