Kit Siang mahu tiga lagi siasatan, alang-alang BN gigih tubuhkan RCI



MACHANG, 26 OGOS: Bersempena musim penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), DAP hari ni mengesa agar ditubuhkan tiga lagi RCI.
Tiga RCI tersebut termasuklah bagi meneliti khabar angin yang mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa bagi melindungi dirinya daripada skandal membabitkan syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang membuat desakan itu dengan merujuk kepada peristiwa pemecatan Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara dan digantikan dengan Tan Sri Mohamad Apandi Ali ketika ada cakap-cakap bahawa Gani akan mendakwa Najib.
Apandi, sejurus lantikan itu, bertindak membebaskan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB dan mendakwa RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi pemimpin itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.
“RCI adalah alat yang berguna untuk menggali kebenaran mengenai sesuatu isu sambil mengalakkan sikap telus, kebertanggungjawaban dan pentadbiran yang baik,” ujar Kit Siang dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, kerajaan Persekutuan juga harus dengan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal melibatkan 1MDB, serta menyiasat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta anak syarikatnya Felda Global Ventures Berhad (FGV).
“Jika Najib tidak bersedia membentuk RCI terhadap tiga isu penting ini, rakyat akan melihat dia menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dengan menubuhkan RCI terhadap isu lapuk yang sudahpun menjadi sejarah demi kepentingan politik,” ujarnya.
Kerajaan UMNO baru-baru ini dilaporkan bersedia untuk mempertimbangkan penubuhan RCI bagi meneliti semula peristiwa berdarah Memali di Kedah pada 1985 yang telah meragut 18 nyawa termasuk empat daripadanya anggota polis.
PAS yang dilihat sejak akhir-akhir ini intim dengan UMNO turut mendesak agar kejadian lebih dua dekad itu disiasat semula walaupun Kertas Putih yang dibentang di Parlimen sebelum ini mendapati tragedi itu berlaku disebabkan oleh ‘Amanat Haji Hadi’.
‘Amanat Haji Hadi’ merujuk kepada pidato Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong pada 1981 yang antara lain menggelar UMNO sebagai kerajaan kafir dan menyentuh mengenai kepentingan jihad.
Pengkritik bagaimanapun melihat tindakan itu sebagai usaha terdesak Najib untuk menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengepalai Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menumbangkan kerajaan kleptokrasi UMNO pada pilihan raya umum akan datang. – Roketkini.com

No comments: