Hadi : Umno Perlu Muhasabah Diri Sebelum Pelawa PAS




KUALA LUMPUR 1 MEI : Pas hari ini menggesa Perdana Menteri Najib Razak berhenti bermain politik dan menunjukkan iltizamnya untuk melaksanakan ajaran Islam serta menegakkan kebenaran serta keadilan untuk semua kaum di negara ini.

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, mengapa mereka tidak laksanakan (kerana) kuasa sudah ada di tangan mereka," kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Semalam Najib sekali lagi mengulangi seruannya supaya PAS bekerjasama dengan Umno BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat yang turut diterajui oleh PKR dan DAP.

Najib mendakwa kerjasama itu hanya menguntungkan DAP dan justeru mahukan pemimpin PAS bekerjasama dengan Umno jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Kenyataan berbaur perkauman itu sekali lagi ditolak oleh Hadi yang menegaskan penyertaan PAS dalam PR adalah atas prinsip menegakkan keadilan untuk semua kaum, sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

“Pas mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” tegasnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Kerjasama Pas selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip.

Hadi menegaskan kerjasama itu berlainkan dengan hubungan wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam sejak puluhan tahun.

“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90 peratus adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang dalam kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?

“Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?” soalnya.

Jawapannya, kata beliau, adalah kerajaan pimpinan Umno- BN. Justeru parti itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.

Hadi berkata seruan Najib itu adalah aneh, kerana Pas tidak boleh bekerjasama dengan Umno-BN untuk terus melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah membawa bencana kepada negara.

Katanya, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.