Umno dan PRU15 – momentum semakin kendur?


Anwar Ibrahim kata Najib Razak pernah beri akuan bersumpah atau SD untuk menyokongnya menjadi perdana menteri tetapi dengan syarat kes mahkamahnya tidak diteruskan. Beliau enggan maka Najib tarik balik sokongan.

Najib kata itu semua tidak betul – tidak pernah terjadi. Bertanya beberapa pemerhati politik daripada mana Anwar dapat majoriti jika Najib tarik balik SD? Kerana kata mereka langkah itu akan diikuti penyokong Najib dalam kalangan Ahli Parlimen Umno yang memberi SD masing-masing menyokong Anwar.

Kata Anwar tanpa sokongan Najib dan Zahid Hamidi pun beliau ada 118 SD menyokongnya. Semua itu bagi saya retorik politik.

Penyokong Anwar bingkas menggunakan pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman sebagai ‘pengesahan’ adanya SD daripada orang Umno, membuktikan Anwar tidak bercakap kosong, berangan, atau berbohong apabila memberitahu khalayak pada 2020 dia punya “the numbers”. Apa pun, Anwar akhirnya didapati tidak mempunyai sokongan yang diuar-uarkan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Susulan itu Umno sendiri berjaya memaksa Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan perdana menteri. Sama ada SD Ahli Parlimen dibuat benar-benar untuk menyokong Anwar atau digunakan untuk memberi isyarat kuat atau ugut Muhyiddin letak jawatan – soal lain.

Hakikatnya Umno dapat mencapai niatnya singkir Muhyiddin dan mengangkat orang sendiri yakni orang Umno sebagai perdana menteri. Walaupun kerajaan yang dibentuk bukan kerajaan Umno-BN sepenuhnya.

Tetapi persoalan lebih penting ketika ini apakah Ismail, selaku naib presiden Umno, ‘dengar’ cakap pimpinan utama parti? Mungkin sifat dan watak beliau menunjukkan Ismail boleh diajak berbuat demikian namun tidak semudah itu.

Teringat semasa Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih daripada Mahathir Mohamad pada 2003. Dikatakan Mahathir ketika itu yakin Abdullah akan mendengar nasihat dalam mentadbir negara. Khususnya nasihat Mahathir.

Sememangya Abdullah meminta dan mendengar nasihat, tetapi bukan nasihat Mahathir yang dicari. Dikatakan nasihat datang daripada apa yang dikenali sebagai “the fourth floor boys”, merujuk pegawai muda yang ditempatkan di tingkat empat pejabat perdana menteri. Marah Mahathir dibuatnya.

Begitu juga saya kira Ismail. Beliau ada penasihatnya sendiri. “He is his own man” meskipun kerap dilihat ditekan oleh pimpinan parti berhubung beberapa isu. Mungkin beliau ‘degil dalam diam’.

Apabila Tajuddin membuat pelbagai pendedahan dan serangan ke atas kepimpinan Umno setelah digugurkan sebagai ahli MKT tentunya Umno akan ‘gembira’ jika pelantikannya sebagai duta Malaysia ke Indonesia ditarik balik.

Kepimpinan Umno tidak mendesak itu secara terbuka tetapi, seperti saya katakan tadi, pasti ‘gembira’ jika itu terjadi supaya Tajuddin ‘kena ajar’.

Tetapi apa yang dilakukan Ismail? Beliau dengan lantang menegaskan bahawa (mana-mana) pihak yang mendesak Tajuddin digugurkan ibarat mempertikai kuasa Yang di-Pertuan kerana pelantikan itu sudah diluluskan Jemaah Menteri dan mendapat perkenan Agong. Langkah bijak untuk mematikan isu .

Bagaimana pula halnya dengan Annuar Musa, iaitu menteri dalam Kabinet Ismail yang merupakan bekas ahli MKT Umno dan setiausaha agung Barisan Nasional? Beliau tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti dan kerap mengkritik presiden dan orang presiden secara keras dan terbuka.

Kepimpinan Umno tidak pernah menggesa perdana menteri ‘melakukan sesuatu’ ke atas Annuar. Sekurang-kurangnya tidak ada gesaan terbuka. Namun saya kira pasti mereka akan ‘cukup puas hati’ jika ada ‘tindakan’ diambil Ismail ke atas Annuar.

Namun bukan sahaja tidak ada apa-apa tindakan, Annuar terus menjadi antara menteri yang diberi kepercayaan. Baru-baru ini Annuar dilantik Ismail untuk menjadi pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi – satu badan yang amat penting.

Beralih isu Zuraida Kamaruddin yang keluar Bersatu tetapi kekal sebagai menteri sehingga hari ini. Masih belum selesai. Muhyiddin pula mengesahkan pertemuan dengan perdana menteri berhubung beberapa ‘janji’ yang sudah dipersetujui. Dipercayai soal timbalan perdana menteri dan jawatan menteri dibangkitkan.

Bermacam-macam nasihat dan teguran dibuat oleh Umno kepada perdana menteri. Puad Zarkashi, ahli MKT, menyarankan Ismail “jangan layan Muhyiddin”. Manakala timbalan pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed melabelkan Ismail “PM Malaysia paling lemah” berhubung isu Zuraida.

Ismail seakan tidak ambil peduli semua itu – menjalankan urusan macam biasa. ‘Degil dalam senyap’ bak dikatakan tadi?

Isu PRU15. Kita tahu Umno terutama Zahid, timbalannya Mohamad Hasan serta pimpinan tertinggi untuk sekian lama mahu ia diadakan segera. Sebabnya sudah banyak kali mereka jelaskan dan sudah dilaporkan media meluas. Tidak perlulah saya ulangi. Kita tahu Ismail masih ‘buat dak’.

Namun sehingga kini beliau masih bertahan meskipun kadang kala nampak berdolak-dalik, bergantung siapa audiennya.

Kata beliau, tidak akan melambatkan PRU15 walau satu minit (atau satu saat?) jika Umno-BN bersiap-sedia. Pun begitu keadaan sekarang tidak mengizinkan pilihan raya umum diadakan.

Dengan harga makanan melonjak, kos sara hidup menggunung, kadar inflasi tinggi akan bawa padah kepada kerajaan jika diadakan pilihan raya sekarang atau pada waktu terdekat.

Akan tetapi golongan Umno yang mahu PRU15 diadakan segera kata keadaan dijangka bertambah buruk jika Ismail melengah-lengah. Tidak ada jaminan ekonomi akan pulih tahun depan, malah berkemungkinan bertambah teruk, dan kerajaan pimpinan Umno dipersalahkan.

Mereka amat bimbang sokongan yang diberi rakyat kepada Umno semasa PRN Johor dan Melaka akan menghilang apabila ekonomi bertambah buruk. Momentum untuk sokongan Umno-BN sudah pun mula kendur sekarang. Oleh itu kata mereka lebih baik “now than later” PRU diadakan.

Mungkin kepimpinan Umno sedang nyanyikan lagu popular kumpulan Sweet Charity untuk ditujukan kepada Perdana Menteri: “Jangan tunggu lama-lama nanti lama-lama ia diambil orang.”

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments: