NAJIB BEBAS, PH-BN PASTI DITOLAK PENGUNDI DALAM ENAM PRN NANTI


Ada dua kemungkinan mengapa UMNO begitu tergesa-gesa mahu memohon pengampunan buat Najib Razak, walaupun bekas Perdana Menteri itu belum sampai setahun menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan mahkamah terhadapnya.

Pertama, untuk menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri semula, paling awal barangkali selepas PRU16 nanti.

Kedua, untuk memanfaatkan pengaruh bekas Perdana Menteri itu bagi menghadapi PRN di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dalam hal ini, UMNO dipercayai punya keyakinan Najib mampu menjelmakan keputusan cemerlang buat BN sebagaimana peranan yang telah dimainkannya dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini di mana BN menang dengan majoriti dua pertiga di kedua-dua pilihan raya itu.

Untuk kemungkinan pertama, walaupun segelintir penyokong Najib masih ghairah untuk melihatnya dapat kembali sebagai Perdana Menteri, sebenarnya adalah lebih baik perkara itu dilupakan saja.

Najib bukan seperti Tun Mahathir Mohamad yang meletak jawatan secara sukarela pada 2003 dan dengan itu tiada masalah bagi rakyat untuk mengangkatnya semula sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018.

Sebaliknya Najib adalah Perdana Menteri yang gagal, ditolak rakyat dan menjadi punca yang menyebabkan UMNO hilang kuasa pada 2018 lalu, malah sekarang dijatuhi bersalah atas kesalahan rasuah.

Dengan demikian, pengundi tentu akan berfikir lebih daripada sekali untuk memberinya peluang kembali menghuni Seri Perdana.

Lagi pula, dalam pemilihan UMNO baru-baru ini, sementara Najib berada di penjara, tiga anaknya telah muncul sebagai pemimpin dalam senarai kepimpinan baru parti itu di pelbagai peringkat.

Anak sulungnya, Mohd Nizar Najib, kini adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, selain memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Seorang lagi anak beliau, Mohd Nazifuddin pula menang sebagai Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Yana menang Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai dan Exco Puteri UMNO Malaysia.

Apabila sudah ada tiga anaknya berada dalam kepimpinan UMNO, ini adalah masa yang terbaik untuk Najib berundur dan bersara sepenuhnya.

Oleh itu, UMNO tidak harus membuang masa memohon pengampuan yang segera buat Nakib, sebaliknya biarkan saja proses pengampunan dilakukan oleh keluarga Najib sendiri setelah beliau selesai menjalani tempoh tertentu di penjara dan mendepani perbicaraan tiga lagi kesnya berkaitan 1MDB di mahkamah.

UMNO harus bergerak ke depan dengan barisan kepimpinan sedia ada tanpa perlu menoleh lagi kepada Najib.

Untuk kemungkinan kedua iaitu bagi kepentingan BN berdepan enam PRN, apa yang UMNO harus sedar ialah bukan saja sekarang ini keadaan Najib sudah berbeza berbanding ketika PRN Melaka dan Johor sebelum ini, bahkan kedudukan kerajaan juga sudah berubah.

Oleh kerana PH dan BN sudah bersama dalam kerajaan dan setuju untuk bertanding sebagai satu pasukan dalam PRN di enam negeri nanti, keberadaan Najib sebenarnya sudah tidak memberi banyak manfaat lagi.

Gandingan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi lebih perlu diletakkan sebagai dua kepala perang bagi memastikan PH-BN mampu menggapai kemenangan.

Malah, jika adanya Najib dengan andaian desakan UMNO agar beliau diberi pengampunan penuh diperkenankan setelah ia dibawa oleh pihak kerajaan kepada Lembaga Pengampunan, ia akan memberi peluru percuma kepada PN untuk menyerang dan mengajak rakyat menolak PH-BN.

Rakyat pasti sukar menerima keadaan di mana Najib diberi pengampunan terlalu awal yang mana ia difahami adalah atas kehendak kerajaan melalui desakan UMNO tadi.

Dalam sistem Raja Berperlembagaan, meskipun kata akhir dalam memberi pengampunan adalah atas budi bicara Agong, tetapi baginda juga tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri dan kerajaan dalam hal berkenaan.

Akhirnya, rakyat dan pengundi pasti akan melampiaskan isyarat penolakan mereka dengan tidak mengundi calon PH-BN di enam negeri yang berlangsung PRN itu.

Apa lagi jika PN memanfaatkan isu tersebut semaksimum mungkin untuk menyerang PH-BN.

Sudahnya nanti, bukan saja PN bakal menang besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah, silap-silap Selangor dan Negeri Sembilan yang kini dalam genggaman PH juga bakal terlepas.

Pulau Pinang yang nampak selesa dalam genggaman PH pun tidak mustahil akan terumbang-ambing untuk mengekalkan kemenangan.

Jika itu berlaku dalam PRN nanti, jangan bermimpi lagi untuk menang dalam PRU16 pada tahun 2027 akan datang. – ShahbudinHusin 09/04/2023.

 

No comments: