PRU-13: Pilih parti mampu berkhidmat untuk semua kaum, bukan yang hebat tipu rakyat
2 March 2013
Sebaliknya, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pertandingan itu bukannya untuk membuktikan perikatan mana yang lebih hebat menipu atau menghasut rakyat supaya beralih kepada politik ketakutan.
Beliau berkata, Najib tidak sepatutnya memandang rendah kebijaksanaan rakyat apabila menganggap mereka akan termakan dengan helahnya, kerana semua tahu Najib kini dihantui ketakutan bahawa PRU-13 akan menentukan nasibnya sama ada UMNO/BN menang atau kalah.
“Tiada siapa akan percaya Najib boleh membuktikan Program Transformasi Nasionalnya akan berjaya dalam masa 50 hari yang akan diperolehi menggunakan peruntukan perlembagaan bahawa lima penggal Parlimen ke-12 mula dikira daripada tarikh pertama persidangan yang berakhir secara automatik pada 27 April, bukannya 8 Mac iaitu ulangtahun kelima “tsunami politik” pilihan raya umum 2008.
“Najib hanya akan mengadakan PRU-13 apabila dapat membuktikan kejayaan Program Transformasi Negaranya atau mungkin terpaksa menunggu sehingga 2020 untuk menyaksikan dasar transformasinya berjaya,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 41 Hari ke PRU-13, di sini semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Februari 2013 sudah tiba dan berlalu dan mungkin tercatat di dalam sejarah sebagai bulan paling kritikal dan penting dalam empat tahun Najib sebagai Perdana Menteri dan 37 tahun dalam kerjaya politiknya kerana membatalkan “keputusan muktamad” terbaru untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-13 pada Mac ini.
Katanya, pada awal Januari lalu, Najib yang bakal berusia 60 tahun pada 23 Julai ini, dipujuk strategis politiknya untuk tetapkan fikiran supaya mengakhiri dolak-dalik selama dua tahun dan membubarkan Parlimen pada minggu terakhir Februari untuk mendapatkan mandat daripada 13.3 juta pengundi pada PRU-13, dan diyakinkan bahawa beliau mempunyai “senjata rahsia” untuk memikat dan menakutkan pengundi.
Bagaimanapun, menurutnya, setelah inisiatif Psy dan Gangnam Style bertukar menjadi bencana politik dengan laungan “No, No, No” bergema setiap hari di seluruh negara, Najib dan ahli strategi politiknya membatalkan keputusan itu dan mengheret penggal Parlimen selama mana dibenarkan Perlembagaan sebelum mendapatkan mandat baru sehingga 28 April ini.
“Ahli strategi politik Najib sekarang mula melakukan “helah kotor” baru iaitu strategi jahat untuk mengisytiharkan DAP sebagai pertubuhan haram walaupun ini penyalahgunaan kuasa tertinggi kerana tiada sebab bagi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk mengambil tindakan sedemikian.
“Najib sepatutnya sedar “senjata rahsia” dan “helah kotor” yang tidak beretika dan berprinsip untuk mengisytiharkan DAP sebagai pertubuhan haram, benar-benar menghina kedaulatan undang-undang dan menggunakan kuasa berdasarkan niat buruk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Menteri Dalam Negeri mampu melantun kembali dan menyebabkan kerosakan lebih besar terhadap penjahat berbanding mangsa,” katanya.
Beliau berkata, ketika di Seremban pada Ahad lalu, Najib mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan menjanjikan sesuatu yang tidak mampu ditunaikan dan berikrar tidak akan menggadaikan masa depan rakyat dan negara semata-mata kerana undi.
Malangnya, katanya, janji Najib yang tidak mampu ditunaikan itu telah diperhatikan semua dan lebih mudah untuk sesiapa saja menghasilkan satu senarai janji yang tidak dapat tunaikan.
“Contoh paling ketara janji yang tidak dapat tunaikan adalah dasar 1Malaysia, yang bukan saja dipertikaikan secara terbuka oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi diingkari Najib sendiri apabila semakin terdesak peluang PRU-13.
“Di Kuala Terengganu, Sabtu lalu pula, Najib mengkhianati prinsip 1Malaysia apabila mengisytiharkan pembohongan dan penipuan bahawa “Satu undi PAS, membawa kepada perpecahan umat Islam dan satu undi untuk DAP membawa kepada penindasan umat Islam,” ujarnya.
Kit Siang berkata, Najib perlu bersedia menarik balik dakwaan yang paling tidak jujur, tidak berprinsip dan hipokrit terhadap DAP itu dan amat bercanggah dengan dasar 1Malaysianya.
Katanya, ketika bercakap di Seremban Najib berkata: “Kita mesti ada prinsip dalam perjuangan dan hidup sebab itu pilihan raya umum bukan mengenai parti mana yang akan menang tapi untuk menentukan nasib negara dan masa depan rakyat.
Sehubungan itu, beliau ingin bertanya adakah Najib benar-benar bersedia untuk menjadikan PRU-13 sebagai pertandingan untuk menentukan pakatan yang mampu berkhidmat untuk Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan dan Iban bukannya siapa lebih hebat menipu atau menghasut kebencian dan menakut-nakutkan rakyat,” katanya