December 21, 2013
Ditakdir sudah bila Safiyah berumur sekitar lima tahun soalan yang
ditanyakan kepada mamanya; selain soalan lazim seperti “mama buat apa di
Parlimen; atau kenapa ceramah selalu kena malam-malam?;” adalah soalan:
“Siapa yang cipta telefon? Atau piano? Atau televisyen? Takde ke orang
Malaysia?,” yang mengingatkan saya kepada kata-kata John Adams, Presiden
Amerika Syarikat kedua [1735-1826];
I must study politics and war that my sons may have liberty to study
mathematics and philosophy. My sons ought to study mathematics and
philosophy, geography, natural history, naval architecture, navigation,
commerce, and agriculture, in order to give their children a right to
study painting, poetry, music, architecture, statuary, tapestry, and
porcelain.
Begitulah persoalan yang dianjurkan oleh Safiyah; yang seharusnya
ditanyakan oleh kita semua. Begitulah kita - yang bernaung di tempat
lahirnya Kesultanan Melaka; pelabuhan yang menemukan seantero dunia;
namun terhad buah fikirannya hinggakan hadiah Nobel yang sudah dimenangi
negara seperti Bangladesh, bukan sahaja tidak mampu disebut oleh bibir,
jauh pula terlintas di benak fikiran.
Realiti sebegini yang memaknakan kerelevan tenaga dan buah fikir Teach
For The Need (TFTN); yang berhasil dalam: melaksana konvensyen
pendidikan yang begitu gilang-gemilang tanpa sesen pun dana kerajaan dan
lebih penting lagi melontar cabaran baru di tengah belantara pendidikan
Malaysia yang terkedu berterusan dengan pengumuman seperti:
“Kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar Malaysia adalah antara
yang terbaik di dunia. Lebih baik daripada Amerika Syarikat, Great
Britain dan Jerman.”
Tiba saja TFTN di persada pendidikan negara, maka bermula era politik
pendidikan jujur dan berani; jujur mengkritik kelemahan sedia ada, dan
berani menongkah arus dalam cubaan menyelesaikan masalah struktur
pendidikan tanah air.
Kata TFTN, bagi setiap sekolah, atau kelas, sekurang-kurangnya 10
peratus daripada anak-anaknya sudah tentu terjerumus dalam perangkap
buta huruf - tidak boleh membaca dan menulis.
Walau saya mulanya sinis, terkedu juga saya apabila ditemukan dengan 40
pelajar darjah 6 yang buta huruf sedang saya menghantar jambangan bunga
sempena Hari Guru di sebuah sekolah rendah di Lembah Pantai.
Saya hanya boleh memasuki premis sekolah kebangsaan secara spontan
membawakan sejambang bunga ros - kerana dihalang secara rasmi gara-gara
Pekeliling keluaran Menteri Pendidikan.
Setelah dipertemukan sendiri dengan anak-anak bijak namun buta huruf
ini, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan membawa sukarelawan TFTN
masuk; Mereka yang apolitikal, tidak partisan, dan bersedia menabur
bakti untuk memperbaiki lompang buta huruf sedemikian - supaya semua
anak di Malaysia diselamatkan dengan keupayaan asas untuk maju ke depan.
Menongkah arus jangan tanpa Pendayungnya! Berbilion ringgit buat PPSMI; segenerasi tikus makmal terkorban
Negara kita kaya dengan hasil mahsul bumi yang tidak pernah putus
bermulanya daripada bijih timah, kelapa sawit, getah, kayu balak dan
terkini minyak dan gas. Daripada Petronas sahaja sejak 1974 sehingga
kini menyumbangkan RM732 bilion kepada negara. Berapakah yang disalurkan
kepada dana pendidikan negara? Dan daripada jumlah besar itu, berapa
pula disalurkan kepada pembangunan guru dan anak murid selain daripada
bilion wang untuk infrastruktur dan projek yang penuh ketirisian?
Dalam mengambil mana-mana pendekatan drastik, kerajaan memerlukan
perancangan serta kajian yang rapi sebelum ianya dilaksanakan di semua
sekolah di Malaysia.
Saya merujuk penulisan Majalah Saintifik Malaysia yang menyimpulkan:
Harus adanya lebih banyak keterbukaan daripada segi perkembangan
inisiatif dasar; termasuklah dalam mewujudkan kumpulan inkuiri yang
independen dengan kaji selidik yang berkala. Bluprin yang disedia
kerajaan harus diganding dengan sasaran masa pelaksanaan yang jelas
untuk memantau keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut.
Ingatlah; Malaysia masih terkebelakang dalam memenuhi standard
negara-negara OECD - yang punyai profil kukuh dalam pencapaian sains dan
teknologi, serta keluaran ekonomi - dan negara tersebut bukanlah negara
di mana bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris.
Malangnya, PPSMI dilaksanakan sebelum kita sempat melatih serta
meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris di kalangan guru. Ceritera
bermula dengan kisah seorang perdana menteri yang mendapat ilham untuk
memperbaiki mutu penggunaan Bahasa Inggeris dengan menggunapakai bahasa
tersebut sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Matematik dan
Sains. Pedulikan kaji selidik; pedulikan persediaan mengajar guru;
pedulikan pendapat pakar - all one needed at the time was to be in
power.
Being futurustic without sound knowledge is akin to digging a sand hole.
Malangnya jua, yang tenggelam di dalam pasir jerlus ini merupakan
segenerasi anak kita yang kini terbelakang berbanding Vietnam.
Sistem pendidikan adalah sesuatu yang serius yang akan memberi kesan
langsung kepada masa depan negara dan bukan dilakukan sewenang-wenangnya
seperti menukar pakaian ataupun pelaksanaan satu idea yang muncul di
benak pemikiran pemimpin di waktu minum petang.
Masalah sebegini yang amat membimbangkan, dan saya yakin pada ketika
itu yang ini akan memberi kesan kepada kualiti pendidikan yang diterima
anak kita. Unesco melaporkan bahawa “Forcing children, or adults, to
attend schools that use a language they neither speak nor understand
hinders rather than helps them to develop their potential as productive
members of society.”
Selain itu, dalam sebuah laporan yang lain, UNESCO telah berkata
bahawa: “UNESCO and other international agencies concerned with early
education, children’s rights, and linguistic diversity argue strongly
for the pedagogical imperative of using a child’s own language as the
medium of instruction, at least in the early years of formal schooling.”
Pada 2011, Laporan TIMMS melaporkan kejatuhan kedudukan Malaysia untuk
subjek Matematik iaitu dari 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26
(2011) sementara subjek Sains pula ialah 22 (1999), 20 (2003), 21
(2007), dan 32 (2011).
Kejatuhan markah purata bagi subjek Matematik iaitu 519 (1999), 508
(2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek Sains
iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011).
Yang menghairankan adalah kontradiksi yang diperlihatkan menerusi
Laporan Lembaga Peperiksaan - rekod pelajar yang mendapat A dalam
kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun
di dalam peperiksaan PMR. Apakah yang sebenarnya berlaku?
Menjelang 2013, sebuah lagi laporan pendidikan diterbitkan. Pertubuhan
Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengeluarkan laporan
Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2012. Sekali lagi rakyat
Malaysia dikejutkan dengan prestasi pelajar Malaysia yang semakin
merudum. Terkini, Pelajar Tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar
Darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan!
Laporan Bank Dunia mengenai Kualiti Pendidikan Malaysia mendedahkan
beberapa perkara. Salah satu perkara yang positif yang dilaporkan ialah,
akses kepada pendidikan di Malaysia secara puratanya amat tinggi,
dengan lebih 95% daripada pelajar menerima pendidikan menengah rendah.
Malaysia juga memberikan peruntukan yang tinggi dalam nisbah KDNK
berbanding negara lain.
Tetapi laporan itu mengesahkan apa yang kita bimbangkan selama ini.
PPSMI menyebabkan pencapaian pelajar Malaysia semakin merudum
Tahun 1970, penukaran bahasa pengantar dari bahasa Inggeris ke bahasa
Melayu meningkatkan daya saing pelajar Melayu, dan mempunyai tidak
mempunyai apa-apa impak yang jelas kepada pelajar etnik lain. Penukaran
ini membuatkan pelajar Melayu mendapat peningkatan 0.3 tahun
pembelajaran. Ini mungkin disebabkan penerimaan ilmu itu lebih mudah
sekiranya aktiviti pengajaran dan pembelajaran itu dibuat dalam bahasa
lebih difahami. Penukaran itu juga meningkatkan pendapatan warga
Malaysia sebanyak 4.6%, dan pekerja Melayu secara khususnya sebanyak
5.7%.
Pun begitu, saya tidak menidakkan peri pentingnya penguasaan Bahasa
Inggeris. Dan kerana itulah, kita berhak merungkai mengapa kita mampu
menghantar guru-guru kita ke Maktab Perguruan di Kirkby, Liverpool untuk
melahirkan kumpulan pendidik terbaik dengan pantas bagi mengasuh
anak-anak kita di tanah air pada 1950 an - bagaimana pula sekarang?
PPSMI hanyalah simptom kepada masalah yang lebih serius – pelaksanaan
berpandukan fakta, kaji selidik, persediaan konkrit, dan kebenaran.
Saya membawa isu pelaksanaan program terbaru yang diwujud Kementerian
Pendidikan yang menamatkan peperiksaan PMR tahun ini - sistem
Pentaksiran Berdasarkan Sekolah - kepada perhatian pembentang Laporan
Pendidikan World Bank ke atas Malaysia - Frederico Gil Sanders.
Jawab Frederico mudah; seperti juga kesimpulan Majalah Saintifik
Malaysia terdahulu: Laksana saja inkuiri yang independen beserta kaji
selidik untuk meneliti keberkesanan perlaksaan PBS. Kemudian,
dipersembah untuk tatapan umum.”
Malangnya, bila dibawa ke perhatian Menteri di Parlimen, sikap defensif
yang menjelma. Adakah menjadi tanggungjawab pelaksana, iaitu guru yang
sekarang jua terpaksa menjadi hakim dan penimbang tara menerusi laman
Facebook yang berjudul Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan dengan 58,000 Likes?
Kalau begini, siapa mahu menjadi cikgu?
Inilah jawapannya buat puteri saya Safiyah. Selagi mana pendidikan kita
dipenuhi politisasi dan komersialisasi yang melampau, pendidikan hilang
rohnya sebagai proses pengutuhan dan penyempurnaan insan.
Selagi pendidikan kita terus menjadi proses dehumanisasi oleh sang
penguasa seperti kupasan Paulo Freire, selagi itulah pendidikan kita
tidak akan bakal melahirkan idea ataupun menuju peradaban yang agung.
Maqasid atau objektif pendidikan pada akhirnya adalah untuk merungkai
potensi maksima dalam manusia.
Percaya atau tidak, saya merupakan produk sekolah kerajaan. Saya
bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dan kemudiannya Sekolah
Menengah Perempuan Assunta. Jangan disalah sangka; saya amat berterima
kasih kepada guru yang memberikan saya ilmu di dada; pun begitu,
berbekalkan latar pendidikan ini memaksa saya bekerja dua kali ganda
lebih berbanding dengan pelajar lain sewaktu saya menjalani pembelajaran
peringkat sarjana di Johns Hopkins.
Alhamdulillah, berkat doa daripada ibu bapa, rezeki yang diberikan oleh
Allah, serta dokongan teman dan tenaga pengajar, saya mampu berjaya.
Pengalaman ini membawa saya kepada sebuah persoalan yang penting.
Apakah sebenarnya tujuan sekolah? Adakah ia sebuah institusi untuk
membangunkan sumber manusia, atau ia kilang robot? Apakah kita mahukan
anak kita cuma menjadi burung kakak tua, yang cuma tahu mengulang sahaja
apa yang diajar?
Lanskap pendidikan negara pada hari ini tidak menjuruskan pelajar
kepada penjanaan idea dan pemikiran kritis. Individualisme dan perbezaan
setiap kanak-kanak tidak diraikan oleh sekolah, malah ditekan sehingga
pelajar kehilangan identiti. Kita terlalu takut untuk membenarkan anak
kita berfikir melangkaui sempadan akademik.
Dahulu sebelum merdeka kita mendidik dengan sistem berasingan daripada
sekolah pondok, sekolah Inggeris, sekolah kebangsaan dan vernakular
mengikut bangsa. Pasca merdeka memperlihatkan beberapa rangkaian
penyelesaian seperti Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib demi
penambahbaikan pendidikan. Terkini, sebuah Blueprint yang bernilai
hampir RM20 juta dikeluarkan.
Soalnya, setiap kali sistem pendidikan dirubah, satu generasi akan
terkesan dan apakah sistem pendidikan yang kita mahukan untuk anak kita?
Dahulu selepas merdeka, anak muda berebut untuk menjadi askar, polis
ataupun cikgu. Ini merupakan pekerjaan tersohor di waktu itu. Tidak lama
selepas itu, apabila negara menyambut arus pembangunan, anak pula
digalakkan untuk mengambil bidang kejuruteraan atau perubatan. Sama ada
anak itu mampu atau tidak itu soal kedua.
Melihat masa hadapan, satu pembangunan holistik adalah dituntut.
Pendidikan perlu di terbalikkan. Pendidikan dahulu menetapkan penghujung
jalannya. Anak ditetapkan untuk menjadi jurutera atau doktor dari
kecil. Pendidikan sepatutnya merungkai potensi anak semaksima mungkin.
Pendidikan sewajarnya meraikan pilihan setiap individu anak itu
sendiri. Pendidikan masa hadapan harus meraikan potensi anak yang tiada
batasannya. Pendidikan yang mampu mencipta bidang baru, mencipta
pekerjaan baru yang tidak terbatas sama ada daripada bidang matematik,
falsafah, geografi, sejarah, pelayaran, musik, syair, lukisan, atau
apa-apa pun.
Ibnu Khaldun di dalam Muqadimah menjelaskan dengan terperinci bagaimana
sistem pendidikan yang kukuh diperlukan untuk memastikan pemerkasaan
sistem ekonomi yang seterusnya menjana kekuatan dan kedaulatan sesebuah
negara. Adalah satu kegagalan apabila sistem pendidikan dilepaskan
kepada institusi swasta.
Menurut Dato Dr Siddiq Fadzil, konteks pendidikan harus dilihat
daripada lensa tahririy-tanwiriy (pembebasan-pencerahan). Keberanian
dituntut untuk membangunkan satu sistem pendidikan alternatif yang
bersemangat memperkasa, membebas dan mencerahkan. Selama ini yang
terhasil daripada sistem pendidikan sekarang hanya melahirkan generasi
yang lemah, meminta-minta, tidak mampu mencipta, dan tidak mandiri. Anak
diasuh menjadi generasi penakut, mementingkan diri sendiri, hipokrit
dan berpandangan sempit. Ramai juga yang mengalami pemandulan daya
kreatif, penumpulan sikap kritis dan tidak lagi memiliki idealisme.
Malah ramai yang bangga menjadi budak suruhan sang penguasa. Inilah
hasilnya dari satu sistem pendidikan yang gagal.
Jadi ke arah mana Malaysia?
Kaedah pemikiran yang kehadapan (forward thinking) dengan memikirkan
implikasi sesuatu tindakan di dalam sesuatu situasi atau
‘Maalatul-Af'al’ menjadi asas kepada pendekatan 'Fiqh Tawaqqu' dalam
penulisan Sheikh Abdullah Ben Bayyah yang bermata airkan perbahasan
al-Imam al-Syatibi dalam kitab beliau yang popular, iaitu al-Muawafaqat.
Fiqh itu sains - sains mengenai sesuatu - dan tawaqqu itu bermaksud
meramalkan sesuatu yang bakal berlaku berdasarkan sama ada bukti
empirikal, anekdoktal, atau berdasarkan pengalaman.
Apakah tawaqqu’ kita? Apakah masa depan kita?
Jika tiada perubahan yang dilakukan - kita boleh bayangkan keputusan
TIMSS, Pisa yang akan terus merudum, kualiti mahasiswa yang terus
merudum dan pembangunan ekonomi merudum yang hanya bersikap sweat shops
tanpa inovasi dan kreativiti.
Makanya, kita wajar bersikap berani untuk melakukan perubahan drastik
yang mengambil kira aspirasi semua lapisan masyarakat. Tidak cukup
dengan melakukan blueprint bernilai RM20 bilion. Pengalaman kita cukup,
kajian empirikal pendidikan dari seluruh dunia memadai untuk kita
melaksanakan sampel kajian yang lengkap dan dengan niat jujur
melaksanakan perubahan. Pengkaji pendidikan, nazir sekolah wajib turun
padang untuk mendapatkan dapatan yang tepat dan melahirkan sistem
pendidikan untuk masa hadapan.
Malik Bennabi memperjelas bahawa tidak ada salahnya pun untuk mengambil
sistem negara luar tidak kira sama ada negara Islam ataupun tidak, yang
pentingnya kita mengambil sistem terbaik dan mengadaptasikannya untuk
memenuhi keperluan tempatan.
Perubahan itu mungkin - Jepun ketika melalui Meiji Restoration (1868)
menghantar ribuan kakitangan kerajaan dan guru ke Barat untuk mengkaji
cara pemerintahan dan pendidikan selama bertahun-tahun.
Para pendidik dan pembuat polisi wajar mengubah fokus sistem sekolah.
Sewajarnya untuk masa hadapan yang lebih baik kanak-kanak dibekalkan
dengan alat untuk mereka berfikiran kritis dan mampu menjana sendiri
kebolehan intelek. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk meneroka dan
mencari jawapan-jawapan mereka sendiri, berbanding disuapkan jawapan
oleh guru.
Pendidikan masa hadapan wajib bersifat menyeronokkan. Bayangkan sekolah
yang menarik anak. Anak teruja, tidak mahu ponteng malah menangis jika
tidak dapat hadir ke sekolah. Mereka ke sekolah untuk bertanya, belajar,
dan mencabar semua ilmu pengetahuan.
Sejarah tamadun membuktikan bagaimana membaca memberi sumbangan yang
kukuh dalam pembentukan tamadun manusia dan meningkatkan kualiti hidup
manusia. Untuk masa hadapan, Malaysia wajib menuju ke arah pembentukan
sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan. Sebuah masyarakat yang
dipenuhi oleh para ilmuwan, cendekiawan dan rausyanfikir.
Pendidikan masa hadapan perlu menerap dan menggalakkan pemikiran
kritis. Jika kita terus menyekat pemikiran, negara akan terus mundur.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(13:11). Surah Ar-Raad ayat 11.
Bagi saya, pendidikan adalah penyelesaian bagi semua masalah dunia dan
boleh merubah perjalanan dan nasib sesuatu negara. Zaman berzaman,
generasi berganti generasi membuktikan bahawa pendidikan adalah agen
perubahan yang paling berkesan.
Impian tidak akan dicapai dengan minda terhalang; yang terpasung.
Impian tidak akan dapat direaliasikan dengan hanya sekadar minda
analitik untuk mengira dan menganalisis semua maklumat yang ada. Minda
kita sering diisi dengan halangan semula jadi apabila kita ingin
melakukan sesuatu yang baru. Minda kita harus diubah untuk mencapai masa
depan lebih baik.
Revolusi Meiji merubah rakyat Jepun daripada petani yang malas dan
sambil lewa kepada sebuah negara ekonomi kedua terbesar dan maju dengan
teknologi robotik mereka melalui pendidikan. Sejarah juga menyaksikan
bagaimana orang arab Badwi yang dahulunya buta huruf menguasai dunia
dengan pendidikan.
Sejarah juga memberi pengajaran kepada kekuasaan Mongol yang tidak
mementingkan pendidikan ketika meluaskan empayar mereka sehinggakan
mereka langsung tiada sumbangan yang boleh dibanggakan kepada dunia
sehingga hari ini.
Tinggal kira-kira 6 tahun sebelum 2020 menjelma. Apakah impian Malaysia
untuk menjadi sebuah negara maju akan tercapai? Adakah kita sudah
terlambat untuk mencapai wawasan yang dicanangkan selama ini? Bank of
America Merril Lynch sudah pun meramalkan Malaysia menjadi negara yang
muda dan miskin menjelang 2030. Apakah tindakan yang akan diambil untuk
membetulkan serta menidakkan ramalan ini? – 21 Disember, 2013.
* Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan beliau menyampaikan ucaptama ini di Konvensyen Pendidikan TFTN2013.