Polis buru pemandu Myvi berlagak samseng di Selayang

 

Tangkap layar daripada rakaman video menunjukkan sebuah Perodua Myvi memotong dan membrek secara mengejut beberapa kali di depan kereta dipandu perakam video.

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang dirakam berlagak samseng dan memandu secara berbahaya di Jalan Taman Selayang Jaya, Selayang.

Rakaman video satu minit 14 saat kejadian buli jalan raya itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak, Zainal Mohamed Mohamed berkata, rakaman video itu menunjukkan sebuah Perodua Myvi dipandu secara melulu dan berbahaya, di mana ia dilihat memotong dan membrek secara mengejut beberapa kali di depan kereta dipandu perakam video.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek dan pemilik rakaman video papan pemuka itu sedang dijalankan selepas satu laporan polis diterima.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat trafik, Mohd Shaifuddin Mohd Nor 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262222.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

No comments: