Saya yakin kemampuan Saifuddin, kata Anwar

Saya yakin kemampuan Saifuddin, kata Anwar

Monday, 11 January 2010 11:23 AM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Salehuddin Hashim atas jasa-jasa beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung parti itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh (MP) itu juga berkata, segala jasa dan bakti Salehudin tidak akan dilupakan oleh parti kerana sahabat beliau itu telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang enam tahun ketika memegang jawatan tersebut.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut mengucapkan tahniah kepada MP Machang, Saifuddin Nasution Ismail yang dilantik ke jawatan itu, sambil mengakui bahawa peranan setiausaha agung itu sangat berat.

“Tugas yang digalas saudara Saifudin bukanlah mudah kerana beliau juga harus menumpukan perhatian serta membahagikan masa sebagai Ahli Parlimen. Insya Allah beliau akan melaksanakan amanah ini sebaik mungkin,” tulis Anwar melalui blognya.

Terdahulu, presiden parti itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam suatu kenyataannya, berkata, beliau berasa berat hati berikutan keputusan Salehudin yang meletak jawatan berkuatkuasa 31 Januari depan.

Salehudin menyandang jawatan itu sejak Mac 2008, menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

“Memandangkan masa peralihan yang pendek serta tugas-tugas penting yang perlu dijalankan dengan segera, saya telah melantik Saifuddin Nasution Ismail, sebagai Setiausaha Agung baru dan pelantikannya diterima oleh Majlis Pimpinan Pusat,” tambah Anwar lagi.

Saifuddin yang baru menyambut hari lahirnya pada 7 Disember tahun lalu pernah mencetuskan fenomena pada 29 November 2000 apabila beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Lunas di Kedah, seterusnya memberikan trauma kepada BN yang kehilangan majoriti 2/3 buat pertama kali di negeri itu.

Dalam pilihan raya tersebut, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, bahawa beliau enggan meninggalkan Lunas jika parti itu kalah di kawasan tersebut.

No comments: