Buku anti-DAP dicetak tanpa nama penerbit, Annuar Musa takut apa?




IPOH, 27 MEI: Buku memuatkan 16 rencana hasil pertandingan penulisan memburuk-burukkan DAP oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang terpalit dengan skandal MARA siap dicetak.
Anehnya, walaupun pemimpin UMNO itu jelas menjadi penganjur pertandingan menulis rencana rasis itu, buku berjudul ‘DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam Di Malaysia’ yang memuatkan 16 esei tersebut tidak memiliki nama penerbit, pencetak dan juga nama penulis.
Persoalannya, apa yang ditakuti pihak penganjur sehingga tidak sanggup mengikuti garis panduan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang mengkehendaki setiap hasil penerbitan dicetakkan nama dan alamat pencetak.
Bukankah akta itu selama ini dipertahankan habis-habisan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN)?
Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh berkata, kesamaran dalam penerbitan buku tersebut jelas menunjukkan pihak berkenaan seolah-olah tahu kandungannya bertentangan dengan undang-undang.
Malah, ia juga jelas bertujuan menyemai politik kebencian, permusuhan dan mampu mengundang bahaya kepada aspirasi politik rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Annuar Musa cuba bermain politik perkauman untuk menunjukkan dia setia kepada UMNO menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan sanggup mengorbankan kepentingan perpaduan nasional.
“Dengan cara ini, dia boleh menunjukkan jasanya kepada Najib untuk memastikan dirinya ‘selamat’ dari skandal penyelewengan MARA,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Kah Woh yang juga ADUN Canning berkata, penerbitan buku tersebut juga jelas bertentangan dengan aspirasi golongan muda negara ini yang semakin bosan dan jijik dengan politik murahan menyemai kebencian kaum.
“Kita nak tahu bagaimana reaksi Pemuda UMNO, Pemuda MCA, Pemuda MIC dan Pemuda Gerakan terhadap tindakan pemimpin mereka, Annuar Musa,” ujarnya.
Menurut Ketua DAPSY itu, pihaknya telahpun membuat dua laporan polis terhadap pengumuman pemenang esei rasis tersebut.
“Saya telah buat satu laporan polis di Ipoh dan satu lagi laporan polis telah dibuat oleh DAPSY di Kuala Lumpur (Adun Damansara Utama, Yeoh Bee Yin; Adun Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran bersama pemimpin DAPSY lain).
“Kami ingin bertanya kepada Ketua Polis Negara (KPN) apakah hasil penyiasatan ini nanti, adakah seperti biasa ‘nasib’ laporan kami seperti laporan-laporan polis sebelumnya yang akan diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan susulan diambil’?” soal Kah Woh.
Beliau berharap, KPN akan bersikap professional dan tidak menjadi ‘orang yang setia’ kepada Najib Razak.
“DAP dan DAPSY komited dan akan meneruskan gerak kerja kami kearah pembinaan negara yang lebih baik tanpa mengira kaum, agama, budaya dan latarbelakang politik dan bersatu dalam sebuah keluarga besar yang majmuk,” katanya lagi

No comments: