Lebih 500 Sertai pertandingan Blog Kreatif




SHAH ALAM, 30 DIS: Pertandingan Blog Kreatif 'Selangor Idamanku' mendapat sambutan baik dari dalam dan luar Selangor yang melihat pertandingan ini sebagai usaha menyebarluaskan informasi berteraskan platform maya yang semakin mendapat tempat masa kini.

Bagi pelajar Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, Arivalagan a/l Raja Manickam, 21, yang ditemui berkata, kandungan blog yang dibuat lebih menumpukan kepada pembangunan Selangor dari segi pelancongan dan sebagainya.

Beliau yang menjuarai kategori pelajar institusi pengajian tinggi dengan capaian web Selangorku11.blogspot.com melihat Selangor sebagai negeri yang membangun dan bakal lebih maju pada masa akan datang.

"Bagi saya, saya mendapat banyak pengalaman mencari informasi berkaitan Selangor. Saya bukan orang Selangor, tapi dengan pertandingan ini saya boleh lihat apa yang dilakukan di Selangor. Ini cara terbaik untuk mengenali Selangor," katanya.

Penyertaan saat akhir pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Ikhtiaruddn Md Yasim, 23, tidak menjadi halangan untuk beliau mengungguli kategori Umum dengan capaian web www.myselangor.com.

Secara peribadi beliau melihat Selangor berada dalam keadaan baik ditambah dengan sikap prihatin kerajaan negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat

"Saya menyertai pertandingan ini dua hari sebelum tarikh tutup. Saya bukan orang Selangor tapi sedikit sebanyak saya mengetahui mengenai Selangor seperti pelancongan Selangor, sejarah, kerajaan negeri dan sebagainya.

"Dari segi kandungan blog, saya meletakkan sejarah Selangor, segala program yang berkaitan rakyat yang dibuat di Selangor," katanya.

"Saya tinggal di Selangor sejak tahun 2006 dan banyak perbezaan yang saya lihat. Misalnya dari segi bil air memang saya tidak bayar. Dari segi kebajikan, Alhamdulillah kebajikan rakyat agak terjamin," katanya.

Dengan tema ‘Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan', pertandingan ini turut melibatkan kerjasama penuh Fakulti Industri Teknologi Maklumat, Universiti Industri Selangor (Unisel) mendapat penyertaan ramai peserta namun jumlah peserta terpaksa ditapis untuk 500 orang peserta sahaja.

 Pertandingan ini terdiri daripada tiga kategori iaitu pelajar sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi dan umum. Jumlah keluruhan hadiah berjumlah RM16, 300 dan hadiah iringan.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata pertandingan ini bakal diteruskan pada tahun hadapan memandangkan sambutan menggalakan yang diterima.

Beliau mengakui, golongan muda merupakan penggerak utama dalam pembangunan teknologi masa kini memandangkan lebih ramai berminat kepada maklumat segera dan pantas.

"Selangor agak unik ditambah sebagai nadi malaysia. Penduduk yang tinggal di sini rata-rata dari dalam dan luar Selangor. Banyak IPT di Selangor sebab sudah menjadi hub ilmu. Saya tidak hairan kalau orang lain lebih berminat," katanya.

No comments: