HISHAMMUDDIN BAKAL TANDING PRESIDEN UMNO?


 Melalui hantaran video di media sosialnya, bekas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menggariskan sedikit sebanyak tentang hala tuju politiknya selepas ini.

Antara lain, beliau berazam mahu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu susulan keputusan paling buruk yang dicapai BN pada PRU15 baru-baru ini.

Katanya, UMNO dan BN tidak boleh salah langkah lagi selepas parti ditimpa kekalahan yang terburuk itu.

Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN menegaskan, UMNO perlu menyedari dan menginsafi kedudukannya susulan kekalahan itu dengan sedia membetulkan kelemahan yang berlaku.

“Pada PRU15 baru-baru ini, BN kalah teruk dengan hanya dapat 30 kerusi saja, satu keputusan yang sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan kita semua khususnya warga UMNO dan BN.

“Sesungguhnya kita perlu lakukan penambahbaikan dan apa juga pembetulan yang diperlukan untuk parti kesayangan kita ini.

“Banyak sangat kerja kita kena buat kalau nak pulihkan semula keyakinan rakyat. Kita tak boleh salah langkah lagi,” katanya.

Video Player
00:00
02:12

Dalam waktu yang sama, Hishammuddin yang kini merupakan Ahli Parlimen Sembrong turut mengimbas perjalanan politiknya selama ini, bermula di peringkat cawangan dalam UMNO Bahagian Ledang sehinggalah sekarang yang tidak pernah mudah laluannya.

“Memang sukar dan jalan ke depan lebih sukar,” tambahnya lagi.

Selain menjawab persoalan bahawa dirinya akan kekal dulu, kini dan selama-lamanya bersama UMNO, Hishammuddin seterusnya berkata, beliau akan menggunakan masa yang ada sekarang dengan kedudukan dirinya yang tidak lagi sibuk lantaran tiada jawatan dalam kabinet untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Memandangkan sekarang ada sedikit kelebihan masa, tidaklah sesibuk sebelum ini, masa yang ada ini saya akan gunakan sebaik mungkin demi kelangsungan dan masa depan parti,” tegasnya.

Beliau menolak tuduhan kononnya bakal meninggalkan BN dan menyertai parti lain sambil menegaskan akan kekal setia kepada UMNO.

”Ada satu soalan yang selalu orang tanya saya, pendirian macam mana dan selepas ini apa hala tuju dalam politik, bagi saya mudah saja. Saya tetap UMNO dulu, kini selamanya,” katanya.

Hishammuddin sedia maklum diketahui tidak sependapat dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berhubung hala tuju parti itu selepas keputusan PRU15 baru-baru ini.

Sehari selepas keputusan PRU15 itu, Hishammuddin menegaskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan dengan menyatakan keperluan parti itu untuk bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan.

Apa pun, meneliti video tersebut, walaupun tidak dinyatakan secara jelas dan terbuka, Hishammuddin jelas difahami sedang menyusun sesuatu perancangan untuk dirinya dalam UMNO.

Terutama dengan menyatakan untuk berperanan memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO dalam keadaan dirinya tiada apa-apa jawatan di peringkat nasional, ia dengan jelas bermaksud beliau sedang mengintai jawatan yang bukan kaleng-kaleng dalam pemilihan parti yang dijangka hanya beberapa bulan daripada sekarang.

Ini kerana, tanpa memegang sebarang jawatan, apa sangatlah upaya Hishammuddin untuk mengembalikan semula kekuatan UMNO.

Lebih terserlah apabila beliau juga mengimbas tentang perjalanan politiknya selama ini yang tidak pernah mudah, sambil menegaskan, jalan ke depan lebih sukar, tentunya ia bermaksud bukan sekadar jawatan Naib Presiden UMNO yang ingin ditandinginya.

Lagi pula, berikutan pernah memegang jawatan Naib Presiden UMNO sebelum ini, kalau inginkan kembali jawatan itu, ia tidaklah sesukar mana untuk beliau memperolehinya, bahkan tak perlu pun sampai merakam video sebegini.

Video begini hanya sesuai sebagai permulaan jika jawatan yang ingin direbut ialah Presiden UMNO.

Hanya merebut jawatan Presiden UMNO yang ternampak sukar bagi beliau, tetapi ia bukanlah pula mustahil untuk direbutnya, tambahan lagi Hishammuddin sendiri seperti sudah bersedia menghadapi laluan yang lebih sukar di depannya.

Betul tak ahli-ahli UMNO sekalian? – ShahbudinHusin 23/12/2022.



No comments: