DR AGUS WAJIB TAMPIL BERI PENJELASAN, BUAT LAPORAN POLIS JIKA FITNAH


Sejak petang semalam berlegar di media sosial sebuah klip video yang mirip wajah Ketua Pengarah J-kom, Prof Dr Mohd Agus Yusof.


Video tersebut memaparkan perbualan mesra dan romantis antara seorang lelaki mirip wajah Dr Agus itu dengan seorang lelaki yang lain yang tidak dikenali.


Rakaman video berkenaan dipercayai dilakukan dalam perbualan melalui “video call”.


Sehingga ini tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah video asli atau video palsu yang telah diedit.


Begitu pun, isu video berkenaan telah menjadi perbualan hangat di kalangan netizen sejak petang semalam sehinggalah sekarang ini.


Sebagai makluman, Dr Agus telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-kom pada 15 November lalu dan kini sedang menunggu sama ada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerima atau tidak perletakan jawatannya itu.


Memandangkan isu ini dipercayai akan terus hangat diperbualkan, lebih-lebih lagi kerana tiada sebarang penjelasan dan penafian daripada mana-mana pihak, keghaiarahan masyarakat memperkatakannya dirasakan akan terus menyubur dalam tempoh waktu yang sukar dijangka.


Untuk menangani perkara ini, terpenting sekali buat masa ini ialah Dr Agus sendiri mesti segera tampil memberi penjelasan berkaitan video berkenaan.


Kalau benar wajah dalam video itu adalah dirinya serta kata-kata yang diucapkan juga adalah tulen daripada mulutnya, adalah terpuji untuk beliau mengaku sajalah dan seterusnya minta maaf secara terbuka kepada masyarakat.


Tetapi, jika ia tidak betul dan bukan dirinya dalam video tersebut, Dr Agus wajib menafikannya dan memberi penjelasan yang lengkap berkaitan dengannya.


Seterusnya, menjadi kewajipan pula baginya membuat laporan polis agar mereka yang merakam dan menyebarkan video itu dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa.


Apa pun, berdiam diri dan membiarkan saja isu ini terus terawang-awangan lebih lama tanpa penjelasan bukanlah pilihan buat Dr Agus.


Ini kerana Dr Agus adalah pemegang jawatan penting dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, malah oleh kerana notis perletakan jawatannya adalah selama sebulan serta belum diputuskan lagi sama ada perletakan jawatannya diterima atau tidak, hakikatnya beliau kini masih lagi seorang kakitangan kerajaan.


Oleh itu, tiada sebab untuknya berdiam diri atau melarikan diri daripada memberi penjelasan. – ShahbudinHuisin 17/11/2023


https://shahbudindotcom.net/2023/11/17/dr-agus-wajib-tampil-beri-penjelasan-buat-laporan-polis-jika-fitnah.html