Dakwaan Kekayaan Najib Dan Rosmah Ternyata Fitnah Belaka...



Mulai hari ini sebahagian besar rakyat Malaysia harus memohon maaf dan bersimpati dengan Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor. Kekayaan yang selama ini digembar-gemburkan kononnya dimiliki oleh mereka ternyata tidak benar, palsu dan fitnah belaka.

Ringkasnya, Najib dan Rosmah bukan sekadar hidup biasa-biasa, malah mungkin lebih susah daripada kebanyakan penerima BR1M sekali pun. Ini kerana Najib dan Rosmah sebenarnya bukan setakat tidak mampu berbelanja mewah, malah mengadakan kenduri menerima menantu pun tidak berkeupayaan.

Melalui penjelasan Pegawai Khas Perdana Menteri, Rizal Mansor bahawa kenduri kahwin anak perempuan Najib dan Rosmah iaitu Nooryana Najwa dengan Daniyar Bessikbayev yang diadakan penuh gemerlapan di KLCC dan rombongan bertandang ke Kazakhstan seramai 250 orang sebenarnya ditanggung oleh pihak lelaki, tidak lain memberi gambaran bahawa Perdana Menteri tidak berkemampuan sama sekali.

Mana-mana ibu bapa yang menerima menantu, ia adalah antara momen paling gembira dalam kehidupan mereka. Ramai yang sanggup berhutang dan meminjam di sana sini untuk mengadakan hari meriah itu. 

Tetapi semua orang melakukannya berdasarkan kemampuan. Bagi golongan susah, mengadakan majlis secara ala kadar sudah memadai sebagai tanda gembira dan syukur.

Ada juga yang sekadar mengadakan doa selamat ringkas di surau atau masjid saat menerima menantu. Tetapi ia tetap menjadi kebanggaan kerana ibu bapa atau keluarga pengantin dapat menunaikan tanggungjawab berdasarkan kemampuan mereka.

Tetapi agak berbeza dengan Najib dan Rosmah. Sudahlah kenduri di sebelah pihak perempuan ditanggung oleh keluarga pengantin lelaki, rombongan bertandang ke Kazakhstan juga dibiayai oleh menantu budiman itu.

Sudah barang tentu pihak lelaki menawarkan semua itu kerana keluarga pengantin perempuan tidak berkemampuan membiayainya. Jika mampu, jarang benar ibu bapa pengantin perempuan mahu merendahkan maruah atau ego mereka dengan membiarkan keluarga pengantin lelaki menanggung kenduri-kendara dan kos bertandang kerana ia boleh menjadi ungkitan di masa depan atau ketika pasangan pengantin berselisih faham nanti.

Keluarga pengantin lelaki pula biasanya tidak mudah menjadi begitu pemurah kerana jika belum tinggal bersama sudah terpaksa mengeluarkan banyak belanja dan menanggung itu ini, ianya pasti meningkat lagi apabila selepas berkahwin kelak.

Dalam hal ini,  mungkin juga Daniyar ini seorang menantu budiman yang jauh lebih baik daripada Khairy Jamaluddin kerana ketika beliau berkahwin dengan anak Tun Abdullah dahulu, juga seorang Perdana Menteri,  tidak pula terdengar kemurahan hatinya mahu menanggung kenduri di pihak perempuan.

Apa pun, semua ini menunjukkan Najib dan Rosmah tidak berkemampuan. Dalam tidak mampu itu, mujur pula Tuhan jodohkan anaknya dengan lelaki budiman, pemurah lagi penyayang, lalu dapatlah juga akhirnya mengadakan kenduri yang meriah serta bertandang ke Kazakhstan.

Oleh itu, rakyat negara ini seharusnya bersimpati dengan Najib dan Rosmah. Rupa-rupanya mereka adalah ibu bapa yang tidak mampu, waima untuk mengadakan majlis kenduri menerima menantu sekali pun.

Dengan ini ia bukan saja mengesahkan bahawa semua dakwaan kekayaan Najib dan Rosmah selama ini tidak benar, bahkan laporan kononnya mereka memiliki jam tangan mewah, barang kemas intan berlian, pakaian mahal dan sebagainya juga turut palsu dan khayalan semata-mata.

Kalau untuk mengadakan kenduri menerima menantu pun terpaksa ditanggung oleh pihak lelaki, memiliki jam Casio atau memakai gelang daripada besi pun tentu nampak mustahil serta di luar kemampuan Najib dan Rosmah.

Kesian Najib dan Rosmah, difitnah siang malam selama ini. Dengan ini, ramai rakyat  kita termasuk Tun Mahathir rupa-rupanya telah membuat "dosa kering"  dengan menghebah-hebahkan kekayaan dan perbelanjaan mewah sedangkan Perdana Menteri dan isteri sebenarnya tidak berkemampuan sama-sekali. 

Adusss...sempatkah kita bertaubat dan memohon maaf? (SH 02/05/2015)
 
 

No comments: