'Kita akan menang kerana kita bersatu'


Pelancaran PH Kelantan mengibar Jalur Gemilang
Pakatan Harapan (PH) akan menempa kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 kerana semua parti di dalamnya menunjukkan semangat untuk bersatu, kata Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kita akan menang kerana kita bersatu," katanya ketika merasmikan pelancaran PH negeri Kelantan di Machang semalam.
Kata-kata  'bersatu kita teguh bercerai kita roboh' katanya telah disebut sejak lama oleh rakyat negara ini dan yakin kini sedang diperkukuhkan dalam agenda PH.
"Kita semua berjuang untuk seluruh rakyat dan bukannya melakukan kerja untuk parti masing-masing.
"Memang kita datang dari pelbagai latar belakang, fahaman dan ideologi serta kaedah dan cara kerja tersendiri.
"Tetapi kali ini kita bersama untuk mencapai niat dan sasaran sama untuk menjatuhkan kerajaan (Datuk Seri) Najib dan penyokongnya," katanya.
Pelancaran PH Kelantan Sambutan hebat dari semua parti Pakatan harapan
Rakyat katanya, kini jelas bahawa individu yang sedang merosakkan negara ini ialah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Hanya mereka yang disumbat dedak oleh Najib saja yang tidak akan bersama kita menyelamatkan negara," katanya.
Kaedah pemerintahan Umno dan BN di bawah perdana menteri sekarang menurut beliau adalah melalui cara sogokan.
"Dalam mesyuarat Umno sekarang semua diam dan hanya angguk dan langsung tak ada suara.
"Untuk berkata "ya" pun tak boleh takut terkeluar dedak yang disumbat penuh mulut." katanya.
Dalam PH beliau tidak mahu tradisi angguk ini menjadi amalan parti-parti yang menganggotainya.
"Kita bebas bersuara dan amalkan demokrasi.
"Percayalah bila kita menang dan menubuhkan kerajaan, rakyat bebas bersuara seperti yang dikehendaki oleh lunas-lunas demokrasi," katanya.
Menurut Pengerusi Bersatu itu juga, bagi memastikan kemenagan dapat dicapai semua parti hendaklah melupakan sementara kepentingan masing-masing dan memberi tumpuan kepada agenda besar bersama.
Pelancaran PH Kelantan Tun Mahathir Mohamad
"Tugas terpenting semua kita sekarang ialah menjatuhkan parti lawan, Barisan Nasional (BN) dan sekutunya.
"Semua mesti bersama rakyat menjatuhkan kerajaan kleptokrasi yang ada sekarang," katanya.
Beliau mahu rakyat disedarkan supaya tidak takut untuk menjatuhkan kerajaan melalui kaedah demokrasi.
"Ini negara kita semua dan bukannya negara Najib seorang.
"Kerajaan kleptokrasi memang mahu rakyat dipaksa tunduk tanpa soal kepada pemerintah.
"Kita mahu cara ini dihentikan dan demokrasi yang memberi hak kepada semua rakyat bersuara dikembalikan semula," katanya.
Beliau tiba di tapak pelancaran PH Kelantan sekitar jam 11 pagi disambut meriah dengan bacaan selawat, laungan takbir dan "hidup Tun"
Turut berucap di majlis itu Penasihat PH Kelantan, Datuk Husam Musa, Ketua Wanita PH Nasional, Zuraida Kamaruddin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.


'Tugas pengarah pilihan raya bukan berunding dengan musuh'


Zanirun Baba tengah dalam sidang media di ibu negara malam tadi
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) mengingatkan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Datuk Seri Azmin Ali bahawa peranannya bukan berbincang dengan Pas.
Jurucakap GAH, Zanirun Baba berkata, Menteri Besar Selangor berkenaan juga gagal mengumumkan Sekretariat Pakatan Harapan di negeri dikuasai blok pembangkang sejak 2008 itu.
"GAH ingin menyatakan kepada Azmin bahawa tugas Pengarah Pilihan Raya bukannya seorang perunding (negotiator) dengan musuh politik.
"Bukan sahaja Azmin gagal membentuk sekretariat PH (Pakatan Harapan) di negerinya (Selangor), malah dia juga gagal menguruskan jentera pilihan raya PH dengan baik pada saat ini," tegas kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Turut disokong bersama Othman Ismail, Annuar Ismail dan Mohd Saad Ismail, mereka mendakwa wujud percaturan jawatan pimpinan Pakatan Harapan di beberapa negeri.
"GAH menyedari beberapa jawatan-jawatan PH kini sedang dicatur di beberapa negeri. Mereka cuba menempatkan dirinya seolah-olah wujud peranan penting sungguhpun selama ini merekalah yang tidak mempedulikan kewujudan PH.
"Hakikatnya penglibatan mereka di dalam program bersama komponen parti PH sangat minima dan mendukacitakan," kata kenyataan itu lagi.
GAH turut menyokong keputusan Ahli Parlimen Selayang, William Leong melepaskan jawatan dalam Biro Politik PKR kerana menolak keputusan partinya meneruskan perbincangan kerjasama dengan Pas.
"GAH bersama-sama William dalam perkara ini malah memandang bahawa Azmin Ali dan beberapa kerat kelompoknya gagal berfungsi sebagai seorang Pengarah Pilihan Raya yang baik," ujarnya.
Pada 23 Ogos lalu, William juga memberitahu kepada PKR untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang tetapi kekal sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kerana telah dipilih oleh perwakilan.
Mengulas pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), GAH menyifatkan hal itu sebagai pilihan terbaik bagi Pakatan Harapan tetapi realitinya pada masa ini Pas tidak dilihat sebagai menentang keangkuhan Umno-BN.
"PH tidak punya opsyen lain, melainkan bergerak terus melawan BN dan mereka yang membantu BN seperti PAS dan Kartel," ujarnya.
Sehubungan itu, GAH menasihatkan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR supaya sedar bahawa Pakatan Harapan telah wujud sebagai sebuah keluarga besar dan mengukuhkan sokongan.
"Dia (Azmin) mahu atau tidak, harus menerima kondisi sekarang, jika tidak kelompoknya akan dilabel sebagai entiti yang tidak punyai maruah kerana masih mahu bersenggama dengan bekas pasangan selepas bercerai," bidas GAH.
Kumpulan pendesak itu turut mengulangi pendirian sebelum ini bahawa kelompok Azmin sangat tidak membantu Pakatan Harapan sebaliknya akan merosakkan gabungan AMANAH, Bersatu, DAP dan PKR itu dari dalam.
"Oleh itu, PH harus menimbangkan secara serius untuk menjarakkan diri daripada kelompok kartel memandangkan pendekatan mereka akan merugikan PH," tambah mereka lagi.
Kukuhkan Pakatan Harapan 
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Anti Kartel Movement (PAKM) juga bernada sama menuntut supaya rundingan dengan Pas dihentikan sebaliknya memberi tumpuan untuk mengukuhkan Pakatan Harapan.
Penyelaras PAKM, Syed Shafie Abdul Rahman menyifatkan Pas menjadi semakin angkuh apabila usaha memujuk parti dikepalai Hadi Awang itu sejak kira-kira dua tahun lalu langsung tidak menunjukkan hasil positif.
"Bukan sahaja semakin angkuh, bahkan Pas lebih kelihatan terjurus bersama Umno dalam satu pakatan sulit untuk pastikan PH tersungkur dalam PRU-14.
"Ternyata rekod-rekod Pas pada masa silam termasuk tatkala bersama PR (Pakatan Rakyat), Pas adalah rakan politik berisiko tinggi," bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, PAKM katanya, secara tegas menyeru kartel Azmin khususnya dan PKR amnya agar segera menamatkan rundingan dengan Pas.
"Jika masih berdegil, lebih elok untuk PKR sertai sahaja blok ketiga yang dpimpin Pas. Terus bersikap sebagaimana sekarang hanya mengundang padah kepada PH. Tolak musuh dalam selimut," tambah Shafie lagi.

‘TERUS RUNDING DENGAN PAS, PH HARUS JARAK DIRI DARI PUAK KARTEL’

ANGIN PERUBAHAN MULA LANDA TERENGGANU

Kit Siang mahu tiga lagi siasatan, alang-alang BN gigih tubuhkan RCI



MACHANG, 26 OGOS: Bersempena musim penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), DAP hari ni mengesa agar ditubuhkan tiga lagi RCI.
Tiga RCI tersebut termasuklah bagi meneliti khabar angin yang mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa bagi melindungi dirinya daripada skandal membabitkan syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang membuat desakan itu dengan merujuk kepada peristiwa pemecatan Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara dan digantikan dengan Tan Sri Mohamad Apandi Ali ketika ada cakap-cakap bahawa Gani akan mendakwa Najib.
Apandi, sejurus lantikan itu, bertindak membebaskan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB dan mendakwa RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi pemimpin itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.
“RCI adalah alat yang berguna untuk menggali kebenaran mengenai sesuatu isu sambil mengalakkan sikap telus, kebertanggungjawaban dan pentadbiran yang baik,” ujar Kit Siang dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, kerajaan Persekutuan juga harus dengan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal melibatkan 1MDB, serta menyiasat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta anak syarikatnya Felda Global Ventures Berhad (FGV).
“Jika Najib tidak bersedia membentuk RCI terhadap tiga isu penting ini, rakyat akan melihat dia menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dengan menubuhkan RCI terhadap isu lapuk yang sudahpun menjadi sejarah demi kepentingan politik,” ujarnya.
Kerajaan UMNO baru-baru ini dilaporkan bersedia untuk mempertimbangkan penubuhan RCI bagi meneliti semula peristiwa berdarah Memali di Kedah pada 1985 yang telah meragut 18 nyawa termasuk empat daripadanya anggota polis.
PAS yang dilihat sejak akhir-akhir ini intim dengan UMNO turut mendesak agar kejadian lebih dua dekad itu disiasat semula walaupun Kertas Putih yang dibentang di Parlimen sebelum ini mendapati tragedi itu berlaku disebabkan oleh ‘Amanat Haji Hadi’.
‘Amanat Haji Hadi’ merujuk kepada pidato Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong pada 1981 yang antara lain menggelar UMNO sebagai kerajaan kafir dan menyentuh mengenai kepentingan jihad.
Pengkritik bagaimanapun melihat tindakan itu sebagai usaha terdesak Najib untuk menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengepalai Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menumbangkan kerajaan kleptokrasi UMNO pada pilihan raya umum akan datang. – Roketkini.com

Rahman Dahlan tidak akan boleh buli rakyat Pulau Pinang



GEORGE TOWN, 26 OGOS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) menyelar kenyataan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mahu membuli rakyat negeri itu dengan pelbagai ugutan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seperti dilaporkan media mengugut rakyat Pulau Pinang kononnya negeri itu bakal kehilangan status peneraju sektor kewangan, pelaburan dan industri jika tetap memilih HARAPAN dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun Ketua Menteri, Lim Guan Eng melihat ucapan Rahman sebagai pengakuan secara tidak langsung terhadap kejayaan HARAPAN memulihkan Pulau Pinang sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.
“Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan pelaburan yang kukuh sebanyak 73 peratus dalam sektor pembuatan dalam tempoh sembilan tahun antara 2008 dan 2016 dengan jumlah RM59 bilion berbanding tempoh sembilan tahun antara 1999 hingga 2007.
“Malah, peluang pekerjaan baru meningkat sebanyak 15 peratus dengan pertambahan 139,133 pekerjaan baru bagi tempoh 2008-2016 berbanding tempoh yang sama antara 1999-2007 dengan 121,511 pekerjaan baru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Setiausaha Agung DAP itu turut menyelar Rahman yang melakukan serangan peribadi terhadapnya dengan mempolitikkan isu pelantikannya sebagai pengerusi beberapa agensi negeri seperti PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
“Ini adalah serangan tipikal bersifat dwi-standard BN sedangkan kerajaan negeri BN sebelum ini telah menggubal undang-undang bahawa agensi-agensi negeri berkenaan akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri.
“Kenapa Menteri Besar BN boleh mempengerusikan agensi negeri mereka, tetapi di Pulau Pinang tidak boleh?
“Lim Guan Eng tidak akan dibuli untuk menjadi ketua menteri UMNO, tetapi akan berani berdepan dengan BN sebagai Ketua Menteri rakyat,” tegasnya.

AKAR UMBI PKR KELANTAN MAHU PUTUS DENGAN PAS

PAS MESTI DIBUANG SEGERA DARIPADA KERAJAAN NEGERI SELANGOR




Semalam ,Pas Selangor mengumumkan untuk bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu. 

Selain itu, Pas juga nampaknya sudah tidak berganjak lagi untuk benar-benar memastikan berlakunya pertandingan tiga penjuru.

Dalam masa yang sama, Pas juga terlihat amat ghairah untuk turut serta bertanding di Parlimen Gombak, DUN Bukit Antarabangsa dan DUN Kajang.

Gombak dan Bukit Antarabangsa adalah kawasan yang diwakili oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, manakala Kajang pula diwakili oleh Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Kenapa Pas, selain beria-ia untuk berlawan tiga penjuru di Selangor, mereka hanya bersungguh-sungguh di kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat Pakatan Harapan saja?

Kenapa tidak pernah kita dengar Pas menunjukkan kesungguhan yang sama di kawasan yang sedia diwakili oleh UMNO?

Pernahkah kita dengar Pas mahu merampas Parlimen Tanjung Karang yang diwakili oleh Noh Omar?

Semua ini dengan sendirinya mengesahkan Pas dan UMNO memang bekerjasama untuk menghadapi pilihanraya akan datang, meskipun ketika ini mereka sedang "makan setalam" dengan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor.
Apakah jenis politik Pas ini, di ketika berkeras tak mahu keluar daripada jawatan bergaji lumayan dalam kerajaan Selangor, tetapi dalam masa yang sama berpakat dengan UMNO untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan?

Pendedahkan oleh akhbar Singapura mengenai perkara itu di mana Hadi Awang dan Najib Razak dikatakan berhubung hampir setiap hari dengan Najib Razak dan sedang merangka kerjasama untuk menawan Selangor,  tidak sukar diterima kebenarannya.

Kecondongan politik dan arah tuju Pas memang jelas ke arah itu, walaupun wajah politik Najib adalah yang terburuk berbanding semua Perdana Menteri yang kita ada sebelum ini.

Pas nyata tidak peduli semua itu. Mereka bukan mahu menang pilihanraya, sebaliknya hanya ingin membantu UMNO dan Najib mencapai cita-citanya.

Akhirnya, apa mesti Pakatan Harapan lakukan kepada Pas?

Pertama, lupakan Pas dan tidak harus buat sebarang rundingan lagi dengan mereka. Jangan buang masa, sebaliknya tumpukan kepada usaha mengukuhkan lagi Pakatan Harapan dan memberi penerangan mengenai isu-isu lebih besar yang berlaku dalam negara.

Jangan percaya lagi dengan mana-mana pemimpin Pas yang kononnya bersimpati dan tetap bersama perjuangan Pakatan Harapan. Pas sekarang sudah pandai "main wayang" dan hanya mahu membuatkan mereka leka.
Pemimpin Pas sebenarnya  tetap wala' kepada Hadi dan Pas. Jika benar ada antara pemimpinnya mengaku bersama dengan perjuangan Pakatan Harapan, mereka mesti berani keluar dan meninggalkan Pas. Hanya itu pilihan bagi mereka.

Kedua, Pakatan Harapan mesti buang semua Exco dan pemimpin Pas yang ada jawatan lain dalam kerajaan Selangor dengan segera. Mereka kini adalah "duri dalam daging"  kepada Pakatan Harapan.

Masa untuk bersimpati sudah berakhir. Tauke Pas kini adalah UMNO dan Najib yang bertaraf bilionaire serta boleh menjanjikan syurga dengan lebih segera kepada mereka. (ShahbudinHusin 25/08/2017)

KERJASAMA PRU 14: ZURAIDA, PAS BUKANNYA BODOH


MUKTAMADKAN RUNDINGAN DENGAN PAS, PRU HAMPIR – RAFIZI

PRESIDEN PAS PERLU PERJELAS LAPORAN STRAITS TIMES MENGENAI KERJASAMA DENGAN UMNO RAMPAS SELANGOR, PERBEZAAN PENDAPAT DALAM KEADILAN PERLU DISELESAIKAN SECARA MUKTAMAD

Rafizi Ramli

Saya merujuk kepada laporan Shanon Teoh (Ketua Biro akhbar Straits Times di Kuala Lumpur) yang disiarkan hari ini bertajuk “Umno, PAS plan assault on Selangor, woo former chief minister
Laporan itu dengan secara jelas menyatakan perkara-perkara berikut:
1. Bahawa Dato’ Seri Hadi Awang, Presiden PAS berhubung dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri “hampir setiap hari sejak beberapa bulan” mengenai rancangan kerjasama PAS-Umno untuk merampas negeri Selangor
2. Bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim, mantan Menteri Besar Selangor disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar yang ingin diangkat melalui kerjasama ini dan telah dilihat mengunjungi pejabat Dato’ Seri Najib beberapa kali
3. Dato’ Seri Najib kerap bercakap dengan Dato’ Seri Hadi melalui telefon termasuk semasa Dato’ Seri Hadi sedang berehat selepas menjalani rawatan pembedahan dalam bulan Mei lalu
4. Satu dari perancangan ialah supaya PAS bertanding 42 kerusi untuk memastikan undi Melayu kepada Pakatan Harapan berkurangan
Ini adalah satu laporan yang membawa tuduhan berat kepada kredibiliti PAS dan Dato’ Seri Hadi sendiri. Saya faham bagaimana wartawan kanan seperti Shanon begitu teliti dengan etika kewartawanan dan hanya akan menulis laporan sebegini selepas bercakap dengan sumber-sumber sahih yang dekat dengan kedua-dua pimpinan PAS dan Umno itu.
Oleh yang demikian, saya meminta supaya Dato’ Seri Hadi membuat penjelasan segera mengenai laporan ini kerana ia ada kesan besar kepada negara dan juga mempengaruhi perkembangan politik dalaman di peringkat KEADILAN dan PH. Jika laporan ini tidak benar, maka samanlah Straits Times sepantas kilat dan buat sidang media tergempar menafikan perkara-perkara di atas (seperti kekerapan beliau berbincang dengan Dato’ Seri Najib di telefon).
Jika benar, saya mohon beliau tidak berdolak dalih dan mengesahkan sama ada kerjasama dengan Umno untuk merampas Selangor pernah ada dalam pertimbangan politik PAS sebelum ini.
Sebagai satu-satunya Naib Presiden KEADILAN yang telah menyatakan secara terbuka pendirian saya bahawa KEADILAN sebagai tonggak pakatan pembangkang nasional iaitu Pakatan Harapan (yang diumumkan oleh Presiden KEADILAN sendiri) mesti bersiap sedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS, saya merasakan masanya telah tiba agar perbezaan pendapat di antara pimpinan kanan KEADILAN mengenai perkara ini diselesaikan secara muktamad.
Saya menghormati usaha-usaha sahabat pimpinan lain sebelum ini yang masih cuba untuk memujuk PAS walaupun saya yakin tidak ada satu bukti pun yang sahih yang menunjukkan pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan kekalahan besar-besaran KEADILAN (dan hilangnya tampuk pemerintahan Selangor) seperti yang diwar-warkan sebagai alasan paling kukuh memujuk PAS.
Malah, segala kajiselidik yang dijalankan secara telus dan terbuka oleh INVOKE yang kaedahnya menepati piawaian antarabangsa menunjukkan sokongan rakyat akan berpihak kepada KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam pertandingan 3 penjuru kerana kehendak rakyat ialah untuk menukar kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib dengan segera.
Sebelum ini, saya mengimbangi keperluan untuk memberikan ruang kepada sahabat-sahabat pimpinan lain di dalam KEADILAN untuk menjayakan rundingan mereka dengan PAS dengan kebimbangan saya tindakan itu dilihat sebagai tidak berprinsip dan mementingkan diri dalam keadaan apa-apa kemenangan yang hendak dicapai mestilah berpasakkan prinsip (bukannya strategi bergabung dengan sesiapa asalkan boleh menang).
Oleh itu, mengambil kira beberapa perkembangan terkini termasuklah pengumuman PAS Selangor semalam untuk bertanding di 42 kerusi dan laporan pada hari ini yang membayangkan kerjasama PAS-Umno, saya akan berunding dengan seberapa ramai pimpinan lain dalam KEADILAN ke arah memuktamadkan pendirian KEADILAN mengenai PAS dan komitmen KEADILAN kepada Pakatan Harapan.
Saya percaya perbezaan pendapat sesama kami pimpinan kanan di peringkat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat akan berterusan dan tidak akan ada titik persetujuan, maka keputusan sebesar ini hanya boleh dimuktamadkan dengan mengambil kira suara akar umbi KEADILAN yang lebih besar (bukannya diputuskan oleh beberapa kerat pimpinan kanan parti semata-mata).
Walau apa pun kaedahnya nanti, saya ingin menegaskan pendirian saya bahawa pendirian KEADILAN mengenai kerjasama dengan PAS dan komitmen kepada Pakatan Harapan perlulah dimuktamadkan dalam masa terdekat dan bukannya dibiarkan “terbuka” (“open ended”) seperti sekarang.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN