Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin apabila membangkitkan tragedi pertumpahan darah di Gaza di hadapan Presiden Amerika Syarikat dan pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco hari ini.
Perdana Menteri menyatakan perkara itu ketika menyertai sesi Dialog Tidak Rasmi dan Makan Tengah Hari Pemimpin Ekonomi APEC yang berlangsung di Moscone Centre, San Francisco.
"Dalam sesi yang dipengerusikan Presiden Joe Biden dengan dihadiri oleh semua pemimpin APEC lain, saya telah menyuarakan keresahan mengenai pertumpahan darah yang berlaku di Gaza di tengah-tengah serangan udara dan darat rejim zionis Israel yang tidak henti-henti.
"Saya tegaskan apa yang berlaku di Gaza jelas menyerlahkan kegilaan menidakkan tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku seterusnya mengakibatkan malapetaka iklim," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam majlis sama, Anwar berkata beliau turut menegaskan bahawa negara maju perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memikul tanggungjawab dan membantu negara membangun dalam peralihan tenaga.
"Malaysia juga sedang mengubah ekonominya dan melabur dalam masa depan yang lebih bersih dan hijau termasuk melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.
"Syarikat minyak nasional, Petronas juga telah memberi komitmen untuk laluan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya.